Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh dato ceritakan kisah fitnah al-Quran adalah makhluk?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi al-Quran

Menurut al-Qamus al-Muhit, al-Quran dari sudut bahasa bermaksud al-Tanzil (التَّنْزيل) iaitu yang diturunkan. ( (Lihat al-Qamus al-Muhit, 1/49)) Menurut al-Mu’jam al-Wasit, al-Quran adalah kata terbitan daripada al-Qiraah (القراءة), iaitu bacaan sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ﴿١٧)‏ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.

(Surah al-Qiyamah: 17-18)

Kata qur’anah (bacaannya) pada ayat di atas bererti qira’atuh (bacaannya/cara membacanya). (Lihatal-Mu’jam al-Wasit, 2/722)

Firman Allah SWT:

وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya: “Dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”

(Surah al-Isra’: 78)

Dikatakan juga bahawa al-Quran adalah majaz (kiasan) bagi solat, sebab itu ditafsirkan firman Allah SWT di atas dengan solat Fajr, dan dinamakan al-Quran kerana ianya adalah rukun sebagaimana dinamakan ruku’ dan sujud. Dikatakan juga sesungguhnya kalimah al-Quran digunakan dengan makna yang hakiki (sebenar). (Lihat Mu’jam Alfaz al-Quran al-Karim, 2/197-198)

Dari sudut Istilah, al-Quran adalah kalam tuhan sekalian alam yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk hidayah bagi manusia semuanya. (Lihat al-Quran wa I’jazuhu al-‘Ilm, hlm. 2)

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni pula mendefinisikan: Al-Quran adalah Kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas. (Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 8)

Makna al-Quran yang disepakati oleh Ulama’ Usul, fuqaha’ dan Ulama’ Bahasa – Al-Quran adalah Kalam yang mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada mazhaf yang dipindahkan secara mutawattir dan membacanya adalah Ibadah. (Lihat Mabahith fi Ulum al-Quran, hlm 21)

Definisi al-Quran dari sudut Istilah yang masyhur ialah: Kitab yang diturunkan Allah secara mutawatir kepada Nabi SAW yang bersifat mukjizat di mana mendapat pahala jika dibacanya yang terangkum dari awal surah Fatihah hingga akhir surah al-Nas.

Fitnah al-Quran Adalah Makhluk

Akidah Islam yang sebenar adalah mengimani bahawa kitab suci al-Quran itu adalah kalam Allah SWT. Inilah hakikat al-Quran yang disepakati oleh Ulama’ Usul, fuqaha’ dan Ulama’ Bahasa – iaitu al-Quran adalah Kalam yang mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada mashaf yang dipindahkan secara mutawattir dan membacanya adalah Ibadah. (Lihat Mabahith fi Ulum al-Quran, hlm. 21)

Allah SWT berkata-kata sesuai dengan Kebesaran dan Keagungannya. Firman-Nya:

وَإِنْ أَحَدٌ مِّنَ ٱلْمُشْرِكِينَ ٱسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّىٰ يَسْمَعَ كَلَـٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُۥ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَّا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan jika seseorang daripada kaum musyrikin meminta perlindungan kepadamu untuk memahami Islam, berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar Kalamullah, kemudian hantarlah dia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu kerana mereka kaum yang tidak mengetahui hakikat Islam.”

(Surah al-Taubah: 6)

Imam Abu Bakar al-Ajurri ketika mengulas berkenaan isu kalam Allah ini, beliau menyatakan bahawa pendirian kaum Muslimin, baik dari generasi terdahulu mahupun masa kini, yang hatinya tidak menyimpang dari kebenaran dan dikurniakan petunjuk ke jalan yang benar, mereka beriman bahawa al-Quran adalah kalam Allah ‘Azza wa Jalla dan bukan makhluk. Ini kerana al-Quran merupakan sebahagian daripada ilmu Allah Ta‘ala, sedangkan ilmu Allah tidak boleh dianggap sebagai makhluk – Maha Suci Allah dari dakwaan sedemikian. Hal ini dibuktikan oleh al-Quran, al-Sunnah, athar para sahabat R.Anhum serta pandangan para ulama Islam. Tiada yang menafikan hakikat ini melainkan seorang Jahmiyyah yang jahat, dan menurut para ulama golongan Jahmiyyah ini dianggap kafir.

Allah SWT juga berfirman kepada Rasulullah SAW:

قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنِّي رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا ٱلَّذِي لَهُۥ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ يُحْىِۦ وَيُمِيتُ ۖ فَـَٔامِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِ ٱلنَّبِىِّ ٱلْأُمِّىِّ ٱلَّذِى يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَكَلِمَـٰتِهِۦ وَٱتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (diutus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimah-Nya (Kitab-kitab-Nya); dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk’.”

(Surah al-A‘raf: 158)

Banyak lagi ayat lain yang seumpama ini, menyifatkan Allah SWT dengan ilmu, berbicara, mendengar, dan melihat dengan segala sifat-Nya sejak sebelum menciptakan segala sesuatu. Sesiapa yang mengatakan selain daripada ini, maka dia telah kafir. (Lihat al-Syari‘ah, 1/84)

Imam Abu al-Hasan al-Asy‘ari antara tokoh Islam yang berpendirian tegas terhadap golongan yang mendakwa al-Quran adalah makhluk. Beliau berkata dalam kitabnya al-Ibanah (hlm. 372), sungguh terlalu ramai sehingga tidak terkira dari kalangan ulama yang menyebutkan: “Sesungguhnya al-Quran bukan makhluk, dan sesiapa yang mendakwa ia adalah makhluk, maka dia adalah Kafir.”

Fitnah al-Quran adalah makhluk, mula timbul sekitar tahun 218 H, dipelopori oleh Ahmad bin Abu Du’ad al-Jahmi, seorang yang petah berbicara, berani dalam berhujah, serta memiliki kefasihan, dan kehebatan dalam penyampaian yang menjadikannya sebagai seorang yang dipercayai. Atas dasar ini, Khalifah al-Ma’mun menaruh kepercayaan kepadanya. Setelah mendapat kepercayaan tersebut, dia banyak mendampingi khalifah, lalu dilantik sebagai qadhi, sehinggalah diangkat sebagai menteri. (Lihat I‘tiqad Ahl al-Sunnah oleh Ibn Jibrin, 6/11)

Imam al-Zahabi menyifatkan Ibn Abi Du’ad ini sebagai musuh kepada Imam Ahmad bin Hanbal. Menggambarkan betapa dahsyatnya ideologi menyeleweng yang dibawakan olehnya, sehingga pernah menghasut Khalifah Abbasiyah al-Ma’mun untuk membunuh Imam Ahmad atas dakwaan kesesatan. Ibn Abi Du’ad meninggal pada tahun 240 H. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 11/169)

Apabila ideologi al-Quran adalah makhluk ini semakin ditanam kepada Khalifah ketika itu, ia akhirnya diangkat sebagai pegangan rasmi kerajaan. Khalifah al-Ma’mun ‘Abdullah Abu al-‘Abbas bin al-Rasyid telah menulis surat kepada wakilnya di Baghdad, Ishaq bin Ibrahim bin Mus‘ab, memerintahkannya untuk menguji para hakim dan ahli hadith tentang pendapat bahawa al-Quran adalah makhluk. Dia juga diperintahkan untuk menghantar beberapa orang daripada mereka ke Raqqah. Kandungan surat al-Ma’mun kepada wakilnya itu panjang. Di antara inti kandungannya adalah untuk berhujah bahawa al-Quran itu adalah baharu dan bukannya qadim, dan menurutnya, setiap perkara yang baharu itu adalah makhluk.

Al-Ma’mun telah menentukan sekumpulan ahli hadith untuk dibawa kepadanya, dan mereka ialah Muhammad bin Sa‘ad penulis Al-Waqidi, Abu Muslim penyalin hadith Yazid bin Harun, Yahya bin Ma‘in, Abu Khaithamah Zuhair bin Harb, Ismail bin Daud, Ismail bin Abu Mas‘ud, dan Ahmad bin Ibrahim Al-Dauraqi. Lalu mereka dihantar kepada al-Ma‘mun di Raqqah, dan dia menguji mereka dengan meminta mereka menyatakan bahawa al-Quran itu adalah makhluk. Mereka menjawab mengikut kehendaknya dan menunjukkan persetujuan, walaupun mereka sebenarnya tidak menyukainya. Setelah itu, mereka dikembalikan semula ke Baghdad, dan al-Ma‘mun memerintahkan agar keputusan mereka diumumkan di kalangan para ulama. Antara yang hadir juga ada yang menyatakan persetujuan bahawa al-Quran adalah makhluk dengan berpura-pura, kerana dipaksa. Ini kerana sesiapa yang tidak menjawab dengan persetujuan akan dipecat daripada jawatannya. Jika dia mendapat pendapatan daripada Baitul Mal, ia akan dihentikan. Jika dia seorang mufti, dia akan dilarang daripada memberi fatwa. Jika dia seorang ulama hadith, dia akan dihalang daripada mengajar dan meriwayatkan hadith. Oleh yang demikian, berlakulah fitnah yang besar dan bencana yang buruk.

Akan tetapi, Imam Ahmad enggan menyokong pendapat itu kerana sebagaimana yang telah diceritakan, beliau tetap mempercayai bahawa al-Quran itu adalah kalam Allah SWT, dan kalam Allah adalah salah satu daripada sifat-sifat-Nya. Di antara ulama’ yang menolak permintaan al-Ma’mun adalah Imam Ahmad. Ketika ditanya oleh Khalifah al-Ma’mun melalui perantaraan Gabenor Baghdad, beliau menjawab: “Al-Quran itu kalam Allah, aku tidak akan tambah selain ini.” (Lihat Tarikh al-Khulafa’, hlm. 228)

Untuk perbahasan yang lebih lanjut dan terperinci tentang keteguhan imam Ahmad ini, anda boleh dapatkan e-book kami bertajuk: Al-Quran Kalamullah Keteguhan Imam Ahmad Mengharungi Ujian, di aplikasi al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami”

Wallahu a‘lam.