Soalan
Assalamualaikum ustaz. Ketika saya sedang mendirikan solat, kemudian saya menyedari bahawa saya tersalah menghadap arah kiblat yang betul. Apa tindakan yang saya perlu lakukan? Adakah saya perlu memulakan semula solat, atau cukup sekadar memalingkan diri dengan menghadap ke arah kiblat yang betul? Mohon pencerahan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Definisi Kiblat
Dari sudut bahasa, qiblat bermaksud arah (al-jihah) yang kita solat ke arahnya, dan menurut istilah syara’ ia difahami sebagai Kaabah secara mutlaq tanpa mengandungi maksud yang lain. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/142)
Tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ bahawa menghadap ke arah Kaabah merupakan syarat sah solat bagi yang berkemampuan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 32/302)
Menghadap Kiblat Sebagai Syarat Sah Solat
Berdasarkan nas daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/127-128) menyebut: “Apa yang dimaksudkan dengan kiblat ialah Kaabah, manakala menghadap kiblat bermaksud Kaabah berhadapan dengannya. Dalil bagi syarat ini ialah firman Allah SWT:
وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ
Maksudnya: Maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram (Kaabah), dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.
(Surah al-Baqarah: 150)
Begitu juga hadith, Rasulullah SAW bersabda kepada orang yang diajarnya cara-cara bersolat:
إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ
Maksudnya: “Apabila engkau hendak bersolat berwudhu’lah dengan sempurna, kemudian menghadaplah ke kiblat dan bertakbir.”
Maksud Masjid al-Haram di dalam ayat dan maksud kiblat di dalam hadith tersebut ialah Kaabah…Orang yang bersolat sama ada berhampiran Kaabah yang dapat dilihatnya apabila dikehendaki atau jauh daripadanya yang tidak mungkin dilihat. Orang yang berhampiran dengan Kaabah wajib menghadap Kaabah tersebut dengan yakin manakala yang jauh dari Kaabah wajib menghadapnya dengan berpandukan petunjuk-petunjuk yang kukuh sekiranya tidak terdapat petunjuk yang pasti dan tepat.”
Riwayat al-Bukhari (5897) dan Muslim (397)
Menghadap Kaabah itu yakni menghadap dengan dada, bukan dengan kepala bagi orang yang solat berdiri dan duduk; dengan kepala dan dada bagi orang yang solat baring atas lambung; dan dengan kepala dan hujung jemari kaki bagi orang yang solat dengan terlentang. (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 197; al-Taqrirat al-Sadidah, hlm.200)
Bagi mereka yang jauh dari Kaabah atau mereka yang terhalang daripada melihat terus kepada Kaabah, tidak memudaratkan solat jika posisi agak ke kanan sedikit dan ke kiri sedikit daripada ain Kaabah, kerana itu adalah kesilapan yang tidak terlalu jauh, selagi mana tidak tersasar daripada arah Kaabah. (Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/217)
Dalam mazhab al-Syafie, cara-cara mengetahui kiblat mengikut susunan keutamaan itu ada empat, iaitu:
- Ilmu pengetahuan sendiri yang meyakinkan, seperti orang yang celik melihat ain Kaabah atau orang buta yang memegang Kaabah.
- Perkhabaran seorang yang terpercaya dengan pengetahuannya.
- Ijtihad seperti menggunakan kompas dan seumpamanya.
- Orang yang bertaqlid kepada ijtihad orang lain. (Lihat I`anah al-Talibin, 1/145)
Tersedar Salah Kiblat Ketika Solat
Jika seseorang itu sedang menunaikan solat, kemudian dia tersedar bahawa dia tersalah arah kiblat, maka di sini ulama’ mazhab Syafi’i ada dua qaul padanya:
Pertama: Memulakan semula solatnya ke arah ijtihadnya yang baharu.
Kedua: Tidak memulakan semula solatnya malah cukup dengan hanya memalingkan diri atau beralih arah ke ijtihadnya yang baharu dan meneruskan solat (menghadap ijtihadnya yang baharu).
Pendapat kedua ini merupakan pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafi’i. Sekalipun jika seseorang itu solat menghadap ke empat arah yang berbeza dalam satu solat disebabkan ijtihad, maka sah solatnya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/221)
Penutup
Kesimpulannya, jika seseorang itu menyedari bahawa dia telah tersalah kiblat ketika sedang menunaikan solat (kerana wujudnya petunjuk yang pasti), maka hendaklah dia memalingkan dirinya ke arah yang baharu.
Selain itu, jika ada yang menyedari seseorang itu salah dalam arah kiblatnya dan dia mengetahui dengan pasti arah kiblat yang betul, maka perlulah dia menegur orang yang sedang solat tersebut dan dia (orang yang bersolat itu) wajib beralih jika dia yakin bahawa teguran itu adalah benar dan dipercayai.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 2 Februari 2022 bersamaan 30 Jamadil Akhir 1443H