Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah boleh menggunakan agama untuk politik?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
مَن كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ (15) أُولَٰئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ إِلَّا النَّارُ ۖ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا وَبَاطِلٌ مَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Sesiapa yang ingin mendapatkan ganjaran duniawi dan perhiasannya, pasti Kami balas hasil usaha mereka di dunia dengan sempurna tanpa sedikit pun ada kekurangan. Merekalah orang yang tidak ada balasan pada hari akhirat kelak selain daripada api neraka. Dan apa sahaja yang mereka usahakan di dunia menjadi sia-sia dan terbatallah apa yang telah mereka kerjakan.”
(Surah Hud: 15-16)
Ibn Jarir al-Tabari menyebutkan, sesiapa yang melakukan amal soleh seperti puasa, solat, atau tahajjud pada waktu malam, tetapi hanya dilakukan semata-mata untuk tujuan duniawi, Allah berfirman yang bermaksud: “Berikanlah balasan kepadanya untuk apa yang dia minta dalam dunia, dan amalannya yang dia lakukan semata-mata untuk tujuan duniawi itu akan menjadi sia-sia. Dan dia termasuk golongan yang rugi di akhirat.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 12/347).
Menggunakan Agama untuk Politik
Ungkapan “Render unto Caesar the things that are Caesar’s, and unto God the things that are God’s” (Berikanlah kepada Kaisar apa yang menjadi milik Kaisar, dan kepada Tuhan apa yang wajib bagi Tuhan) berasal daripada kisah dalam Perjanjian Baru Injil, khususnya dalam Injil Matius, bab 22, ayat 15-22. Dalam kisah ini, beberapa orang Pharisee dan Herodian cuba memerangkap Jesus dengan soalan tentang membayar cukai kepada kerajaan Rom.
Mereka bertanya kepada Jesus sama ada dibenarkan membayar cukai kepada Caesar, Maharaja Rom. Jika Jesus berkata bahawa cukai perlu dibayar, dia mungkin dilihat sebagai menyokong kependudukan Rom dan pengasingan orang Yahudi yang berada di bawah pemerintahan Rom. Jika dia berkata cukai tidak perlu dibayar, ia boleh ditafsirkan sebagai pemberontakan terhadap kerajaan Rom.
Sebagai jawapan, Jesus meminta mereka untuk menunjukkan kepadanya duit syiling yang digunakan untuk membayar cukai. Dia kemudian bertanya imej dan tulisan siapa yang ada pada syiling itu. Mereka menjawab bahawa itu adalah imej dan inskripsi Caesar. Jawapan Yesus yang terkenal ialah: “Berikanlah kepada Caesar apa yang menjadi milik Caesar, dan kepada Tuhan apa yang menjadi milik Tuhan.”
Kenyataan ini membawa mesej yang lebih mendalam dari sekadar tuntutan membayar cukai. Ia mencadangkan pemisahan antara perkara duniawi atau sekular (dilambangkan oleh Caesar dan duit syiling) dan perkara kerohanian (dilambangkan oleh Tuhan). Ia membayangkan bahawa walaupun individu harus memenuhi tanggungjawab dan kewajipan keduniaan mereka, mereka juga mempunyai tanggungjawab rohani yang berbeza dan berasingan.
Dalam konteks hubungan antara Kristian dan sekularisme, frasa ini telah ditafsirkan untuk menyokong idea pemisahan antara agama dan kerajaan. Ia membayangkan bahawa terdapat sudut kehidupan di mana pihak kerajaan memegang kuasa, dan sudut di mana agama dan amalan rohani atau agama lebih relevan.
Ini idea klasik bagi pemisahan agama dan politik sesebuah negara. Kami melihat, dunia sedang menuju kepada pasca sekularisme yang melihat agama sebagai salah satu elemen penting dalam pentadbiran politik negara. Hakikatnya, etika dan moral pemimpin semakin merudum kerana faktor agama diketepikan. Ini menyebabkan perlunya wujud nilai-nilai agama yang universal bagi membentuk masa depan sesebuah negara dan mengawal integriti pemimpin. Justeru, seruan untuk memisahkan politik dan agama sebenarnya sudah tidak relevan.
Untuk perbahasan yang lebih lanjut dan terperinci tentang penunggang agama ini, anda boleh dapatkan e-book kami bertajuk: Penunggang Agama, di aplikasi al-Inarah.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”