Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah sahih bahawa sedekah yang diberikan secara rahsia boleh meredakan kemurkaan Allah SWT?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

رِجَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ

Maksudnya: “(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”

(Surah al-Nur: 37)

Sedekah secara sembunyi-sembunyi dapat meredakan kemurkaan Allah ﷻ. Hal ini telah ditegaskan oleh Rasulullah ﷺ dalam hadis yang diriwayatkan:

صَدَقَةُ السِّرِّ تُطْفِئُ غَضَبَ الرَّبِّ

Maksudnya: “Sedekah yang diberikan secara rahsia memadamkan kemurkaan Tuhan.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir (1034) dan al-Qudha’i dalam Musnad al-Syihab (99). Hadis ini dinilai sahih dalam Sahih al-Jami‘ [3759].

Ibn Battal berkata: Tidakkah kamu melihat bahawa kemurkaan Allah boleh berlaku dengan hukumannya. Apabila kemurkaan hilang dengan sebab sedekah, maka hilanglah murka-Nya atau balasan dari Tuhan. Begitulah juga dengan doa yang terangkat kepada Allah dan berbetulan bala yang akan turun dari langit, maka disisih dan dihilangkannya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 10/107)

Begitu juga, dinyatakan dalam sebuah hadith yang lain yang diriwayatkan daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الخَيْرِ : الصَّوْمُ جُنَّةٌ ، وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ.

Maksudnya: “Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Puasa itu perisai. Sedekah memadam dosa sepertimana air memadam api.”

Riwayat al-Tirmizi (2616), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (11394) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (103)

Al-Mubarakfuri berkata: Ungkapan “وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ” (Sedekah memadam dosa sepertimana air memadam api) dengan maksud menghilangkannya dan menghapuskan kesannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/237)

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.