Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa beza antara fardhu dan wajib? Saya sering terkeliru dengan dua istilah ini. Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Perbezaan Definisi Wajib di Sisi Jumhur dengan Hanafiyyah

Menurut jumhur fuqaha’, iaitu di sisi al-Malikiyyah, al-Syafieyyah, dan al-Hanabilah, wajib dan fardhu adalah merupakan perkara yang sama dan tidak ada beza di antara keduanya dari sudut hukum dan makna. Kedua-duanya membawa maksud: Sesuatu yang mesti untuk dilakukan dan akan dikenakan hukuman terhadap sesiapa yang meninggalkannya.

Imam al-Subki ketika mendefinisikan wajib berkata: Wajib adalah suatu yang dituntut untuk melakukannya secara jazam. (Lihat al-Ibhaj Syarh al-Minhaj, 1/52)

Manakala Imam al-Baidhawi mentakrifkan wajib sebagai: Sesuatu yang menyebabkan orang yang meninggalkannya secara sengaja akan dicela oleh syarak. (Lihat al-Ibhaj Syarah al-Minhaj, 1/51)

Namun begitu, berbeza dengan fuqaha yang bermazhab Hanafi. Mereka mempunyai pandangan yang berbeza dalam mendefinisikan wajib. Salah seorang tokoh besar dari kalangan mereka iaitu Imam al-Kamal bin Humam berkata: Sekiranya sesuatu tuntutan yang jazam itu datang secara zhanni maka ianya adalah wajib.

Ibn Ami Haj al-Hanafi ketika mengulas kenyataan Ibn Humam ini berkata: Ataupun tuntutan yang jazam itu datang secara zhanni dalalahnya dari al-Quran atau zhanni dari sudut tsubutnya daripada Sunnah atau Ijma’ maka itu adalah wajib. (Lihat al-Taqrir wa Al-Tahbir Fi ‘Ilm Al-Usul, 2/107)

Berdasarkan kenyataan ini, dapat kita fahami bahawa wajib di sisi hanafiyyah adalah apa-apa yang syarak lazimkan kepada kita untuk melakukannya dan perintah itu datang secara zhanni dalalahnya atau zhanni al-thubut ataupun zhanni kedua-duanya. Iaitu apa-apa yang menyebabkan orang yang meninggalkannya berhak mendapat celaan daripada syarak sekiranya dia meninggalkannya dengan sengaja pada setiap masa.

Bagi golongan Hanafiyyah, mereka membezakan di antara fardhu dan juga wajib dengan melihat dari sudut dalil datangnya sesuatu perintah. Sebagai contohnya, golongan hanafiyyah mengatakan bahawa hukum sembelihan korban adalah wajib. Ini kerana, perintah melakukannya datang dalam bentuk khabar ahad yang merupakan dalil zhanni.

Manakala, sekiranya perintah melakukan sesuatu perbuatan itu datang dari dalil yang qath’ie, maka amalan tersebut merupakan suatu yang fardhu. Sebagai contohnya, perintah menunaikan solat datang secara qath’ie, maka ia adalah fardhu di sisi mereka.

Maka Hanafiyah meneliti kepada dalil yang melazimkan sesuatu perbuatan. Maka mereka pun membahagikan di antara wajib dan juga fardhu. Manakala Jumhur fuqaha meneliti kepada keadaan perbuatan itu yang merupakan suatu tuntutan lazim kepada mukallaf, tanpa melihat dari sudut dalilnya sama ada ia qath’ie ataupun zhanni.

Berdasarkan perbezaan ini, terdapat athar atau kesannya di sisi Hanafiyyah. Kami nyatakan seperti berikut:

  • Kemestian (luzum) dalam melakukan perbuatan wajib lebih rendah kedudukannya berbanding kemestian melakukan perbuatan fardhu.
  • Hukuman meninggalkan yang fardhu jauh lebih besar berbanding hukuman meninggalkan perbuatan yang wajib.
  • Seseorang yang mengingkari perkara wajib tidak jatuh ke tahap kufur. Manakala sesiapa yang mengingkari perkara fardhu boleh menjadi kufur.

Fardhu dan Wajib dalam Mazhab Syafi’i

Fardhu ialah sesuatu yang dituntut oleh Allah dengan tuntutan secara muktamad (جزم) dan pelakunya diberi pahala, manakala yang meninggalkannya dikenakan azab. Contohnya ibadat puasa: Syariat Islam menuntut supaya menunaikannya dengan tuntutan secara muktamad. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمْ الصِّيَامُ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa.”

(Surah al-Baqarah: 183)

Oleh itu, sesiapa yang berpuasa akan diberikan nikmat di dalam syurga dan sekiranya tidak berpuasa akan dikenakan azab di dalam neraka.

Dalam mazhab Syafie, wajib dan fardhu adalah sama kecuali pada bab haji. Wajib dalam bab tersebut ialah perkara yang tidak menjadi syarat sah ibadat haji. Dengan kata lain, meninggalkan perkara wajib haji tidak menyebabkan ibadat haji batal.

Contohnya: Melontar anak-anak batu di ketiga-tiga jamrah, berihram di miqat dan perkara wajib haji yang lain. Oleh itu sesiapa yang meninggalkan perkara-perkara wajib dalam ibadat haji, hajinya tetap sah tetapi dia dianggap telah melakukan kesalahan. Justeru dia wajib menggantikannya dengan fidyah, iaitu menyembelih binatang ternakan.

Sementara fardhu dalam bab haji ialah perkara yang apabila ditinggalkan akan menyebabkan ibadat haji luput dan tidak sah. Contohnya: Wuquf di Arafah, tawaf ifadhah dan fardu-fardu yang lain. Sesiapa yang meninggalkannya ketika menunaikan haji, batallah ibadat haji.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 16 Mac 2022 bersamaan 13 Syaaban 1443H

Leave a Reply