Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya selalu solat di Hentian R&R (Rehat dan Rawat). Biasanya, terdapat beberapa jemaah dengan berlainan imam yang solat dalam masa yang sama. Apakah hukum perbuatan ini? Adakah wujudnya banyak imam pada satu tempat dalam masa yang sama adalah dibolehkan? Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Solat merupakan salah satu kefardhuan yang utama dalam agama Islam. Ia merupakan ibadah yang paling mulia, yang mempunyai peranan yang penting dalam pembentukan peribadi seseorang bahkan keislamannya. Justeru, amat penting bagi kita dalam memahami hakikat daripada ibadah solat ini.

Al-Hasan al-Basri pernah mengungkapkan: “Wahai anak Adam, solat adalah ibadah yang dapat menghalangmu daripada maksiat dan kemungkaran. Sekiranya solat tidak menghalangmu daripada kemaksiatan dan kemungkaran, maka hakikatnya engkau belumlah mendirikan solat.” (Lihat al-Durr al-Manthur, 6/466)

Berdasarkan nasihat ini, kita dapat memahami bahawa solat yang dilakukan dengan benar, maka ia akan memberi kesan yang baik dalam sakhsiah diri seseorang.

Selain itu, orang yang menjaga solat juga akan terhindar daripada termasuk dalam kalangan orang yang lalai. Hal ini dapat dilihat dalam sebuah hadis, sabda Rasulullah SAW:

مَنْ حَافَظَ عَلَى هَؤُلاَءِ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوْبَاتِ لَمْ يُكْتَبْ مِنَ الْغَافِلِيْنَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menjaga solat-solat fardhu, maka dia tidak akan ditulis sebagai orang-orang yang lalai.”

Riwayat Ibn Khuzaimah (1142), al-Hakim (1160) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (2191)

Justeru, amat penting seseorang itu menjaga solat-solat Fardhu. Menjaga dan memelihara solat dengan maksud menunaikannya dengan sebaik mungkin, di samping khusyuk dalam solat.

Ganjaran Solat Berjemaah

Nabi SAW bersabda:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: “Solat berjemaah lebih baik (afdhal) daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali darjat.”

Riwayat al-Bukhari (645) dan Muslim (1477)

Dalam riwayat lain pula menyatakan:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا

Maksudnya: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kalian yang secara bersendirian sebanyak 25 bahagian.”

Riwayat Muslim (1504)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya. Ada yang dapat 25 darjat dan ada yang dapat 27 berdasarkan kesempurnaan solatnya dan sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/183)

Solat jemaah dari segi syara’ bermaksud menyambungkan solat makmum dengan solat imam iaitu sekurang-kurangnya seorang makmum, maka ia dinamakan solat jemaah dan mendapat pahala berjemaah. Ia merupakan satu syi’ar yang perlu dipertahankan dan ditunaikan oleh umat islam. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 289)

Pensyariatan solat jemaah boleh dilihat berdasarkan ayat al-quran, firman Allah SWT:

وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ ٱلصَّلَوٰةَ

Maksudnya”Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka.”

(Surah al-Nisa’: 102)

Imam Khatib al-Syarbini berkata: “Perintah ini diturunkan ketika waktu perang, maka sudah semestinya lebih utama dilakukan ketika dalam keadaan aman.” (Lihat Mughni al-Muhtaj,1/350)

Di sisi mazhab Syafie, hukum solat berjemaah mengikut pandangan yang muktamad dalam mazhab ialah fardhu kifayah. Ianya wajib dilakukan untuk menzahirkan syi’ar Islam di dalam sesebuah kariah atau kampung. (Lihat Minhaj al-Talibin, 1/38)

Dalam isu di atas, jika ada yang mendirikan solat secara berjemaah yang paling kurang mempunyai sorang imam dan makmum, maka dia tetap akan mendapat ganjaran berdasarkan hadis. Ini termasuklah solat jemaah yang dilakukan suami bersama isteri, ketika di hentian R&R dan lain-lain.

 

Isu Banyak Imam di Surau-Surau R&R pada Waktu yang Sama

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Pertama: Sekiranya seseorang yang bermusafir itu masuk ke dalam surau R&R dan mendapati terdapatnya solat berjamaah yang sedang didirikan, hendaklah dia mengikuti solat berjamaah tersebut meskipun dia sedang bermusafir.

Sekiranya dia dalam keadaan muwafiq iaitu mengikuti solat berjamaah dari awal solat, dan imam melakukan solat secara tamam (solat penuh empat rakaat), maka hendaklah dia turut mengikut imam sehingga selesai solat. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ ـ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا رَفَعَ فَارْفَعُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti. Apabila imam bertakbir, hendaklah kamu bertakbir. Apabila imam ruku’ hendaklah kamu ruku’ dan apabila imam bangun, hendaklah kamu bangun.”

Riwayat al-Bukhari (733)

Begitu juga berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.A bahawa beliau ditanyakan: “Mengapakah orang musafir itu menunaikan solat dua rakaat ketika bersendirian dan solat empat rakaat apabila dia berimamkan kepada orang yang mukim?” Maka jawab Ibn Abbas: “Yang demikian itu adalah sunnah.” (Lihat al-Mughni, 2/64)

Manakala jika dia (orang musafir) itu dalam keadaan masbuq iaitu telah lewat beberapa rakaat dari imam, maka jika imam selesai memberikan salam dia hendaklah terus naik dan hendaklah menyelesaikan solat secara tamam memandangkan dia merupakan seorang musafir yang mengikut imam yang solat tamam.

Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili berkata: “Sekiranya seseorang yang bermusafir itu mengikut imam yang mukim maka menjadi kelaziman buatnya untuk solat secara tamam (penuh). Ini kerana ia merupakan solat yang wajib untuk disempurnakan (solat secara penuh)”.

Beliau berkata lagi: Sekiranya (orang yang bermusafir itu) mengikut imam yang bermusafir dan dia jahil (tidak mengetahui) niat imamnya (sama ada beliau solat secara tamam atau qasar) maka dia boleh untuk menta’liqkan niatnya (mengikat niat). Iaitu dengan cara: “Sekiranya dia (imam) qasar maka aku pun qasar dan sekiranya dia solat tamam (solat penuh) maka aku pun tamam.”

Mengikut pendapat paling sahih ta’liqan (perbuatan mengikat niatnya) itu adalah sah. Maka sekiranya imam solat tamam dia pun turut solat tamam dan sekiranya imam solat qasar maka dia pun solat qasar. Ini kerana zahir dari keadaan musafir adalah qasar. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/475)

Kedua: Manakala seseorang yang mukim (tidak bermusafir) pula, apabila dia mengikuti solat berjamaah yang telah didirikan dan dia mendapati imam tersebut menunaikan solat secara qasar, maka apabila imam selesai memberi salam hendaklah dia bangun dan menyelesaikan bilangan rakaatnya secara penuh. Ini kerana dia tidak memiliki syarat-syarat untuk menqasarkan solat.

 

Hukum Mendirikan Banyak Jemaah Solat Di Satu Tempat Yang Sama

Dalam isu ini, apabila kita meneliti kepada kenyataan para fuqaha dalam kitab-kitab mereka, kita mendapati bahawa mereka memperincikan isu kepada tempat ia didirikan seperti berikut:

Pertama: Masjid

Masjid yang dimaksudkan di sini adalah masjid rasmi yang disediakan untuk jemaah menunaikan solat lima waktu, solat jumaat, dan selainnya yang telah mempunyai imam lantikan rasmi (imam ratib). Para fuqaha membahaskan hukum berlakunya dua imam serentak di dalam masjid dengan menyatakan hujahan masing-masing.

Imam al-Ramli dari kalangan ulama Syafi’eyyah berkata: Dimakruhkan untuk didirikan jemaah di masjid selain mathruq (tempat laluan orang ramai) yang mempunyai imam ratib (rasmi) tanpa izinnya sama ada (jemaah itu didirikan) sebelumnya, selepasnya, atau bersama dengannya (serentak). Sekiranya imam ratib itu tiada maka disunatkan untuk menunggunya (bagi mendirikan solat berjamaah). (Lihat Nihayah Al-Muhtaj, 2/141)

Manakala sebahagian fuqaha Malikiyyah berhujah menggunakan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin.”

(Surah al-Taubah: 107)

Imam Al-Qurthubi dalam tafsirannya ke atas ayat ini berkata: “Maksud ayat “memecah belah antara orang-orang mukmin” adalah memecahbelahkan jemaah mereka supaya mereka terpisah dan berpecah dari Nabi SAW. Ini menunjukkan bahawa maqasid paling besar serta tujuan paling utama solat secara berjamaah adalah untuk menyatupadukan hati-hati serta kalimah (umat Islam) di atas ketaatan”.

Kata beliau lagi: Imam Malik mengulas ayat ini dengan berkata: “Tidak boleh didirikan dua jamaah dalam masjid yang satu dengan dua imam”. (Pendapat) ini berbeza dengan majoriti ulama yang lain. Juga telah diriwayatkan bahawa Imam Al-Syafi’e turut melarang perkara ini kerana ia akan merosakkan kalimah serta membatalkan hikmah (solat berjamaah). (Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 8/174)

Kedua: Masjid al-Mathruq

Masjid al-Mathruq bermaksud masjid yang disediakan di tempat-tempat laluan orang ramai seperti di pasar contohnya. Dari segi makna kontemporari, istilah ini mencakupi surau-surau di kompleks beli belah, di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), dan seumpamanya.

Imam al-Ramli berkata: Maksudnya: Adapun masjid al-mathruq (masjid yang berada di kawasan laluan orang ramai) maka tidak dimakruhkan untuk berlakunya banyak jemaah padanya. Sekalipun jika masjid tersebut mempunyai imam ratib (rasmi). (Dan tidak makruh) untuk berlakunya dua jemaah serentak di dalamnya.

Kata beliau lagi: “Pendapat yang ditasrihkan dalam tatimmah tentang kemakruhan menjalankan dua jemaah (solat) dalam satu keadaan yang sama tempatnya adalah pada masjid yang bukan al-mathruq.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 2/141)

Sebagai kesimpulan dalam hal ini, kami melihat bahawa perlu dibezakan antara masjid yang rasmi dari sudut mempunyai jawatankuasa pengurusan, imam-imam ratib yang dilantik secara rasmi oleh jabatan-jabatan agama dengan surau-surau R&R yang lebih mirip keadaannya kepada istilah masjid al-mathruq menurut kitab-kitab feqh.

Kesimpulan

Justeru, berdasarkan kepada beberapa hujah yang kami kemukakan, adalah dibolehkan untuk berlakunya beberapa jemaah solat dalam keadaan serentak di surau-surau R&R secara umumnya. Ini kerana, ia tidak mempunyai imam rasmi dan tidak berciri dengan ciri-ciri masjid yang rasmi.

Meskipun begitu, bagi mendapat fadhilat besar solat berjamaah, disamping usaha untuk menzahirkan syiar dan kesatuan umat Islam, serta mengelakkan berlakunya kekeliruan apabila banyaknya imam dalam masa yang serentak, adalah lebih utama untuk dilakukan solat secara berjamaah dengan satu imam serta mengikuti tatacara solat yang telah kami sebutkan di atas.

Akhir kalam, kami tegaskan sekali lagi bahawa solat berjamaah adalah lebih utama untuk didirikan secara satu imam sahaja dalam satu-satu masa. Ini bagi menzahirkan syiar Islam iaitu umat Islam mampu bersatu dalam menunaikan solat berjamaah. Wujudnya banyak imam dalam satu masa yang sama serta di tempat yang sama, adalah gambaran luaran terhadap tiadanya kesatuan umat Islam dalam dada-dada mereka.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 16 Mac 2022 bersamaan 13 Syaaban 1443H

Leave a Reply