Soalan
Assalamualaikum ustaz. Sesetengah orang biasa melakukan solat di hadapan pintu masjid sedangkan ia tempat orang keluar masuk masjid. Apa hukum melintas orang yang solat di tempat seperti itu?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Sebelum menjawab persoalan di atas, suka kami terangkan terlebih dahulu berkaitan hukum-hakam sutrah ketika solat. Sutrah dari segi bahasa bahawa bermaksud apa sahaja yang dapat menghalangi. (Lihat al-Qamus al-Muhit)
Dalam istilah ilmu fiqh, sutrah bermaksud segala sesuatu yang tertegak di hadapan orang yang sedang solat. Ia sama ada dalam bentuk tongkat, tanah yang disusun, atau yang sepertinya bagi mencegah orang melintas di hadapannya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/176-177)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيُصَلِّ إِلَى سُتْرَةٍ ، وَلْيَدْنُ مِنْهَا ، وَلَا يَدَعْ أَحَدًا يَمُرُّ بَيْنَ يَدَيْهِ ، فَإِنْ جَاءَ أَحَدٌ يَمُرُّ ، فَلْيُقَاتِلْهُ ، فَإِنَّهُ شَيْطَانٌ
Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu mendirikan solat. Hendaklah dia solat ke arah sutrah, dan mendekatkan dirinya kepada sutrah tersebut. Janganlah dia biarkan seorang pun melintasi di hadapannya. Seandainya ada datang seseorang melintasi di hadapannya, hendaklah dia memerangi orang tersebut. Sesungguhnya dia adalah syaitan.”
Riwayat Ibn Majah (1007)
Disebut di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/392-393): Antara sunat-sunat sebelum bersolat adalah menjadikan sesuatu sebagai sekatan (سترَةٌ) di hadapannya. Ia adalah sebagai tanda pemisah di antara orang yang bersolat dengan orang yang lalu-lalang di hadapannya, seperti dinding, tiang, tongkat atau menghamparkan sejadah dan sebagainya. Jika tidak didapati apa-apa pun buatlah tanda garisan sahaja. Hal ini berdasarkan hadith daripada Ibn Umar RA, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا خَرَجَ يَوْمَ الْعِيدِ أَمَرَ بِالْحَرْبَةِ فَتُوضَعُ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَيُصَلِّى إِلَيْهَا وَالنَّاسُ وَرَاءَهُ، وَكَانَ يَفْعَلُ ذَلِكَ فِى السَّفَرِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila pergi menunaikan solat hari raya, Baginda meminta sebatang tombak pendek (حَربَةٌ) diletakkan di hadapannya, lalu Baginda menghadapnya manakala orang ramai pula di belakang Baginda ketika bermusafir.”
Riwayat al-Bukhari (472) dan Muslim (501)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيَجْعَلْ تِلْقَاءَ وَجْهِهِ شَيْئًا فَإِنْ لَمْ يَجِدْ فَلْيَنْصِبْ عَصًا فَإِنْ لَمْ يَكُنْ مَعَهُ عَصًا فَلْيَخْطُطْ خَطًّا ثُمَّ لاَ يَضُرُّهُ مَا مَرَّ أَمَامَهُ
Maksudnya: “Apabila salah seorang dari kamu mendirikan solat, hendaklah dia menghadap ke arah sesuatu. Jika tiada, hendaklah dia memacakkan tongkat, jika tidak ada tongkat, hendaklah dia melukis garis. Maka tidak memudharatkannya apa-apa yang lalu di hadapan tongkat tersebut.”
Riwayat Abu Dawud (689). Imam al-Nawawi menyebut bahawa al-Baghawi dan lain-lain ulama hadis menyatakan hadis ini lemah.
Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah dinyatakan: Para ulama’ dari kalangan Hanafiyah dan Syafi’iyah mengqiyaskan garisan dengan tempat solat seperti hamparan sejadah. Al-Tahtawi menyebut: Ini qiyas yang lebih utama kerana al-mushalla (tempat pijak semasa solat; hamparan sejadah) lebih dapat mencegah orang melintas berbanding sekadar garis.
Oleh itu, para ulama’ Syafi’iyyah lebih mengutamakan hamparan sejadah daripada sekadar garis. Mereka menyebut: “(Hamparan sejadah) lebih didahulukan daripada garis kerana ia lebih menepati maksud (sutrah).”(Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 24/180; Lihat juga Hasyiyah al-Tahtawi ‘ala Maraqi al-Falah, hlm. 101 dan Mughni al-Muhtaj, 1/200)
Imam Nawawi menyebut: “Sunat bagi orang yang solat untuk membuat sutrah di hadapannya berupa dinding atau tiang dan mendekatinya, dengan keadaan antara keduanya tidak melebihi tiga hasta. Jika solat di gurun hendaknya memacakkan tongkat dan yang seumpamanya, atau dengan mengumpulkan sesuatu dari tunggangannya atau perhiasannya, hingga menjadi seukuran pelana kuda.
Jika tidak menemui sesuatu barang untuk sutrah, maka buatlah garis di hadapannya, atau hamparan tempat solat. Berkata Imam al-Haramain dan al-Ghazali, tidak ada ‘ibrah dengan membuat garis (maksudnya tidak boleh). Namun yang benar adalah, apa yang ditetapkan oleh jumhur, bahawa sudah mencukupi dengan garis sebagaimana jika dia berada di hadapan satu barang.” (Lihat Raudhah al-Talibin, 1/108)
Justeru, berdasarkan kepada nas-nas di atas, kenyataan Rasulullah SAW “فَإِنْ لَمْ يَكُنْ مَعَهُ عَصًا فَلْيَخْطُطْ خَطًّا ثُمَّ لاَ يَضُرُّهُ مَا مَرَّ أَمَامَهُ” jelas menunjukkan, pertama hendaklah digunakan tongkat atau apa-apa yang boleh ditegakkan di hadapan. Tetapi jika tiada, maka memadai dengan garisan sebagai batas sempadan sutrah untuk solat.
Berbalik kepada persoalan di atas, seperti yang dimaklumi melintasi di hadapan orang yang sedang solat adalah tidak dibolehkan bahkan haram, kerana nas yang sahih lagi sarih. Ini jika tiada sebarang sutrah atau penghadang.
Rasulullah SAW pernah bersabda:
لَوْ يَعْلَمُ الْمَارُّ بَيْنَ يَدَيِ الْمُصَلِّي مَاذَا عَلَيْهِ، لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِينَ خَيْرًا لَهُ مِنْ أَنْ يَمُرَّ بَيْنَ يَدَيْهِ
Maksudnya: “Kalaulah seseorang yang melintasi di hadapan orang yang solat mengetahui hukuman ke atasnya nescaya baik baginya berdiri 40 daripada melintasinya.”
Riwayat al-Bukhari (510) dan Muslim (507)
Berdasarkan hadis ini, diharamkan melintasi orang yang sedang solat. Hikmah terhadap larangan ini adalah kerana orang yang sedang solat sedang bermunajat kepada Allah. Maka, orang yang melintasi orang yang sedang solat bererti dia telah memutus munajat ini dan menganggu fokus orang yang sedang solat. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 2/397)
Abu Nasr berkata:
لَا أَدْرِي، أَقَالَ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، أَوْ شَهْرًا، أَوْ سَنَةً
Maksudnya: “Aku tidak tahu adakah Baginda SAW bersabda dengan empat hari, atau empat puluh bulan atau empat puluh tahun.”
Sedangkan dalam riwayat al-Bazzar telah menyebut dengan empat puluh musim gugur atau dengan maksud 40 tahun.
Hadis ini menunjukkan haram melintasi di hadapan orang yang sedang solat jika dia telah menggunakan tabir atau sutrah, tetapi sebaliknya jika tidak menggunakannya maka ia tidak termasuk berdasarkan riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya daripada al-Muttalib bin Abi Wada’ah RA berkata: “Aku melihat Nabi SAW selepas tawaf berjalan melalui tempat tawaf kemudian solat dua rakaat sedangkan antara beliau dan orang yang tawaf itu tidak ada tabir apa pun. (Lihat Mawarid al-Zam’an, hlm. 118)
Justeru hendaklah seseorang yang solat mencegahnya dan orang yang hendak melintas menahan daripada lintasan tersebut. Akan tetapi dalam realiti seperti yang ditanya maka dicadangkan supaya orang yang solat itu pergi ke hadapan sedikit daripada pintu agar tidak menghalang Jemaah yang selesai solat untuk keluar masjid lebih-lebih lagi jika ramai Jemaah. Ketika langkahan hendaklah dalam tertib orang yang solat supaya tidak kelihatan seperti bukan orang yang dalam solat.
Kami berpendapat, sifat meraikan antara para Jemaah adalah amat penting agar suasana harmoni sentiasa dapat dipupuk sesama muslim. Begitu juga perlunya kefahaman fiqh dan ilmu sama ada imam atau makmum. Ini bertujuan agar pelaksanaan solat sentiasa dapat ditunaikan dengan khusyuk, harmoni serta memahami keadaan sebenarnya.
Pilihlah tempat solat seperti adanya dinding atau tiang dalam masjid agar dapat mengelak Jemaah melintasi di hadapannya. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah solat mengadap tiang di dalam masjid dan mengadap sebatang pokok dan lain-lain.
Kami tutup perbincangan ini dengan sebuah hadis daripada Abi Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya:
إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيَجْعَلْ تِلْقَاءَ وَجْهِهِ شَيْئًا، فَإِنْ لَمْ يَجِدْ فَلْيُلْقِ عَصًا، فَإِنْ لَمْ يَجِدْ عَصًا فَلْيَخُطَّ خَطًّا، ثُمَّ لَا يَضُرُّهُ مَا يَمُرُّ بَيْنَ يَدَيْهِ
Maksudnya: “Apabila salah seorang kamu melaksanakan solat hendaklah dia letakkan sutrah di hadapannya. Jika tidak hendaklah memancak tongkat dan jika tiada hendaklah membuat garis sehingga tidak akan menjadi masalah sekiranya ada yang melalui di depannya.”
Riwayat Abu Dawud (689) dan Ibn Majah (943)
Mengikut mazhab Hanafi dan Maliki memasang sutrah atau tabir disunatkan bagi orang yang merasa khuatir ada orang yang akan melintas. Ini dikuatkan lagi hadis Ibn Abbas yang meriwayatkan bahawa pada suatu ketika Nabi SAW solat di tanah lapang dan tiada apa-apa pun di hadapan beliau yakni sutrah, seperti dalam riwayat Abu Daud.
Semoga kita dikurniakan kefahaman agama dengan sebenarnya agar sentiasa ibadat yang kita lakukan diterima oleh Allah SWT.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 14 Januari 2022 bersamaan 11 Jamadil Akhir 1443H