Soalan
Assalamualaikum ustaz. Saya pernah melihat seorang perawat yang merawat dengan menggunakan kaedah ‘menurun’. Jadi, apa hukum berubat dengan perawat yang menggunakan kaedah seperti ini? Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Kami mulakan perbincangan ini dengan menukilkan pandangan-pandangan ulama yang berkaitan dengan ruang lingkup perawatan bagi perawat Islam. Dalam konteks perubatan alternatif di Malaysia perawat Islam lebih dikenali sebagai seorang yang mengamalkan ruqyah dan terlibat dengan perubatan alternatif atau komplementatif iaitu pelengkap kepada perubatan moden.
Syeikh Jibrin dalam fatwanya menyebut: “Sebenarnya dibolehkan menggunakan ruqyah bagi sesiapa yang baik bacaannya, memahami maknanya, mempunyai akidah yang betul dan melakukan amal perbuatan yang baik serta mempunyai peribadi yang baik. Tidak disyaratkan kepada penjampi (perawat) untuk mengetahui semua permasalahan furu’ (cabang) di dalam masalah agama dan mempelajari ilmu secara mendalam.
Hal ini berdasarkan kisah Abu Said yang menjampi orang yang telah sesat disengat binatang berbisa. Beliau berkata: “Kami tidak pernah mengetahui (surah al-Fatihah) sebagai ayat untuk menjampi atau seperti yang termaktub di dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.” Orang yang menjampi mestilah mempunyai niat yang baik dan bertujuan untuk memberikan manfaat kepada orang Islam serta tidak bercita-cita untuk memperolehi harta dan ganjaran agar jampi yang dibaca itu lebih berkesan.” (Lihat al-Lu’lu al-Makin, hlm. 22)
Adapun jika perawat Islam melakukan proses perubatan dengan menjampi pesakit seperti ruqyah atau sebagainya, maka perlulah menuruti syarat-syarat dalam menjampi. Ini kerana untuk membezakan antara ruqyah yang menepati sunnah dengan ruqyah yang bercanggah dengan sunnah.
Kami nukilkan di sini tiga syarat yang disebut oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, antara lain menyebut: “Para ulama telah sepakat tentang kebolehan membuat rawatan jika mengikuti tiga syarat ini:
- Ruqyah hendaklah dilakukan dengan menggunakan firman Allah SWT atau dengan nama-nama dan sifat-sifatnya.
- Ruqyah hendaklah dilakukan dengan menggunakan bahasa Arab atau sesuatu bahasa selain bahasa arab yang difahami maknanya.
- Hendaklah meyakini bahawa ruqyah itu tidak memberikan pengaruh dengan sendirinya tetapi hanyalah dengan izin Allah SWT. (Lihat al-Fath al-Bari, 10/240)
Imam al-Nawawi juga ada menyebut berkenaan isu ini, katanya: “Hendaklah meninggalkan ruqyah jika ruqyah yang dibaca berasal daripada ucapan-ucapan orang kafir, membuat rawatan dengan kalimah-kalimah asing, merawat dengan bacaan selain bahasa arab yang tidak diketahui maknanya. Semua itu tercela kerana ada kemungkinan maknanya adalah kekufuran, mendekati kekufuran atau makruh.
Adapun membuat rawatan dengan ayat-ayat al-Quran dan zikir-zikir yang difahami tidaklah dilarang, bahkan merupakan amalan yang sunnah. Para ulama telah menukilkan sebagai ijma’ tentang kebolehan membuat rawatan dengan ayat-ayat al-Quran dan zikir-zikir kepada Allah SWT.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/141-142)
Imam al-Syaukani berkata: “Bahawa harus meruqyah dengan kitab Allah SWT, dan diikuti dengan zikir dan doa-doa yang ma’thur, boleh juga doa yang tidak ma’thur selagi mana tidak bertentangan dengan yang ma’thur.” (Lihat Nail al-Autar, 10/440)
Isu Menurun dalam Rawatan
Berbalik kepada persoalan di atas, menurun adalah satu keadaan di mana seseorang itu dikuasai oleh jin atau jin-jin yang meresap dalam jasad, menyebabkan individu berkenaan tidak sedarkan diri atau separuh tidak sedarkan diri. Upacara-upacara dan tindak-tanduk yang dilakukan setelah itu bergantung kepada tujuan menurun itu dilakukan.
Menurun ini dapat difahami dalam tiga bentuk; tahdir al-arwah (menghadirkan roh-roh) ataupun tanasukh al-arwah (persalinan roh/reinkarnasi) dan istinzal al-arwah. Kebiasaannya ia merujuk kepada kaedah yang sama. Bomoh atau pawang yang sedang melakukan rawatan akan “berubah” menjadi “individu lain” dengan suara dan perwatakan yang berbeza. Ada yang memperkenalkan diri sebagai Bonda, Raja Bunian, pahlawan tertentu atau wali-wali dan nabi-nabi tertentu.
Memetik fatwa oleh Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi berhubung amalan tahdir al-arwah, beliau menyatakan bahawa ianya tidak mempunyai asas daripada al-Qur’an dan al-Sunnah serta satu pembohongan semata-mata. (Lihat al-Fatawa, hlm. 19)
Firman Allah SWT:
وَقَيَّضْنَا لَهُمْ قُرَنَاءَ فَزَيَّنُوا لَهُمْ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَحَقَّ عَلَيْهِمُ الْقَوْلُ فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِمْ مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ إِنَّهُمْ كَانُوا خَاسِرِينَ
Maksudnya: “Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara akhirat yang ada di belakang mereka; dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama-sama dengan umat umat (yang sesat) dari jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan yang rugi (bawaan hidupnya).”
(Surah Fussilat: 25)
Melibatkan bantuan daripada jin adalah salah satu bentuk syirik kepada Allah SWT. Walaupun ianya mungkin boleh berhasil (dengan izin Allah jua), amalan tersebut tetap bersalahan dengan syarak, berdasarkan ayat al-Qur’an di atas. Jin dan syaitan akan sedaya upaya menyesatkan manusia dengan pelbagai cara apatah lagi yang kelihatannya baik dan tidak bertentangan dengan Islam.
Penutup
Allah SWT berfirman:
وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الْإِنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”
(Surah al-Jin: 6)
Kami berpandangan bahawa pengamalan menurun adalah syirik dan haram dilakukan. Bagi yang pernah terlibat, hendaklah bertaubat kepada Allah SWT.
Mesyuarat Panel Kajian Aqidah ke-25/2003 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil keputusan bahawa pengamalan tahdhir arwah adalah haram.
Kami menyeru umat Islam supaya meninggalkan amalan-amalan yang membawa kepada syirik dan khurafat dan mempercayainya. Usaha dan ikhtiar yang ingin dilakukan untuk merawat apa jua masalah, hendaklah menepati kehendak syarak.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 17 Januari 2022 bersamaan 14 Jamadil Akhir 1443H