SOALAN

Seseorang yang telah bertaubat daripada maksiat, tapi masih mengulanginya banyak kali. Adakah taubatnya diterima?

JAWAPAN

Allah SWT berfirman:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “…dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur: 31)

Imam al-Nawawi menyebutkan: “Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah SWT – yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia – maka syaratnya ada tiga: (i) menjauhi dan meninggalkan maksiat, (ii) menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut (iii) berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.

Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak sah. Namun, sekiranya maksiat itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat. Iaitu ketiga-tiga syarat di atas (dan ditambah satu syarat lagi, iaitu):

Hendaklah dia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya). Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ia berbentuk ghibah, maka harus minta dihalalkan. (Lihat Riyadh al-Salihin, hlm. 41-42).

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ عَبْدًا أَصَابَ ذَنْبًا ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَذْنَبَ ذَنْبًا ، فَقَالَ : رَبِّ أَذْنَبْتُ ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَصَبْتُ ، فَاغْفِرْ لِي ، فَقَالَ رَبُّهُ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ، ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ أَصَابَ ذَنْبًا أَوْ أَذْنَبَ ذَنْبًا ، فَقَالَ : رَبِّ ، أَذْنَبْتُ أَوْ أَصَبْتُ آخَرَ ، فَاغْفِرْهُ ، فَقَالَ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ، ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ أَذْنَبَ ذَنْبًا ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَصَابَ ذَنْبًا ، قَالَ : قَالَ رَبِّ ، أَصَبْتُ أَوْ قَالَ أَذْنَبْتُ آخَرَ : فَاغْفِرْهُ لِي ، فَقَالَ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ثَلَاثًا ، فَلْيَعْمَلْ مَا شَاءَ

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang hamba melakukan dosa lalu dia berkata: “Ya Tuhan, aku telah berdosa. Ampunilah diri ku.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dan menghukum dosanya? Aku telah mengampuni hamba-Ku. Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhan ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku. Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhan-ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku. sebanyak tiga kali. Maka biarlah dia lakukan apa yang dia kehendaki.”

Riwayat al-Bukhari (7507)

Badr al-Din al-‘Aini berkata: “Setiapkali engkau melakukan dosa, maka bertaubatlah. Allah mengampuni dosamu. Imam al-Nawawi menyebut tentang hadis ini dengan katanya, ‘Sesungguhnya walaupun dosa walaupun terulang seratus malah seribu atau lebih, dan dia bertaubat setiap kali daripadanya, maka taubatnya diterima. Atau dia bertaubat dari semua (dosa) dengan sekali taubat setelah semua (dosa), maka taubatnya sah.” (Lihat ‘Umdah al-Qari fi Sharh Sahih al-Bukhari, 25/163).

Begitu juga dalam sebuah hadis lain sebagaimana yang disampaikan oleh Anas bin Malik, katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW,

” قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: ‌يَا ‌ابْنَ ‌آدَمَ ‌إِنَّكَ ‌مَا ‌دَعَوْتَنِي ‌وَرَجَوْتَنِي ‌غَفَرْتُ ‌لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلَا أُبَالِي، يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ، وَلَا أُبَالِي، يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لَا تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً “

Firman Allah SWT: “Wahai anak Adam! Sekiranya engkau berdoa dan mengharap kepada-Ku, nescaya aku akan mengampunimu, dan aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Sekiranya dosamu banyak sehingga memenuhi setinggi langit kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku nescaya aku akan mengampunimu, dan aku tidak peduli. Wahai anak Adam, sekiranya engkau datang kepada dengan dosa yang hampir-hampir memenuhi bumi kemudian bertemu dengan-Ku tanpa mensyirikkan Aku dengan apa-apa pun nescaya Aku akan mendatangmu dengan memberikan keampunan yang sama keluasannya seperti bumi.”

Riwayat al-Tirmizi (3540)

Ibn Daqiq al-‘Id berkata, hadis ini adalah satu khabar gembira yang agung, kelembutan, kemuliaan yang agung, serta kelebihan, ihsan, keampunan, rahmat dan penghargaan yang tidak terkira [daripada Allah SWT]. (Lihat Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, hlm. 137)

Dengan sebegitu besar rahmat dan keampunan Allah SWT, tidak ada alasan lagi untuk kita melengah-lengahkan taubat kepada Allah SWT. Wallahu a’lam.

 

Leave a Reply