Soalan
Assalamualaikum ustaz. Jika seseorang melihat ada orang yang solat dengan menghadap arah kiblat yang salah, bagaimana cara untuk dia menegur orang yang sedang solat itu? Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Definisi Kiblat
Dari sudut bahasa, qiblat bermaksud arah (al-jihah) yang kita solat ke arahnya, dan menurut istilah syara’ ia difahami sebagai Kaabah secara mutlaq tanpa mengandungi maksud yang lain. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/142)
Tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ bahawa menghadap ke arah Kaabah merupakan syarat sah solat bagi yang berkemampuan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 32/302)
Menghadap Kiblat Sebagai Syarat Sah Solat
Berdasarkan nas daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Apa yang dimaksudkan dengan kiblat ialah Kaabah, manakala menghadap kiblat bermaksud Kaabah berhadapan dengannya. Dalil bagi syarat ini ialah firman Allah SWT:
وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ
Maksudnya: Maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram (Kaabah), dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.
(Surah al-Baqarah: 150)
Begitu juga hadith, Rasulullah SAW bersabda kepada orang yang diajarnya cara-cara bersolat:
إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ
Maksudnya: “Apabila engkau hendak bersolat berwudhu’lah dengan sempurna, kemudian menghadaplah ke kiblat dan bertakbir.”
Riwayat al-Bukhari (5897) dan Muslim (397)
Maksud Masjid al-Haram di dalam ayat dan maksud kiblat di dalam hadith tersebut ialah Kaabah…Orang yang bersolat sama ada berhampiran Kaabah yang dapat dilihatnya apabila dikehendaki atau jauh daripadanya yang tidak mungkin dilihat. Orang yang berhampiran dengan Kaabah wajib menghadap Kaabah tersebut dengan yakin manakala yang jauh dari Kaabah wajib menghadapnya dengan berpandukan petunjuk-petunjuk yang kukuh sekiranya tidak terdapat petunjuk yang pasti dan tepat.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/127-128)
Menghadap Kaabah itu yakni menghadap dengan dada, bukan dengan kepala bagi orang yang solat berdiri dan duduk; dengan kepala dan dada bagi orang yang solat baring atas lambung; dan dengan kepala dan hujung jemari kaki bagi orang yang solat dengan terlentang. (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 197; al-Taqrirat al-Sadidah, hlm.200)
Bagi mereka yang jauh dari Kaabah atau mereka yang terhalang daripada melihat terus kepada Kaabah, tidak memudaratkan solat jika posisi agak ke kanan sedikit dan ke kiri sedikit daripada ain Kaabah, kerana itu adalah kesilapan yang tidak terlalu jauh, selagi mana tidak tersasar daripada arah Kaabah. (Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/217)
Dalam mazhab al-Syafie, cara-cara mengetahui kiblat mengikut susunan keutamaan itu ada empat, iaitu:
- Ilmu pengetahuan sendiri yang meyakinkan, seperti orang yang celik melihat ain Kaabah atau orang buta yang memegang Kaabah.
- Perkhabaran seorang yang terpercaya dengan pengetahuannya.
- Ijtihad seperti menggunakan kompas dan seumpamanya.
- Orang yang bertaqlid kepada ijtihad orang lain. (Lihat I`anah al-Talibin, 1/145)
Menegur Orang yang Tersalah Arah Kiblat
Berbalik kepada persoalan di atas, kami bahagikan kepada dua:
Pertama: Menegur dengan Perkataan
Jika dalam satu situasi, dilihat seseorang itu sedang menunaikan solat namun dia menghadap ke arah kiblat yang salah. Maka, sebaiknya untuk orang yang menyedarinya menegur orang yang sedang bersolat itu untuk mengubah kiblatnya sama ada ke kanan atau ke kiri dan sebagainya.
Perkara ini ada disebut oleh Imam al-Buhuti dalam kitabnya: Jikalau dikhabarkan kepadanya yang solat berdasarkan ijtihad ataupun taqlid (mengikut) dan dalam keadaan dia solat itu bahawa dia salah dengan yakinnya (oleh seseorang yang boleh dipercayai), maka perlulah dia mengikutinya (menghadap ke arah yang baharu) dan meninggalkan ijtihad dan juga taqlidnya yang sebelum ini. (Lihat Kasyaf al-Qanna’, 1/312)
Perbuatan menegur ini termasuk dalam bab memberikan nasihat dan juga petunjuk. Maka, jika seseorang itu tidak mampu untuk menegurnya ketika solat, perlulah dia menegurnya setelah solat itu.
Kedua: Menegur dengan Perbuatan
Teguran terhadap orang yang sedang menunaikan solat boleh juga dilakukan dengan cara perbuatan selain dari mengungkapkan perkataan kepadanya. Ini kerana dikhuatiri orang yang sedang solat itu tidak sedar ataupun menyangka teguran itu tidak ditujukan kepadanya. Maka dalam hal ini perlunya kepada teguran berbentuk perbuatan dengan cara orang yang melihatnya hendaklah mengalihkan arah orang yang sedang solat tersebut ke arah kiblat yang dia (orang luar solat) pasti.
Namun, jika ia merupakan ijtihad juga, maka tidaklah boleh dialihkan arah orang yang sedang solat tersebut. Kerana berpandukan kepada kaedah Fiqh:
الاجْتِهَادُ لَا يُنْقَضُ بِالْاجْتِهَادِ
Maksudnya: “Ijtihad tidak boleh dibatalkan dengan ijtihad yang lain.”
Teguran dengan cara perbuatan ini boleh diqiaskan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas R.A, katanya:
بِتُّ عِنْدَ خَالَتِي فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنَ اللَّيْلِ، فَقُمْتُ أُصَلِّي مَعَهُ، فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ، فَأَخَذَ بِرَأْسِي، فَأَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ
Maksudnya: “Aku pernah menginap di rumah ibu saudaraku. Kemudian Rasulullah SAW solat malam. Maka aku datang untuk ikut solat bersama beliau, aku berdiri di samping kirinya, lalu beliau memegang kepalaku dan menarikku ke sebelah kanannya.”
Riwayat al-Bukhari (699)
Berdasarkan hadith ini, dapatlah kita fahami secara tersiratnya bahawa diperboleh untuk seseorang itu menarik orang lain yang sedang solat dengan tujuan menasihatinya atau memberi petunjuk kepadanya supaya dirapatkan saf. Maka, ia boleh diqiaskan kepada perbuatan orang luar untuk mengalihkan arah kiblat orang yang sedang solat (ijtihadnya) ke arah kiblat yang telah pasti. Atas sebab ‘illah yang sama iaitu untuk menasihatinya atau memberi petunjuk kepadanya.
Penutup
Jika ada yang menyedari seseorang itu salah dalam arah kiblatnya dan dia mengetahui dengan pasti arah kiblat yang betul, maka perlulah dia menegur orang yang sedang solat tersebut dan dia (orang yang bersolat itu) wajib beralih jika dia yakin bahawa teguran itu adalah benar dan dipercayai.
Dan jika teguran berbentuk perkataan tersebut tidak memberi kesan kepada orang yang solat itu, maka dibolehkan ke atasnya untuk mengalihkannya dengan perbuatan ke arah kiblat yang betul namun mestilah dengan berhati-hati sehingga tidak menyebabkan solatnya terbatal.
Wallahua’lam.
Bertarikh: 2 Februari 2022 bersamaan 30 Jamadil Akhir 1443H