Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Mohon jelaskan tentang status kesucian penggunaan kerusi roda yang dibawa ke saf solat. Ini kerana, kerusi roda yang digunakan oleh golongan Orang Kelainan Upaya (OKU biasanya) akan melalui juga kawasan-kawasan luar dan tempat-tempat yang diragui kesuciannya. Mohon pencerahan dalam isu ini.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Kerusi Roda

Dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, kerusi roda didefinisikan sebagai sejenis kerusi beroda untuk kegunaan orang cacat anggota atau orang sakit.

Menurut portal myHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, kerusi roda merupakan alat bantuan pergerakan untuk seseorang individu yang tidak mampu berjalan akibat penyakit, kecederaan dan amputasi. Kerusi roda membolehkan penggunanya bergerak bebas dan melakukan aktiviti harian (activities of daily living – ADL), bersekolah, bekerja dan aktiviti riadah secara berdikari. Kerusi roda dapat meningkatkan tahap keyakinan penggunanya apabila membolehkan penggunanya menikmati kehidupan seharian secara optimal seperti individu lain.[1]

Contoh kerusi dan aksesori

Jenis-jenis Kerusi Roda

Secara umumnya, terdapat 3 jenis kerusi roda yang terdapat dalam pasaran. Perinciannya adalah seperti berikut:

Jenis pertama ialah kerusi roda yang boleh dikendalikan oleh pengguna sendiri. Pengguna perlu mempunyai kekuatan anggota atas yang mencukupi untuk menggunakan kerusi roda jenis ini. Pengguna yang berpotensi untuk pulih anggota atasnya juga digalakkan menggunakan kerusi roda jenis ini bagi mendorong pengguna untuk bergerak secara berdikari kelak. Kerusi roda yang diperbuat daripada besi lebih berat dari kerusi roda yang diperbuat daripada aluminium. Biasanya bagi penggunaan yang kerap, pengguna dinasihatkan membeli kerusi yang diperbuat daripada aluminium kerana ia lebih ringan, mudah dan menjimatkan tenaga untuk dikendalikan. Namun kos membeli kerusi roda aluminium adalah lebih tinggi berbanding kerusi roda besi.

Kerusi roda aluminium dan Kerusi roda besi

Jenis kedua ialah kerusi roda yang memerlukan bantuan orang lain untuk dikendalikan. Kerusi roda jenis ini selalunya digunakan untuk kanak-kanak, pesakit terlantar dan warga emas yang tidak mampu mengendalikan sendiri kerusi roda mereka. Penyandar kerusi roda ini biasanya boleh diturunkan mengikut kesesuaian pengguna.

Contoh kerusi yang memerlukan bantuan untuk kendalian

Jenis ketiga ialah kerusi roda berkuasa elektrik. Kerusi roda ini sesuai digunakan di dalam dan di luar rumah. Kos kerusi roda ini lebih tinggi berbanding kedua-dua jenis kerusi roda di atas. Kerusi roda ini biasanya mempunyai pengecas elektrik dan tombol untuk mengendalikan arah atau haluan kerusi roda. Kerusi roda ini disyorkan kepada pengguna yang ingin bergerak secara berdikari dan pantas seperti di tempat kerja, di sekolah, di pusat membeli belah dan lain-lain.[2]


Contoh kerusi roda berkuasa elektrik

 

Kesucian Sebagai Syarat Sah Solat

Antara syarat sah solat adalah pakaian, tempat dan badan mestilah bersih daripada najis. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya: “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”

(Surah Al-Muddathir: 4)

Al-Syaukani menyatakan bahawa ayat di atas bermaksud Allah SWT memerintahkannya untuk membersihkan pakaiannya dan memelihara pakaian tersebut daripada najis. Manakala Qatadah pula menyatakan bahawa maknanya adalah bersihkanlah dirimu daripada dosa-dosa. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 776)

Al-Sa‘di dalam tafsirnya menyebutkan bahawa berkemungkinan lafaz ‘pakaian’ dalam ayat ini bermaksud  seluruh perbuatan Rasulullah SAW dan makna ‘membersihkannya’ pula adalah dengan tulus dan ikhlas serta melaksanakannya dengan sebaik-baik pelaksanaan  dan memurnikannya daripada sebarang perkara yang membatalkan, merosakan dan mengurangkan pahalanya seperti syirik, riyak, nifak, ujub, takbur, lalai dan sebagainya yang diperintahkan kepada hamba-Nya untuk ditinggalkan ketika peribadatan kepada-Nya. Termasuk juga dalam perkara itu, perintah untuk membersihkan pakaian daripada najis. Hal ini kerana perkara tersebut merupakan sebahagian daripada kesempurnaan penyucian amalan khususnya di dalam solat, sebagaimana dinyatakan oleh para ulama bahawa menghilangkan najis daripadanya termasuk dalam syarat sah solat.

Selain itu, berkemungkinan juga lafaz ‘pakaian’ itu adalah dengan makna pakaian sebagaimana yang kita ketahui. Dalam erti kata lain, Rasulullah SAW diperintahkan untuk membersihkan pakaiannya daripada segala jenis najis pada setiap waktu khususnya ketika masuknya waktu solat. Sekiranya Baginda diperintahkan dengan penyucian secara zahir, maka sesungguhnya penyucian secara zahir itu merupakan sebahagian daripada kesempurnaan penyucian secara batin. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/895)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya menyebut bahawa ayat itu bermaksud jagalah pakaian daripada najis dan kotoran. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 29/210)

Maka, termasuk syarat sah solat bahawa hendaklah suci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solatnya. Hal ini juga sepertimana yang dinyatakan oleh al-Khatib al-Syarbini: “Syarat kelima: Mestilah suci daripada najis yang tidak dimaafkan pada pakaian dan badan, iaitu pakaian dan badannya walaupun di dalam hidung, mulut, mata atau telinganya. (Mestilah juga suci juga) pada tempat solatnya iaitu tempat yang didirikan solat di atasnya. Tidak sah solat jika terdapat najis pada tempat-tempat tersebut walaupun dalam keadaan seseorang itu tidak mengetahui kewujudannya atau tidak tahu bahawa ia membatalkan solat.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/402)

Oleh itu, sekiranya terdapat najis yang tidak dimaafkan pada pakaian atau tempat solat seseorang, maka solatnya tidak sah. Begitu juga sekiranya dia menanggung najis dengan pakaiannya yang menyentuh najis, maka solatnya juga tidak sah. Hal ini sebagaimana dijelaskan oleh Imam al-Syirazi: “Jika sekiranya seseorang memakai pakaian yang bersih dan hujungnya itu terkena dengan najis, contohnya seperti seseorang memakai serban di atas kepala dan hujungnya jatuh ke tanah yang bernajis, maka tidak sah solatnya kerana dia menanggung dengan apa yang bersambung dengan najis tersebut.” (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i, 2/119)

Imam al-Nawawi dalam syarahannya pula menyebut: “Apa yang disebutkan oleh pengarang ini merupakan sesuatu yang disepakati. Ia sama ada hujung yang bersentuhan dengan najis tersebut bergerak dengan berdiri, duduk, rukuk dan sujudnya ataupun tidak bergerak. Inilah mazhab kami yang tiada khilaf padanya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/150)

Justeru, solat seseorang itu tidak sah sekiranya terdapat najis pada badan atau tempat solatnya atau menanggung najis pada dirinya.

 

Isu Status Kesucian Kerusi Roda di Saf Solat

Allah SWT memerintah umat Islam bukan sahaja membersih dan menyucikan diri sebelum pergi ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah di masjid, bahkan turut memilih pakaian yang cantik dan indah. Firman Allah SWT di dalam al-Quran:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang).”

(Surah al-A’raf: 31)

Begitu juga, Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad SAW sendiri supaya membersih pakaiannya apabila ingin menunaikan solat. Allah SWT berfirman:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya: “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”

(Surah al-Muddatthir: 4)

Justeru itu, para ulama telah meletakkan syarat suci daripada hadas kecil dan besar serta bersih daripada najis pada badan, pakaian dan juga tempat solat sebagai salah satu daripada syarat sah solat. Hal ini disebutkan di dalam banyak kitab-kitab fiqh, antaranya oleh Imam Ibn Qasim al-Syafie: “Syarat sah solat yang pertama ialah suci anggota badan daripada hadas kecil dan hadas besar, serta bersih daripada najis –iaitu yang tidak diampunkan, pada pakaian, badan dan tempat solat”. (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib Syarh Matan al-Taqrib, hlm. 73)

Berdasarkan pandangan di atas, kami melihat bahawa kerusi roda yang dibawa untuk solat di atasnya juga turut disyaratkan suci daripada najis. Hal ini kerana ia termasuk dalam alatan yang digunakan untuk menunaikan solat sama seperti sejadah, pakaian dan seumpamnya. Oleh itu hendaklah dipastikan bahawa tiada najis yang terkena pada kerusi roda tersebut untuk digunakan bagi mendirikan solat.

Walau bagaimanapun, jika kita menekuni lebih mendalam isu ini, kita akan mendapat situasi ini hampir sama dengan hukum memakai alas kaki atau kasut ketika solat. Di dalam satu hadith, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ : فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu datang ke masjid, maka lihatlah jika ada kotoran atau najis pada kasutnya. Jika ada, maka hendaklah disapunya (dibersihkannya) dan dibolehkan bersolat dengan memakai kasut itu.”

Riwayat Abu Dawud (650) dan al-Baihaqi (3889) dalam al-Sunan al-Kubra

Ibn Ruslan berkata: Perkataan ‘الْأَذَى’ pada bahasa iaitu yang keji dan kotor sama ada ia bersih atau najis. (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 3/72)

Dalam satu riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ جِبْرِيلَ أَتَانِي فَأَخْبَرَنِي أَنَّ بِهِمَا خَبَثًا ، فَإِذَا جَاءَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلْيَقْلِبْ نَعْلَيْهِ ، فَلْيَنْظُرْ : فِيهِمَا خَبَثٌ ؟ فَإِنْ وَجَدَ فِيهِمَا خَبَثًا ، فَلْيَمْسَحْهُمَا بِالْأَرْضِ، ثُمَّ لِيُصَلِّ فِيهِمَا

Maksudnya: Sesungguhnya Jibril AS datang kepadaku dan memberitahu bahawa di kasutku terdapat kotoran. Maka jika seseorang daripada kamu datang ke masjid hendaklah dia melihat di belakang tapak kasutnya, adakah terdapat kotoran padanya? Jika sekiranya terdapat kotoran hendaklah dia menyapunya (membersihkannya) dengan tanah, lalu dia boleh untuk mendirikan solat dengan memakai kasut tersebut.”

Riwayat Ahmad (11153) dan al-Hakim (955)

Ibn Malik ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, jika sekiranya kasut terkena najis, kemudian dihilangkan dengan disapu oleh tanah sehingga hilang kesannya, maka diharuskan solat dengannya. (Lihat Syarh Masabih al-Sunnah, 1/457)

Oleh itu, dapat difahami daripada hadith ini bahawa jika sesuatu yang diguna ke dalam solat seperti kasut dan kasut roda, jika tidak ada kotoran atau najis yang nyata padanya atau hilang kesannya dengan sebab disapu oleh tanah, maka sah dan harus hukumnya untuk digunakan untuk solat. Namun, jika sekiranya ada kotoran padanya, maka hendaklah menghilangkannya terlebih dahulu.

Dalam satu hadith lain, yang diriwayatkan daripada Ummu Walad bahawa Ibrahim bin Abdul Rahman bin ‘Auf bertanya kepada Ummu Salamah isteri Rasulullah SAW, bahawa beliau RAnha berkata:

إِنِّي امْرَأَةٌ أُطِيلُ ذَيْلِي وَأَمْشِي فِي الْمَكَانِ الْقَذِرِ . فَقَالَتْ أُمُّ سَلَمَةَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : يُطَهِّرُهُ مَا بَعْدَهُ

Maksudnya:Sesungguhnya aku adalah wanita yang labuh pakaiannya, dan aku berjalan melalui kawasan yang kotor. Lalu Ummu Salamah RAnha menjawab: Rasulullah SAW bersabda: Apa (iaitu tanah) yang selepasnya akan menyucikannya.”

Riwayat Abu Dawud (383)

Hal ini menunjukkan bahawa apabila seseorang yang memakai jubah yang labuh melalui jalan yang kotor, maka ia akan disucikan dengan tanah yang bersih selepasnya. Kita melihat bahawa Rasulullah SAW tidak memberat-beratkan dengan menyuruh Ummu Salamah membersih atau membasuh pakaiannya apabila melalui jalan yang kotor. Hal ini juga menunjukkan bahawa selagimana tiada kesan kotoran atau najis yang nyata, maka ia dikira sebagai suci dan bersih.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa status kesucian kerusi roda yang dibawa ke saf solat adalah diharuskan dan suci selagi mana tiada najis (ain najasah) yang nyata padanya, serta tidak mengotorkan lantai atau karpet masjid. Sekiranya terdapat kotoran atau najis yang akan mencemarkan kesucian masjid, maka hendaklah dihilangkan dan dibersihkan terlebih dahulu. Disamping itu, jika terdapat cadangan untuk menyediakan kerusi roda yang digunakan hanya di dalam masjid oleh pihak masjid sendiri, perkara tersebut sangatlah dialu-alukan dan disyorkan.

Akhirnya, hendaklah kita memuji usaha dan pengorbanan golongan-golongan OKU ini bagi menghadiri solat berjemaah di masjid serta meraikan mereka dengan memudahkan urusan mereka untuk menyempurnakan ibadah tersebut. Sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan dalam syariat-Nya ini suatu keberatan terhadap hamba-Nya untuk melaksanakannya. Firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

(Surah al-Hajj: 78)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 Mac 2022 bersamaan 27 Rejab 1443H

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/memilih-kerusi-roda-yang-sesuai/

[2] Lihat http://www.myhealth.gov.my/memilih-kerusi-roda-yang-sesuai/

Leave a Reply