Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah di sana terdapat dalil yang mengarahkan kita untuk membuat kajian dalam membangunkan kehidupan kita, di samping mengenali Tuhan?

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Terdapat banyak dalil yang menunjukkan ke arah itu. Antaranya, firman Allah SWT:

قُلِ انظُرُوا مَاذَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya).”

(Surah Yunus: 101)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan kepada hamba-Nya untuk berfikir tentang penciptaan langit dan bumi, berserta apa yang ada di dalamnya seperti tanda-tanda yang tampak dari keteraturan alam yang sangat menakjubkan, planet-planet yang bercahaya dan bintang-bintang yang mengelilingi matahari, matahari dan bulan, siang dan malam berserta pergantian dan selisih panjang pendeknya, langit yang menjulang tinggi berserta luas dan keelokan aturannya.

Begitu juga tentang air hujan yang Allah turunkan sehingga tumbuh pelbagai jenis jenis buah-buahan, tanam-tanaman, bunga-bungaan, aneka ragam tumbuhan, binatang-binatang yang hidup di daratan mahupun di lautan dengan bentuk warna dan manfaatnya yang bermacam-macam, gunung-gunung dan daratan berserta kekayaan yang terkandung di dalamnya, juga lautan dan keajaiban-keajaiban yang terdapat di dalamnya, serta dapat dilalui oleh sesiapa sahaja yang hendak berpergian dengan kapal lautnya.

Kesemuanya itu berjalan sesuai dengan aturan dan kehendak serta kurniaan Allah SWT yang Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, yang tidak ada Tuhan dan Pengatur sekalian alam selain daripada-Nya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/250)

Sabda Nabi SAW sepertimana dalam riwayat Ibn Abbas R.A:

تفكَّروا في خلْقِ اللهِ تعالى، ولا تتفكَّروا في اللهِ

Maksudnya: “Berfikirlah kamu tentang makhluk Allah dan janganlah kamu berfikir tentang Allah.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Asma’ wa al-Sifat (887) dan al-Dailami dalam al-Firdaus (2318)

Syeikh al-Syarbasi berkata: Nas-nas di atas ini menunjukkan gesaan supaya kita mentadabbur dan mengkaji seluruh pelusuk bumi dan langit supaya kita terhenti atas jalan untuk membesar dan mengagungkan Allah SWT dalam penciptaan-Nya. Maka di sinilah kita memahami percubaan  manusia untuk meneroka angkasa lepas sehingga sampai ke ufuk yang pelbagai, daripada makhluk Allah dan tanda kekuasaannya. Perkara ini tidaklah bertentangan dengan agama selama mana ia bermaksud untuk mengenali dengan lebih mendalam maksud kitab Allah SWT. (Lihat Yas’alunaka Fi al-Din wa al-Hayah, 5/198)

Benarlah kata pujangga:

وَفِي كُلِّ شَيءٍ لَهُ آيةٌ             تَدلُّ عَلَى أَنَّه الوَاحِدُ

Pada setiap sesuatu itu ada tanda

            Yang menunjukkan bahawa Allah Bersifat Maha Esa (Lihat al-Mustatraf fi Kulli Fan al Mustazraf, 1/16)

Maka tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana orang untuk mengambil petunjuk daripadanya dengan dapatan kajian dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat sejagat dan mengislahkan urusan manusia.

Kami menutup dengan firman Allah SWT:

سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ وَفِي أَنفُسِهِمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ ۗ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

Maksudnya: “Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 10 Mac 2022 bersamaan 7 Syaaban 1443H

Leave a Reply