Soalan

Assalamualaikum ustaz. Terdapat imam yang membaca khutbah terlalu perlahan sehingga ada makmum yang tidak dapat mendengar isi khutbah tersebut. Maka adakah sah Jumaat tersebut? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat Jumaat merupakan perhimpunan seminggu sekali bagi orang Islam. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ الله وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang beriman, apabila kamu diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu mengingati Allah dan tinggalkanlah jual-beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.”

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Mendengar khutbah jumaat adalah dituntut. Sekalipun para fuqaha berbeza pendapat tentang hukumnya di antara wajib dan juga sunat, akan tetapi tetap menjadi tuntutan dan keutamaan bagi mereka yang hadir untuk mendengar khutbah dengan teliti.

Syarat sah bagi solat Jumaat hendaklah didahului dengan dua khutbah di sisi jumhur ulama termasuk mazhab al-Syafie. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab bahawa:

“Tidak sah solat Jumaat sehingga ia didahului oleh dua khutbah, berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Nabi SAW, bahawa Baginda SAW bersabda: “Solatlah kalian sepertimana kalian melihat aku solat.” Tidak boleh didirikan solat Jumaat kecuali didahului dua khutbah, yang mana berdasarkan hadis yang diriwayat daripada Ibn Umar RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW sentiasa berkhutbah pada hari Jumaat, Baginda SAW duduk di antara kedua-duanya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/513)

Justeru, jelas bahawa khutbah Jumaat merupakan syarat sah solat Jumaat, dan ia tidak sah tanpanya. Menurut Imam Ibn Qudamah, ia merupakan perkara yang disepakati oleh para ulama kecuali al-Hasan al-Basri. (Lihat al-Mughni, 2/74)

Khutbah Jumaat Terlalu Perlahan

Berkenaan isu di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Jika didengar lebih daripada empat puluh orang, maka solat jumaat tersebut adalah sah. Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/205-206) berkenaan syarat dua khutbah, antara lain menyebut:

Kedua-dua khutbah Jumaat itu mempunyai beberapa syarat, iaitu:

  1. Ketika membaca khutbah, khatib hendaklah berdiri jika mampu. Di antara kedua-dua khutbah tersebut hendaklah diselangi dengan duduk. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Jabir bin Samurah RA berkata:

كَانَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ خُطْبَتَيْنِ يَجْلِسُ بَيْنَهُمَا وَكَانَ يَخْطُبُ قَائِمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW berkhutbah dengan dua khutbah, diselangi dengan duduk di antara kedua-duanya dan Baginda berkhutbah dalam keadaan berdiri.

[Riwayat Muslim (861), Abu Dawud (1092), Ibn Majah (912), al-Tirmizi (506), Ahmad (5726) dan al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1722)]

  1. Khutbah tidak dikemudiankan daripada solat Jumaat. Hal ini kerana mengikut sunnah Rasulullah SAW seperti yang telah diketahui daripada beberapa hadith tentang solat Jumaat serta ijma’ ulama’.
  2. Khatib hendaklah suci daripada hadas kecil dan besar serta najis yang tidak dimaafkan pada pakaian, badan dan tempatnya. Khatib juga hendaklah menutup aurat. Syarat ini kerana khutbah itu adalah sama seperti solat. Malah dua khutbah tersebut adalah sebagai ganti dua rakaat daripada solat Zuhur. Maka disyaratkan bagi khutbah sebagaimana yang disyaratkan kepada solat seperti suci dan sebagainya.
  3. Rukun-rukun khutbah hendaklah dibaca dalam bahasa Arab. Khatib hendaklah menyampaikan semua rukun khutbah dalam bahasa Arab walaupun ia tidak difahami oleh para jemaah. Sekiranya tidak ada orang yang tahu berbahasa Arab sedangkan ada masa mempelajarinya maka semua jemaah tersebut berdosa dan tidak boleh mendirikan Jumaat tetapi hendaklah mendirikan solat Zuhur. Sekiranya kesempatan mempelajari bahasa Arab itu tidak ada, maka rukun-rukun khutbah itu hendaklah diterjemahkan kepada sebarang bahasa yang sesuai dan solat Jumaat itu dikira sah.
  4. Berturut-turut antara rukun-rukun khutbah yang pertama dan kedua, dan antara khutbah kedua dengan solat Jumaat. Jika berhenti lama pada pandangan umum antara khutbah pertama dengan khutbah kedua atau antara dua khutbah dengan solat Jumaat maka khutbah tersebut adalah tidak sah. Sekiranya boleh diulangi khutbah itu semula maka wajib diulangi, dan jika tidak hendaklah diteruskan dengan solat Zuhur.
  5. Rukun dua khutbah hendaklah didengar 40 orang jemaah yang memenuhi syarat-syarat wajib solat Jumaat.

Rukun dua khutbah tersebut ialah:

  • Memuji Allah SWT dengan menggunakan sebarang lafaz.
  • Berselawat ke atas Nabi SAW dengan sebarang lafaz selawat. Sebutan nama Nabi SAW hendaklah disebut dengan jelas seperti lafaz Nabi, Rasul atau Muhammad dan tidak memadai dengan sebutan ganti nama sebagai ganti kepada lafaz-lafaz tersebut.
  • Memberi nasihat supaya bertaqwa kepada Allah SWT dengan menggunakan sebarang lafaz dan gaya bahasa.

Ketiga-tiga rukun itu menjadi rukun bagi kedua-dua khutbah. Oleh itu tidak sah kedua-dua khutbah Jumaat melainkan dengan menyempurnakan rukun-rukun tersebut. Membaca satu ayat al-Quran pada satu daripada dua khutbah. Ayat al-Quran yang dibaca itu hendaklah boleh difahami dan jelas maknanya. Tidak memadai membaca satu ayat daripada beberapa huruf potong pada awal surah. Mendoakan orang mukmin dalam khutbah yang kedua dengan sebarang doa.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/205-206)

Justeru, sah solat Jumaat itu jika ia telah didengari oleh 40 orang yang bermastautin. Sekiranya, jemaah selain daripada 40 orang itu tidak mendengar, ia tidak menjejaskan sahnya khutbah Jumaat itu. Semoga diberi kefahaman kepada kita untuk agama kita ini. Amiin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

Leave a Reply