Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah cara untuk melakukan solat sunat tasbih?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat sunat merupakan antara amalan atau ibadat yang dituntut oleh syara‘ untuk dikerjakan. Solat-solat sunat yang dianjurkan tersebut juga menjanjikan fadhilat dan ganjaran yang tersendiri. Antaranya adalah, ia mampu menambah atau menampung kekurangan dalam solat fardhu seseorang. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلاَتُهُ، فَإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَـابَ وَخَسِرَ، فَإِنِ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيْضَةٍ شَيْئًا، قَـالَ الرَّبُّ تَبَـارَكَ وَتَعَالَى: اُنْظُرُوْا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ، فَيُكَمَّلُ بِهِ مَا انْتَقَصَ مِنَ الْفَرِيْضَةِ ثُمَّ يَكُوْنُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى نَحْوِ ذَلِكَ.
Maksudnya: “Sesungguhnya amalan yang pertama kali dihisab daripada seorang hamba pada hari Kiamat adalah solatnya. Jika solatnya baik, maka beruntung dan selamatlah dia. Namun, jika rosak, maka rugi dan celakalah dia. Jika dalam solat fardhunya ada yang kurang, maka Rabb Yang Maha Suci dan Maha Mulia berfirman: ‘Lihatlah, adakah hamba-Ku memiliki solat sunat.’ Jika dia memiliki solat sunat, maka solat fardhunya disempurnakan oleh solat sunat tadi. Kemudian dihisablah seluruh amalan wajibnya sebagaimana tadi.”
Riwayat al-Nasa’ie (451), (452) dan al-Tirmizi (411)
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/509-528) ketika menjelaskan berkenaan solat-solat sunat atau solat nafal menyebut: Perkataan nafal (النَّفَلُ) dari segi bahasa bererti tambahan. Manakala pada istilah ialah solat lain solat fardhu. Ia dinamakan demikian kerana solat tersebut adalah tambahan kepada solat fardhu. Solat ini juga disebut sunat, mandub atau mustahab.
Tatacara Solat Tasbih
Solat Tasbih boleh dikerjakan sama ada pada waktu malam mahupun waktu siang. Begitu juga, solat tasbih boleh dilakukan sama ada dua rakaat satu salam sebanyak dua kali atau menunaikannya sebanyak empat rakaat dengan satu salam.
Pertama: Lafaz niat solat tasbih empat rakaat satu salam:
أصَلِّي سُنَّةَ التَّسْبِيحِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat tasbih empat rakaat kerana Allah Ta’ala.”
Kedua: Lafaz niat solat tasbih dua rakaat satu salam sebanyak dua kali:
أصَلِّي سُنَّةَ التَّسْبِيحِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat tasbih dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”
Secara ringkasnya cara mengerjakan solat sunat tasbih adalah seperti berikut:
- Setiap rakaat selepas membaca surah al-Fatihah dan surah pilihan sambil berdiri membaca tasbih sebanyak 15 kali.
- Waktu rukuk membaca tasbih sebanyak 10 kali.
- Waktu iktidal membaca tasbih sebanyak 10 kali.
- Waktu sujud membaca tasbih sebanyak 10 kali.
- Waktu duduk antara dua sujud membaca tasbih sebanyak 10 kali.
- Waktu sujud kedua membaca tasbih sebanyak 10 kali.
- Waktu duduk istirahah membaca tasbih lagi sebanyak 10 kali.
Jumlah 75 kali tasbih
Jumlah keseluruhan = 75 kali tasbih x 4 rakaat = 300 kali tasbih
Menurut Syeikh ‘Abd al-Rauf al-Fansuri yang menukilkan daripada kitab Bahjat al-Mahafil tulisan Ibn al-Mubarak, beliau telah menghuraikan tatacara solat sunat tasbih yang dimulai dengan membaca tasbih berikut selepas mengangkat takbir:
اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ تَبَارَكَ اسْمُكَ وَتَعَالَى جَدُّكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُك
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan kami dan dengan kepujian-Mu, mulainya nama-Mu, tingginya kemegahan-Mu dan tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali-Nya.”
Kemudian diikuti dengan bacaan tasbih berikut yang dibaca sebanyak lima belas kali.
سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ
Seterusnya, diikuti dengan bacaan surah al-fatihah dan surah-surah tertentu. Setelah itu, dibaca tasbih di atas sebanyak sepuluh kali selepas bacaan surah, semasa rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kedua. Ini menjadikan jumlah tasbih yang dibaca pada satu rakaat ialah tujuh puluh lima kali. Ini diulangi pada rakaat kedua, ketiga, keempat sehingga keseluruhan tasbih berjumlah tiga ratus kali.
Seandainya dilakukan pada waktu malam, hendaklah disempurnakan dengan dua salam iaitu, pada setiap dua rakaat hendaklah disudahi dengan satu salam. Sebaliknya, jika solat sunat ini dikerjakan pada waktu siang hendaklah dilakukan empat rakaat berterusan dengan satu salam. ‘Abd al-Rauf menegaskan, Allah SWT telah menjanjikan pahala solat sunat ini sama dengan pahala menunaikan haji dan umrah. Di samping itu, Allah SWT juga akan mengampunkan segala dosa yang telah lalu. (Lihat ‘Umdah al-Muhtajin ila Suluk Maslak al-Mufradin, hlm. 87).
Solat sunat tasbih sebaiknya (afdhalnya) pada waktu malam dilakukan dengan dua salam yakni setiap dua rakaat satu salam kerana hal ini bertepatan sebagaimana satu riwayat di mana Rasulullah SAW bersabda:
صَلَاةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مثنى
Maksudnya: “Solat malam itu dua rakaat, dua rakaat (satu salam)…”
Riwayat Muslim (749)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”