Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah cara mengerjakan solat sunat wuduk?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat sunat wuduk merupakan salah satu solat sunat yang disyariatkan dan thabit sandarannya di sisi syarak berdasarkan beberapa nas daripada Rasulullah SAW. Terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda kepada Bilal ketika waktu solat Subuh:
يَا بِلاَلُ حَدِّثْنِي بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِي الإِسْلاَمِ، فَإِنِّي سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَيَّ فِي الجَنَّةِ قَالَ: مَا عَمِلْتُ عَمَلًا أَرْجَى عِنْدِي أَنِّي لَمْ أَتَطَهَّرْ طَهُورًا، فِي سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ، إِلَّا صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِي أَنْ أُصَلِّيَ. قَالَ أَبُو عَبْدِ اللهِ: دَفَّ نَعْلَيْكَ يَعْنِي تَحْرِيكَ.
Maksudnya: “Wahai Bilal, ceritakan kepadaku tentang amalan yang paling engkau harapkan yang telah engkau lakukan apabila memeluk Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi tapak kasutmu di hadapanku di dalam syurga. Beliau menjawab: ‘Tidak ada amalan yang lebih aku harapkan berbanding apabila aku berwuduk pada waktu malam atau siang, aku akan mendirikan solat dengan wuduk itu apa yang telah ditakdirkan untuk aku solat.’” Abu ‘Abdillah berkata: “دَفَّ نَعْلَيْكَ”, maksudnya tautan langkah.”
Riwayat al-Bukhari (1149)
Al-‘Iraqi menyebutkan bahawa hadith di atas menunjukkan bahawa terdapatnya galakkan untuk mendirikan solat dua rakaat selepas berwuduk. (Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/59). Selain itu, hadith di atas juga menjelaskan bahawa antara fadhilat mengerjakan solat sunat wuduk ini ialah seseorang itu akan dimasukkan ke dalam syurga. Bahkan Syeikh Badruddin al-‘Aini dalam syarahan beliau ke atas hadith ini menyebutkan, sesungguhnya masuknya Bilal ke dalam syurga serta memperoleh kelebihan ini adalah disebabkan perbuatan beliau yang berwuduk setiap kali hadas dan mendirikan solat setiap kali berwuduk sebanyak dua rakaat. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 7/08).
Cara Mengerjakan Solat Sunat Wuduk
Secara umumnya, tatacara solat sunat wuduk adalah sama sahaja sebagaimana solat-solat fardhu dan sunat yang lain iaitu bermula daripada mengangkat takbiratul ihram berserta dengan niat sehinggalah diakhiri dengan memberi salam. Walau bagaimanapun, Syihabuddin al-Ramli dalam kitabnya ada menyebutkan bahawa bahawa disunatkan untuk wuduk solat dua rakaat dengan cara seseorang itu mendirikannya selepas berwuduk dengan diniatkan sebagai solat sunat berdasarkan hadith yang telah disebutkan di atas. Dalam rakaat pertama selepas bacaan surah al-Fatihah, bacalah ayat 64 daripada surah al-Nisa’ iaitu:
وَلَوْ أَنَّهُمْ إِذ ظَّلَمُوا أَنفُسَهُمْ جَاءُوكَ فَاسْتَغْفَرُوا اللَّهَ وَاسْتَغْفَرَ لَهُمُ الرَّسُولُ لَوَجَدُوا اللَّهَ تَوَّابًا رَّحِيمًا
Maksudnya: “Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah an-Nisa’: 64)
Manakala dalam rakaat kedua pula bacalah ayat 110 daripada surah al-Nisa’ selepas bacaan surah al-Fatihah, iaitu:
وَمَن يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: “Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah an-Nisa’: 110)
Kedua-dua rakaat (solat wuduk) itu boleh tercapai dengan solat fardhu atau solat sunat yang lain sebanyak dua rakaat atau lebih sama seperti dua rakaat solat tahiyyatul masjid, ihram, tawaf dan istikharah. (Lihat Ghayah al-Bayan Syarh al-Zubad, hlm. 48).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”
Surah Ibrahim (40-41)