Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah manfaat sungai yang Allah SWT ciptakan ini menurut Islam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَخْرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزْقًا لَّكُمْ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلْفُلْكَ لِتَجْرِىَ فِى ٱلْبَحْرِ بِأَمْرِهِۦ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلْأَنْهَـٰرَ
Maksudnya: “Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya).”
(Surah Ibrahim: 32)
Imam Fakhruddin al-Razi dalam tafsirnya menjelaskan bahawa Allah SWT menyebut tanda-tanda kekuasaan-Nya sebagai bukti kepada manusia tentang kewujudan dan keagungan-Nya. Salah satu tanda yang besar ialah penciptaan sungai dan mengaturkannya untuk menjadi manfaat buat manusia. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 19/96)
Manfaat Sungai Disebutkan dalam al-Quran
Sungai pastinya mempunyai pelbagai manfaat yang kita sendiri sudah sedia maklum, akan tetapi adakah kita tahu bahawa segala manfaat ini sebenarnya telah Allah SWT nyatakan dalam al-Quran? Beginilah hebatnya agama Islam yang merupakan satu-satunya agama yang diredhai-Nya, tidak hanya ia menceritakan tentang seisi ciptaan Allah di muka bumi, bahkan turut menjelaskan kepada umat manusia manfaatnya yang pelbagai.
Air Sungai Sebagai Minuman
Air adalah sumber kehidupan, dan hidupan di dunia ini amat memerlukan kepada air sebagai sumber minuman. Ini dinyatakan dalam Kalamullah:
وَجَعَلْنَا مِنَ ٱلْمَآءِ كُلَّ شَىْءٍ حَىٍّ ۖ
Maksudnya: “Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup.”
(Surah al-Anbiya’: 30)
Allah SWT hidupkan dengan air yang turun dari langit itu setiap sesuatu yang bernyawa – dari kalangan manusia, haiwan, dan termasuklah pepohonan. Hal ini kerana ia merupakan antara unsur terpenting bagi kewujudan makhluk, mereka sangat memerlukannya dan mendapat manfaat daripadanya secara langsung. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/316; Anwar al-Tanzil, 4/50)
Mengairi Tumbuh-tumbuhan
Manfaat ini secara tidak langsung telah kami bawakan dalam beberapa tafsiran di atas yang bersifat lebih umum. Namun, terdapat juga ayat lain yang secara khusus menceritakan air sungai ini sebagai saliran yang disampaikan kepada tanaman untuk mengairinya.
Firman Allah SWT:
أَوَلَمْ يَرَوْا۟ أَنَّا نَسُوقُ ٱلْمَآءَ إِلَى ٱلْأَرْضِ ٱلْجُرُزِ فَنُخْرِجُ بِهِۦ زَرْعًا تَأْكُلُ مِنْهُ أَنْعَـٰمُهُمْ وَأَنفُسُهُمْ ۖ أَفَلَا يُبْصِرُونَ
Maksudnya: “Dan tidakkah mereka (yang tidak mahu taat dan bersyukur) itu melihat bahawasanya Kami mengarahkan turunnya air ke bumi yang kering kontang, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman-tanaman, yang daripadanya dimakan oleh binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri? Maka mengapa mereka tidak mahu memerhati (semuanya itu supaya taat dan bersyukur)?”
(Surah al-Sajdah: 27)
Air itu mengairi kawasan kemarau yang tumbuhan-tumbuhannya telah mati, dengan cara Allah SWT menurunkan hujan dan mengalirkan air sungai ke tempat tersebut. Dengan air tersebutlah tanaman boleh tumbuh semula, dan ia menjadi salah satu bukti kekuasaan-Nya untuk menghidupkan apa sahaja yang telah mati. (Lihat Madarik al-Tanzil, 3/12)
Untuk perbahasan yang lebih lanjut dan terperinci tentang pemeliharaan sungai menurut Islam ini, anda boleh dapatkan e-book kami bertajuk: Islam dan Pemeliharaan Sungai, di aplikasi al-Inarah.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”