Soalan

Assalamualaikum ustaz. Selepas imam selesai membaca surah al-Fatihah, adakah beliau perlu diam terlebih dahulu sebelum membaca surah? Ini bagi memberi ruang kepada makmum untuk membaca al-Fatihah?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Membaca al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun qauli. Solat tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak ada solat (tidak solatnya) bagi sesiapa yang tidak membaca di dalamnya surah al-Fatihah.”

Riwayat Ibnu Majah (828)

Dalam menjelaskan hadith ini, Imam al-Nawawi menyebut: “Membaca al-Fatihah bagi yang mampu untuk membacanya merupakan kefardhuan dan rukun yang mana tidak diterjemahkan kepada bahasa selain dari bahasa arab dan juga tidak boleh diganti dengan bacaan yang lain daripada al-Quran. Ianya juga wajib dibaca pada kesemua solat sama ada solat fardhu mahupun solat sunat.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/283)

Hal ini memberi maksud bahawa tidak sah solat jika surah al-Fatihah tidak dibaca semasa menunaikan solat. Jika seseorang terlupa membaca al-Fatihah, kewajipan tersebut tidak tergugur daripadanya. Pandangan ini adalah kesepakatan yang telah dirumuskan oleh jumhur ulama yang bermazhab Syafie. Inilah juga yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat al-Majmu’, 3/288)

Berkenaan isu hukum membaca al-Fatihah bagi makmum, kami cenderung kepada pendapat yang mewajibkan makmum membaca al-Fatihah di dalam solat. Iaitu tidak boleh berpada dengan bacaan al-Fatihah imam semata-mata. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah bin al-Samit bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak sah solat bagi sesiapa yang tidak membaca surah al-Fatihah.”

Riwayat al-Bukhari (756)

Dari sudut pandang ilmu usul feqh, perkataan لاَ di dalam hadis di atas adalah la al-naafiyah yang menunjukkan kepada penafian. Dalam konteks di atas, ia menafikan kesahihan solat seseorang yang tidak membaca surah al-Fatihah.

Manakala lafaz مَنْ adalah antara lafaz yang membawa kepada makna umum. Ini bererti, kewajipan membaca Al-Fatihah itu adalah umum dalam meliputi mereka yang solat sama ada imam ataupun makmum.

Kerana itulah Imam al-Nawawi berkata: “Mazhab kami berpandangan wajibnya makmum membaca al Fatihah pada setiap rakaat solat sama ada solat al-sirriyyah (yang dibaca perlahan) atau solat al-jahriyyah (yang dibaca kuat) dan inilah pandangan yang sahih di sisi kami sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini dan ini jugalah pendapat kebanyakan para ulama’. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/323)

Beliau turut menyebut: “Jumhur umat Islam berpendapat wajib membaca al-Fatihah di belakang imam sama ada pada solat sirr (perlahan) atau jahr (kuat).” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/365)

Makmum Perlu Membaca al-Fatihah Serentak dengan Imam atau Mendengar?

Dalam isu ini, para fuqaha berbeza pendapat tentang hukumnya. Namun jika dilihat kepada zahir ayat al-Quran, Allah SWT berfirman:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Dan apabila dibacakan al-Quran, hendaklah kamu mendengarnya (dengan teliti) dan diamlah kamu, mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.”

(Surah al-A’raf: 204)

Dalam ayat di atas, terdapatnya perintah untuk mendengar Al-Quran dengan teliti apabila dibacakan ayat-ayat Al-Quran kepada kita.

Imam Diam Seketika Selepas Baca al-Fatihah

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami kongsikan pendapat Imam al-Nawawi dalam isu ini. Beliau berkata: ’Pendapat yang sahih adalah, disunatkan bagi seorang imam dalam keadaan ini (sesudah membaca al-Fatihah) untuk menyibukkan dirinya dengan zikir dan juga doa. Ataupun dia membaca ayat-ayat al-Quran secara perlahan, kerana itulah tempatnya.”  (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/364)

Pendapat ini bertujuan untuk memberikan ruang kepada makmum di belakang untuk menyelesaikan bacaan al-Fatihah mereka.

Imam al-Nawawi ketika menyatakan bahawa imam disunatkan untuk membaca zikir atau ayat Al-Quran secara perlahan sesudah membaca al-Fatihah berhujah dengan katanya: “Diam sesudah al-Fatihah tidak menafikan sebarang pembacaan. Ini seperti sesudah takbiratul ihram kita disunatkan untuk membaca doa istiftah.”

Imam al-Nawawi mengulas: Dinamakan sebagai sukut (diam) meskipun berlaku pembacaan pada ketika itu. Lalu beliau kongsikan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW ditanyakan:

 مَا تَقُولُ فِي سُكُوتِكَ بَيْنَ التَّكْبِيرِ وَالْقِرَاءَةِ قَالَ أَقُولُ اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَاىَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنْ خَطَايَاىَ كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ اللَّهُمَّ اغْسِلْنِي مِنْ خَطَايَاىَ بِالثَّلْجِ وَالْمَاءِ وَالْبَرَدِ

Maksudnya: Apakah yang kamu baca dalam diam kamu antara takbir dengan bacaan (al-Fatihah)? Lalu baginda menjawab: Aku membaca: “Ya Allah jauhkanlah antara diriku dengan dosa-dosa ku sebagaimana Kau telah menjauhkan antara timur dan juga barat. Ya Allah Kau bersihkan lah aku dari dosa-dosaku sebagaimana dibersihkan pakaian yang putih dari kotoran. Ya Allah Kau basuhlah dosa-dosaku dengan salji, air, dan juga embun (kesejukan).”

Riwayat al-Nasaie (60)

Ini menunjukkan bahawa Imam al-Nawawi menggunakan dalil qiyas dalam permasalahan di atas. Justeru, beliau mengatakan bahawa sunat bagi imam untuk diam seketika selepas membaca al-Fatihah supaya makmum ada ruang untuk menyelesaikan bacaan al-Fatihah mereka. Manakala diamnya imam pada ketika itu diisi dengan zikir, doa, ataupun bacaan al-Quran secara perlahan.

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa seorang imam itu boleh sahaja untuk meneruskan bacaan al-Quran selepas selesai membaca al-Fatihah sekiranya bacaan al-Quran itu panjang.

Namun jika imam ingin membaca surah-surah lazim yang pendek selepas al-Fatihah, dia disunatkan untuk diam seketika selepas al-Fatihah agar memberi ruang kepada makmum untuk menyelesaikan bacaan al-Fatihah mereka.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H

Leave a Reply