Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana jika seseorang yang telah melakukan solat fardhu di masjid, kemudian bila kembali ke rumah, dia ulang solat fardhu sekali lagi bersama isterinya. Hal ini bagi membantu isterinya agar sama-sama mendapat pahala jemaah. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri R.A, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَبْصَرَ رَجُلا يُصَلِّي وَحْدَهُ فَقَالَ ‏‏ أَلاَ رَجُلٌ يَتَصَدَّقُ عَلَى هَذَا فَيُصَلِّيَ مَعَهُ ‏‏

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melihat seorang lelaki solat secara bersendirian lalu baginda bersabda: “Tidak adakah seorang lelaki yang ingin bersedekah kepada si fulan ini lalu dia solat bersamanya?”

Riwayat Abu Daud (574)

Selain itu, Imam al-Mawardi menyebutkan di dalam kitabnya dua pendapat ulama mazhab Syafie iaitu sesiapa yang telah menunaikan solat fardu sama ada secara berjemaah atau berseorangan. Kemudian, dia melihat solat fardu tersebut ada jemaah yang sedang mengerjakannya. Maka, sunat ke atasnya untuk solat bersama mereka, walau apa jenis solat (fardhu) pun. Ini adalah merupakan pendapat Ali bin Abi Talib, Huzaifah, Sa’id bin al-Musayyib dan Sa’id bin Jubair. Ini juga adalah merupakan pendapat yang dipilih oleh Imam al-Mawardi. Manakala sebahagian yang lain membezakan antara solat fardu yang pertama, telah didirikan secara berseorangan atau berjemaah. Sekiranya telah didirikan secara berjemaah, makruh hukumnya mengulangi solat fardu Subuh dan Asar. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/195)

Berdasarkan persoalan di atas, kami bahagikan permasalah ini kepada dua isu seperti berikut:

  • Seseorang yang sudah menunaikan solat secara berjemaah, kemudian dia solat sekali lagi bagi tujuan membantu orang lain untuk mendapat pahala jemaah
  • Seseorang yang sudah menunaikan solat secara sendirian, kemudian dia solat sekali lagi apabila mendapati ada solat jemaah didirikan.

Pada asalnya, hukum solat fardhu sebanyak dua kali bagi satu waktu tanpa sebarang keperluan adalah makruh. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW :

لَا تُصَلُّوا صَلَاةً فِي يَوْمٍ مَرَّتَيْنِ

Maksudnya: “Janganlah kamu solat fardhu sebanyak dua kali dalam sehari.”

Riwayat Abu Daud (579) dan al-Nasa’ie (860)

Penjelasan berkenaan hukum makruh mengulangi solat fardhu tanpa sebarang sebab ini juga telah diterangkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahawaih dan Ibn Taimiyyah. Sebaliknya, jika seseorang berhasrat untuk meraih ganjaran pahala jemaah, maka sunat baginya untuk mengulang semula solat tersebut bersama jemaah yang didapatinya. Hal ini juga merupakan pandangan dalam mazhab Maliki dan Syafi’e. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud bi Syarh Sunan Abi Dawud, 2/202; al-Fatawa al-Kubra, 2/283; al-Mudawwanah al-Kubra, 1/179 dan Raudhah al-Thalibin 1/343 )

Antara hujah bagi pandangan ini adalah berdasarkan hadith daripada Jabir bin Yazid al-Aswadi RA, katanya:

شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلاَةَ الْفَجْرِ فِي مَسْجِدِ الْخَيْفِ فَلَمَّا قَضَى صَلاَتَهُ إِذَا هُوَ بِرَجُلَيْنِ فِي آخِرِ الْقَوْمِ لَمْ يُصَلِّيَا مَعَهُ قَالَ ‏”‏ عَلَىَّ بِهِمَا ‏”‏ ‏.‏ فَأُتِيَ بِهِمَا تُرْعَدُ فَرَائِصُهُمَا فَقَالَ ‏”‏ مَا مَنَعَكُمَا أَنْ تُصَلِّيَا مَعَنَا ‏”‏ ‏.‏ قَالاَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا قَدْ صَلَّيْنَا فِي رِحَالِنَا ‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَلاَ تَفْعَلاَ إِذَا صَلَّيْتُمَا فِي رِحَالِكُمَا ثُمَّ أَتَيْتُمَا مَسْجِدَ جَمَاعَةٍ فَصَلِّيَا مَعَهُمْ فَإِنَّهَا لَكُمَا نَافِلَةٌ ‏”‏

MaksudnyaAku menghadiri solat Subuh bersama Rasulullah SAW di Masjid al-Khaif. Tatkala Baginda selesai solat, Baginda melihat dua orang lelaki di bahagian belakang yang tidak solat bersama Baginda. Baginda bersabda: “Mengapa kalian tidak solat bersama kami?” Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah, kami telah solat di tempat permusafiran kami. “Jangan buat begitu. Jika kalian telah solat, dan kalian datang ke masjid dan mendapati solat jemaah sedang berlangsung, hendaklah kalian solat bersama mereka, dan ia akan menjadi solat sunat bagi kamu.

Riwayat al-Nasa’ie (858) dan al-Tirmizi (219)

Di samping itu, terdapat juga hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَبْصَرَ رَجُلاً يُصَلِّي وَحْدَهُ فَقَالَ ‏ “‏ أَلاَ رَجُلٌ يَتَصَدَّقُ عَلَى هَذَا فَيُصَلِّيَ مَعَهُ ‏”‏

MaksudnyaRasulullah SAW melihat seorang lelaki solat secara sendirian, maka Baginda bersabda: “Tidak adakah seseorang yang boleh bersedeqah (pahala) kepadanya, dan solat bersamanya?”

Riwayat Abu Daud (574)

Mu’az bin Jabal RA turut meriwayatkan seperti berikut:

كَانَ يُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ يَرْجِعُ فَيَؤُمُّ قَوْمَهُ

MaksudnyaBeliau bersolat (Isya’) bersama Nabi SAW, kemudian pulang dan mengimamkan kaum beliau untuk solat Isya’.

Riwayat al-Bukhari (700)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Pengulangan solat fardhu bagi mendapat pahala berjemaah atau membantu orang lain mendapatkan pahala solat berjemaah, hukumnya adalah sunat. Begitu juga, perbuatan mengulangi solat itu juga merujuk kepada perbuatan seseorang yang melaksanakan satu solat dari solat-solat fardhu, kemudian dia merasakan bahawa terdapatnya kekurangan atau kecacatan di dalam solat tersebut dari sudut adab-adab atau pelengkap solat (yakni bukan pada perkara yang membatalkan solat), kemudian dia mengulanginya semula dalam bentuk yang tidak terdapatnya kekurangan atau kecacatan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/110)

 

Penutup

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa jika seseorang mengulangi solat fardhu tanpa sebarang sebab dan keperluan, maka hukumnya adalah makruh. Sebaliknya, jika dia mengulangi solat fardhu bagi tujuan memperoleh kelebihan pahala berjemaah, atau untuk membantu orang lain memperoleh pahala jemaah, maka hukumnya adalah sunat.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H

Leave a Reply