Apakah hukum darah yang keluar selepas pembedahan atau selepas makan ubat?

JAWAPAN

Imam al-Khatib al-Syarbini menjelaskan, sewaktu darah itu keluar dan berterusan keluar maka hendaklah wanita itu mengelakkan daripada solat dan perkara-perkara yang diharamkan sewaktu haid. Kemudian hendaklah dia menunggu dan meneliti darah tersebut sehingga sehari semalam (24 jam). Jika darah itu berterusan keluar atau berada dalam keadaan fatrah, yakni jika dimasukkan kapas ke dalam kemaluan, nampak darah apabila dikeluarkan selama 24 jam, secara berturut-turut atau terputus-putus, maka ia dihukum sebagai darah haid. Jika tidak cukup sehari dan semalam, maka ia bukan darah haid sebaliknya darah fasad. Jika darah fasad, maka hendaklah diganti semula solat fardu yang ditinggalkan pada waktu keluar darah tersebut. (Lihat al-Iqnāʿ fī Ḥall Alfāẓ Abī Syujāʿ, hlm. 140).

Tempoh minimum bagi haid di sisi mazhab Syafi’i adalah sehari semalam. Manakala tempoh maksimum bagi haid adalah selama 15 hari. (Lihat Minhāj al-Tālibīn, hlm. 37).

Jika darah yang keluar selepas daripada itu, maka ia dihukum sebagai darah istihadah atau darah yang keluar disebabkan oleh penyakit. Darah istihadah didefinisikan sebagai darah penyakit yang keluar melalui urat di hujung rahim yang dikenali sebagai al-‘azil (العاذل).” (Lihat al-Fiqh al-Manhajī, 1/79).

Darah istihadah membatalkan wudhu’ tetapi tidak mewajibkan mandi, bahkan wajib bersolat dan berpuasa. Perempuan yang istihadhah hendaklah membasuh darah istihadhahnya dan memakai kain lampin, berwudhu’ setiap kali solat fardhu, dan bersolat.

Ini berdasarkan hadis daripada Aisyah R.Anha katanya, Fatimah binti Abu Hubaish menemui Rasulullah SAW dan bertanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّى امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ فَلاَ أَطْهُرُ أَفَأَدَعُ الصَّلاَةَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ وَلَيْسَ بِحَيْضَةِ فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَةُ  فاترُكي الصَّلاَةَ فإِذَا ذَهَبَ قدرها فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Aku perempuan yang di datangi darah istihadhah dan masih belum bersuci, adakah aku perlu meninggalkan solat? Jawab Baginda SAW: Tidak perlu, kerana darah itu ialah darah penyakit, bukannya darah haidh. Ketika kedatangan haidh tinggalkanlah solat dan apabila tempohnya habis hendaklah kamu mandi membersihkan diri daripada darah, dan dirikanlah solat.” 

Riwayat al-Bukhari (236) dan Muslim (333)

Berkenaan sifat darah istihadah, terdapat hadis daripada daripada Fatimah binti Abu Hubaish R.Anha, dia kedatangan darah istihadhah, lantas Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا كَانَ دَمُ الْحَيْضَةِ فَإِنَّهُ دَمٌ أَسْوَدُ يُعْرَفُ فَإِذَا كَانَ ذَلِكَ فَأَمْسِكِى عَنِ الصَّلاَةِ فَإِذَا كَانَ الآخَرُ فَتَوَضَّئِى وَصَلِّى فَإِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ

Maksudnya: “Jika darah haidh, ia adalah darah yang dikenali kehitam-hitaman. Jika ia bersifat demikian janganlah bersolat dan jika sebaliknya maka berwudhu’lah dan dirikan solat, kerana darah itu ialah darah daripada urat (darah penyakit).”

Riwayat Abu Daud (286)

Difahami daripada hadis ini, bahawa sekiranya seorang wanita itu pandai membezakan warna darah, maka darah yang kuat itu adalah darah haid manakala darah yang lemah itu adalah darah istihadah. Bagaimana membezakan sifat darah kuat dan lemah? Menurut Habib Hasan bin Ahmad bin Muhammad bin Salim al-Kaf,

  1. Darah yang kuat keluar tidak kurang daripada sekurang-kurang tempoh haid; sehari dan semalam.
  2. Darah yang kuat keluar tidak lebih daripada sepanjang-panjang tempoh haid; 15 hari 15 malam.
  3. Darah yang lemah keluar tidak kurang daripada sepanjang-panjang tempoh haid; 15 hari 15 malam.
  4. Darah yang lemah keluar berterusan dan tidak putus (tanpa naqa’ atau berselang dengan darah kuat). (Lihat al-Taqrīrāt al-Sadīdah, hlm. 168).

Sekiranya salah satu daripada syarat ini tidak dipenuhi, maka hendaklah mengikut adat kebiasaannya. Saya cenderung untuk menyatakan bahawa darah yang keluar sesudah pembedahan atau pengambilan ubat-ubatan, dan ia keluar di luar waktu kebiasaan haid seseorang wanita, maka darah itu dianggap sebagai darah istihadah. Manakala, jika darah itu keluar pada waktu kebiasaan datang haid sehingga maksimum tempoh haid, maka darah itu adalah darah haid. Wallahu a’lam.

Leave a Reply