Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya mahu bertanya berkenaan permasalahan jual beli. Saya telah membeli satu barang dan dikenakan kepada saya dengan caj harga sekian sekian. Lalu setelah saya pulang, saya rasa syak sama ada harga yang saya bayar tadi betul atau penjual yang tersilap meletakkan harga. Saya takut saya dikira berdosa jika mengambil harga yang murah kerana penjual tersilap meletakkan harga.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”
(Surah al-Baqarah:275)
Segala bentuk jual beli adalah harus, namun ia boleh berubah menjadi makruh atau haram atas sebab wujudnya unsur-unsur yang tidak dibenarkan oleh syarak seperti gharar(ketidakpastian), maisir(perjudian) dan sebagainya pada transaksi yang dijalankan. Oleh yang demikian, kita selaku individu Muslim wajib menjauhi transaksi yang mengandungi segala unsur yang tidak dibenarkan ini.
Dalam Islam, jual beli terdiri atas tiga rukun utama iaitu:
- Pihak yang berakad (penjual dan pembeli),
- lafaz akad (lafaz ijab dan kabul)
- Objek yang diakadkan (iaitu barangan dan harga)(Lihat Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, 2/323.)
Menyebut berkenaan rukun ketiga iaitu barangan yang diakadkan, maka di sini ada beberapa syarat yang perlu ada padanya, antaranya ialah barangan jualan tersebut mestilah diketahui oleh kedua-dua belah pihak iaitu penjual dan pembeli.
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini sekiranya anda berasa harga yang diletakkan itu tersalah dari yang kebiasaannya, maka perlu untuk anda merujuk kembali kepada si penjual. Sekiranya jaraknya jauh dan sukar untuk kembali semula ke kedai tersebut, maka tidak mengapa untuk anda menggunakannya, namun apabila anda singgah ke kedai tersebut di kemudian hari, maka perlu untuk anda rujuk kepada si penjual. Jika si penjual menyuruh anda untuk membayar kembali, maka perlu untuk anda membayarnya semula. Begitu juga, sekiranya menjadi satu kesulitan untuk dikembalikan balik barangan atau makanan tersebut, dek kerana perjalanan yang terlalu jauh misalnya berbeza negara, serta dikhuatiri makanan/ barangan tersebut akan rosak maka bolehlah disedekahkan kepada masjid atau kepada orang yang memerlukan sebagai keluar daripada khilaf dan tidak berlaku pembaziran.
Kami akhiri dengan doa,
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua`lam.