Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah benar zakat dapat meredakan kemarahan golongan fakir yang berasa terpinggir dalam masyarakat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

خُذۡ مِنۡ أَمۡوَ ٰ⁠لِهِمۡ صَدَقَةࣰ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّیهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَیۡهِمۡۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنࣱ لَّهُمۡۗ وَٱللَّهُ سَمِیعٌ عَلِیمٌ

Maksudnya: “Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (wajib) untuk membersihkan dan menyucikan mereka; dan doakanlah buat kebaikan mereka. Sesungguhnya doa daripadamu (wahai Rasulullah) adalah kebaikan buat mereka. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah: 103)

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)

Zakat meredakan kemarahan golongan fakir. Ini kerana seorang fakir mungkin merasa tertekan apabila melihat seseorang memiliki kenderaan mewah sesuka hatinya, tinggal di istana yang indah, menikmati makanan yang lazat sesuka hatinya, sedangkan dia sendiri tidak memiliki apa-apa selain kakinya untuk berjalan, tidur hanya di atas tanah, dan menjalani kehidupan yang serba kekurangan. Tidak diragukan lagi, keadaan ini boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam jiwanya.

Namun, apabila golongan kaya bermurah hati dengan memberikan zakat kepada golongan fakir, ia akan melembutkan hati mereka dan meredakan kemarahan mereka. Mereka akan berkata: “Kami mempunyai saudara seagama yang mengenali keadaan kami dalam kesusahan dan membantu kami.” Maka, mereka akan lebih dekat dan mencintai golongan kaya. (Lihat al-Syarh al-Mumti’, 1/6-7)

Kami katakan, dengan berzakat, bukan semata-mata orang fakir dan miskin merasa terbela, tetapi merasa ianya dihargai dan sentiasa diberi kecaknaan dengan simpati dan empati. Apabila semua orang kaya dan berkemampuan melaksanakan ibadat zakat, maka ketika itu, tiadalah lagi mereka yang merasa susah hati atau bertarung dengan mencari sesuap nasi. Insya Allah, sifat ini akan membawa kepada kebaikan kepada seluruh masyarakat kerana orang Islam itu sama seperti satu jasad. Benarlah sabda Nabi SAW: Daripada Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Maksudnya: Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam.

Riwayat al-Bukhari (5665), Muslim (2586), al-Tirmizi (1847), al-Nasa’ie (2525) dan Imam Ahmad (19188)

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani menukilkan sebuah kata-kata menarik daripada Imam Ibn Abi Jamrah apabila mengulas hadis ini yang menyebut: ‘’Secara zahirnya sifat saling merahmati, saling berkasih sayang dan saling membantu ini meskipun mempunyai makna yang hampir sama, akan tetapi terdapat perbezaan tertentu padanya. Adapun saling merahmati, yang dimaksudkan dengannya adalah: Saling merahmati sesama mereka dengan ukhuwwah (persaudaraan) keimanan bukan dengan sebab selainnya. Adapun saling berkasih sayang pula membawa maksud: Saling berhubung yang boleh mendatangkan kasih sayang seperti saling menziarahi dan memberi hadiah. Adapun yang dimaksudkan dengan al-ta’athuf ia adalah mereka saling membantu antara satu sama lain.

Beliau berkata lagi: Nabi SAW memberikan perumpamaan iman dengan tubuh badan dan ahli iman diumpamakan dengan anggota tubuh. Ini kerana iman adalah asal dan cabangnya adalah taklif-taklif. Sekiranya seseorang itu mengabaikan taklif (tanggungjawab) maka yang demikian itu memberi kerosakan kepada asal (keimanan). Demikian jugalah jasad adalah asal seperti sebatang pokok dan anggota-anggota badan seperti dahan-dahan pokok. Apabila satu anggota terasa sakit maka sakitlah jua keseluruhan badan. (Lihat Fath al-Bari, 10/439)

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.