Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Boleh terangkan pada kami, bagaimana sifat iktikaf Nabi SAW pada 10 malam terakhir Ramadhan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ، ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ بَعْدَهُ.

Maksudnya:Nabi SAW sentiasa beriktikaf pada sepuluh malam terakhir Ramadhan sehingga Allah ‘Azza wa Jalla mewafatkan Baginda. Selepas itu, isteri-isteri Baginda meneruskan amalan iktikaf selepas kewafatan Baginda.”

Riwayat al-Bukhari (2026) dan Muslim (1172) (5)

Dalam satu lafaz lain:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعْتَكِفُ فِي كُلِّ رَمَضَانَ، فَإِذَا صَلَّى الْغَدَاةَ جَاءَ مَكَانَهُ الَّذِي اعْتَكَفَ فِيهِ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW beriktikaf pada setiap Ramadhan, maka apabila Baginda selesai solat Subuh, Baginda datang ke tempatnya yang digunakan untuk beriktikaf.”

Riwayat al-Bukhari (2045)

Antara fiqh hadith daripada hadith ini ialah:

  • Nabi SAW beriktikaf pada 10 akhir Ramadhan dan bersungguh-sungguh beribadah di dalamnya. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ، أَحْيَا اللَّيْلَ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ، وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ

Maksudnya:Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya.

Riwayat Muslim (1174)

Ibn Rejab al-Hanbali menukilkan bahawa Sufyan al-Thauri lebih suka melakukan tahajjud dan bersungguh-sungguh dalam ibadah pada sepuluh malam terakhir Ramadhan. Selain itu, beliau juga akan mengejutkan ahli keluarganya untuk mendirikan solat sekiranya mereka mampu melakukannya. (Lihat Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 160).

  • Nabi SAW beriktikaf sehingga Baginda wafat yakni setiap tahun pada 10 akhir Ramadhan. Ini menunjukkan terdapatnya kelebihan beriktikaf pada 10 akhir Ramadhan, bahkan di dalam tempoh itu jugalah terdapatnya lailatul qadar.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”