Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah dalil-dalil tentang larangan mengganggu rumahtangga orang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”

(Surah al-Najm: 45)

Yakni Allah SWT menciptakan setiap daripada makhluk itu termasuklah haiwan, berpasang-pasangan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, atau jantan dan betina. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 14/68)

Kita sendiri dapat melihat bagaimana sebaik-baik manusia, yakni para rasul dan anbiya’ juga turut mengahwini wanita-wanita dan tidak mengamalkan hidup membujang. Hal ini secara jelas mengangkat martabat perkahwinan itu sendiri sebagai sunnah para rasul dan nabi terdahulu. Ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً ۚ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelum kamu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.”

(Surah al-Ra‘d: 38)

Firman Allah SWT di dalam ayat yang lain:

وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثَاقًا غَلِيظًا

Maksudnya: “Dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?”

(Surah al-Nisa’: 21)

Oleh yang demikian, seseorang yang melangkahkan kaki dalam alam berumahtangga perlu tahu bahawa Allah SWT tidak mengangkat martabat sesuatu itu melainkan padanya kebaikan serta kelebihan, dan keduanya bergerak seiring dengan tanggungjawab yang wajib digalas oleh setiap pasangan.

Dalil-dalil Larangan Gangguan Rumah Tangga

Islam melarang tindakan seseorang merosakkan hubungan seorang isteri dengan suaminya. Larangan ini boleh ditemui dalam banyak ayat al-Qur’an dan juga hadith. Antaranya adalah:

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ خَبَّبَ زَوْجَةَ امْرِئٍ أَوْ مَمْلُوكَهُ فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Barangsiapa yang melakukan takhbib terhadap isteri seseorang atau terhadap hamba yang orang itu miliki maka dia bukan daripada kalangan kami.

Hadith riwayat Abu Dawud (5170). Syua’ib al-Arnauth menilai hadith ini sebgai sahih dalam Takhrij Riyadh al-Salihin,  (1583)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

المُؤْمِنُ غِرٌّ كَرِيمٌ، وَالفَاجِرُ خِبٌّ لَئِيمٌ

Maksudnya: “Orang beriman itu mudah terpedaya dengan sikap murah hatinya, dan orang yang jahat itu licik menipu kerana bakhilnya.”

Hadith riwayat al-Tirmizi (1964). Beliau menilai hadith sebagai Gharib. Ibn Muflih menilai hadith ini sebagai Dhaif dalam al-Adab al-Syari’yyah (1/324)

Al-Khattabi berkata: Makna kata-kata ini ialah bahawa seorang mukmin yang terpuji ialah seseorang yang secara fitrah dan sifatnya memiliki kelurusan serta kurang kecerdikan terhadap kejahatan, dan dia tidak suka menyelidikinya. Namun, hal itu bukan kerana kejahilan, tetapi kerana sifat mulia dan akhlak yang baik. Sebaliknya, seorang fasiq ialah orang yang sifatnya penuh muslihat, licik, serta gemar menyelami kejahatan. Hal itu bukan tanda kecerdikan, tetapi menunjukkan kelicikan dan kehinaan. (Lihat Mirqah al-Su’ud ‘Ila Sunana Abi Dawud, 3/226)

Sekiranya perempuan itu dalam ‘iddah talak raj’i, adalah haram seseorang lelaki cuba meminangnya dengan cara tasrih atau kiasan. Ini kerana perempuan itu masih dianggap milik suaminya dalam erti kata beliau boleh merujuk isterinya pada bila² masa. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

 وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا

Maksudnya: “Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai.

(Surah al-Baqarah: 228)

Sekiranya semasa iddah raj‘i pun haram, apatah lagi jika perempuan itu masih bersuami. Para ulama seperti Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyatakan perbuatan takhbib  merupakan maksiat paling keji (اقبح المعاصي). (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 6/266).

Justeru, perbuatan seperti ini jelas bertentangan dengan maqasid syariah yang menjaga kemuliaan nasab dan keharmonian institusi kekeluargaan.

Untuk perbahasan yang lebih lanjut dan terperinci tentang gangguan rumahtangga ini, anda boleh dapatkan e-book kami bertajuk: Mengganggu Isteri Orang Menurut Islam, di aplikasi al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami”

Wallahu a‘lam.