Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah sahih bahawa zakat dapat membantu seseorang mencapai tahap keimanan yang sempurna seperti yang digariskan dalam hadis Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَأَقْرِضُوا اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا ۚ وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِندَ اللَّهِ هُوَ خَيْرًا وَأَعْظَمَ أَجْرًا

Maksudnya: “Dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas). Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya.”

(Surah al-Muzzammil: 20)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan benar sekali di mana zakat menjadikan seseorang tergolong dalam kalangan mukmin yang sempurna imannya. Ini kerana Rasulullah ﷺ bersabda:

لا يُؤْمِنُ أحَدُكُمْ، حتّى يُحِبَّ لأخِيهِ ما يُحِبُّ لِنَفْسِهِ.

Maksudnya: “Tidak beriman salah seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi untuk saudaranya apa yang dia kasihi untuk dirinya sendiri.”

Riwayat al-Bukhari (13); Muslim (179); al-Tirmizi (2705); al-Nasa’i (5033); Ibn Majah (69) dan Ahmad (13138)

Sebagaimana seseorang suka jika diberikan kepadanya harta yang dapat menampung keperluannya, dia juga seharusnya suka untuk memberikan harta tersebut kepada saudaranya. Dengan itu, keimanannya menjadi sempurna.  (Lihat al-Syarh al-Mumti’, 1/6-7)

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.