SOALAN
Jika suami seorang wanita meninggal dunia di rumahnya dan jenazahnya hendak diuruskan di masjid, bolehkah wanita itu turut pergi ke masjid sebagai penghormatan terakhir kepada arwah suaminya?
JAWAPAN
Dari sudut istilah, iddah memberi maksud tegahan kepada wanita untuk berhias dan yang membawa kepada maknanya pada tempoh tertentu dalam keadaan tertentu. Ia membawah maksud tegahan daripada bermalam selain daripada rumahnya. (Lihat Fatḥ al-Qādir, 3/293; Nihāyah al-Muḥtāj, 7/140).
Daripada Ummu Habibah radhiyallahu ‘anha katanya:, Rasulullah ṣallallāhu ʿalayhi wasallam bersabda:
لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ تُحِدُّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا
Maksudnya: “Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berkabung di atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan apabila kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari.”
Riwayat al-Bukhārī (5024) dan Muslim (1486)
Jika perempuan itu mengandung semasa kematian suaminya, maka `iddahnya berakhir dengan kelahiran anaknya sama ada `iddah itu mengambil masa yang panjang atau pendek. Jika isteri tidak mengandung atau mengandung akan tetapi bukan daripada benih suami yang meninggal dunia. Contohnya isteri mengandung, tetapi suaminya belum baligh atau suaminya telah lama hilang melebihi empat tahun sama ada dia telah menyetubuhi isterinya ataupun belum, maka `iddahnya adalah dengan berakhirnya empat bulan sepuluh hari. (Lihat al-Fiqh al-Manhajī, 3/63)
Perempuan yang berada di dalam ‘iddah kerana kematian wajib ke atasnya melakukan perkara seperti berikut:
- Berkabung atas kematian suaminya dengan tidak berhias dan mengenakan bau-bauan seperti bersolek, berhias, memakai baju berwarna terang, memakai barang kemas dan selainnya.
- Wajib menetap di rumah yang didudukinya selama tempoh ‘iddah. Isteri juga tidak dibenarkan keluar melainkan sekiranya ada keperluan dan hajat. Contohnya membeli keperluan makanan, bekerja sekiranya tidak dibenarkan Bekerja Daripada Rumah (BDR) secara berterusan sepanjang tempoh ‘iddahnya. Begitu juga dibolehkan sekadar keluar untuk berbual-bual dengan jiran bagi menghilangkan kesunyian dan kesedihan. (Lihat al-Fiqh al-Manhajī, 3/71-73).
Imam Ramli di dalam kitabnya menyatakan, keharusan ini terikat dengan satu syarat iaitu hendaklah wanita ber’iddah hanya keluar pada waktu siang dan mesti balik bermalam di rumah tempat ‘iddahnya. (Lihat Nihāyah al-Muḥtāj, 7/156).
Justeru, tidak dibolehkan untuk seorang isteri yang dalam ‘iddah mengiringi jenazah suami ke masjid sebagai penghormatan terakhir. sebagai salah satu tanda isteri yang solehah, hendaklah sentiasa mematuhi agama Islam dan syariat walaupun pada saat suaminya telah meninggal dunia. Dengan sikap yang ditunjukkan itu, ia akan membawa banyak kebaikan dalam kehidupannya selepas itu. Ziarahlah kubur suami selepas tempoh ‘iddah dengan mematuhi syarat dan adabnya. Wallahu a’lam.