Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah langkah-langkah yang dianjurkan oleh Islam jika berlaku perselisihan serius antara suami dan isteri, sehingga hubungan mereka tidak lagi dapat diperbaiki melalui nasihat dan usaha sendiri?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Jika berlaku perselisihan yang serius antara suami dan isteri sehingga hubungan mereka tidak lagi dapat dipulihkan, Islam menganjurkan agar kedua-dua pihak melantik seorang pendamai dari keluarga masing-masing untuk menilai dan memberi keputusan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِنْ أَهْلِهَا إِنْ يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّهُ بَيْنَهُمَا إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا

Maksudnya: “Dan jika kamu khuatir akan berlaku perselisihan antara keduanya (suami dan isteri), maka lantiklah seorang pendamai dari keluarga lelaki dan seorang pendamai dari keluarga wanita. Jika kedua-duanya bertujuan untuk mendamaikan, nescaya Allah akan memberi taufik kepada kedua-duanya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

(Surah al-Nisa’: 35)

Syeikh al-Sa‘di dalam Taisir al-Karim al-Rahman (hlm. 176) menjelaskan: {وَاللاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ} Wanita-wanita yang kamu khuatiri kederhakaan mereka, iaitu keengganan mereka untuk taat kepada suami sama ada melalui perkataan atau perbuatan. Maka suami hendaklah mendidik mereka dengan cara yang paling lembut dan beransur-ansur.

{فَعِظُوهُنَّ} Maksudnya: ‘Nasihatilah mereka,’ iaitu dengan memberi peringatan tentang hukum Allah yang mewajibkan isteri taat kepada suami serta memberi galakan untuk taat dan amaran terhadap akibat tidak mematuhi. Jika mereka berhenti daripada kederhakaan, maka itulah yang diharapkan. Jika tidak, suami boleh meninggalkan mereka di tempat tidur, iaitu tidak tidur bersama atau tidak melakukan hubungan kelamin sehingga tujuan tercapai. Jika cara ini juga tidak berjaya, suami dibenarkan memukul mereka dengan pukulan ringan yang tidak mencederakan.

Jika salah satu daripada langkah ini membuahkan hasil dan mereka kembali taat, maka firman Allah SWT: {فَلا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا} ‘Maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka.’ Dengan kata lain, suami tidak boleh lagi mengungkit kesalahan yang lalu atau mencari-cari kesalahan baru yang akan membawa kepada keburukan.”

{إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا} Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memiliki ketinggian yang mutlak dalam segala aspek dan sifat, sama ada ketinggian Zat, martabat, mahupun keagungan-Nya yang tiada tandingan, paling besar dan paling mulia.”

Syeikh al-Sa‘di dalam tafsirnya menyebutkan lagi: Ini bermaksud, apabila ada kebimbangan tentang perselisihan antara pasangan suami isteri yang boleh membawa kepada perpecahan dan perpisahan sehingga masing-masing berada di pihak yang bertentangan, maka dilantik seorang hakim daripada pihak suami dan seorang lagi daripada pihak isteri. Hakim ini hendaklah seorang lelaki dewasa, Muslim, adil, berakal, dan mengetahui cara-cara menyelesaikan pertikaian atau membuat keputusan. Sifat ini difahami daripada perkataan “hakim” kerana tidak sesuai seseorang menjadi hakim kecuali dia memenuhi sifat-sifat tersebut.

Hakim-hakim ini perlu menilai perkara yang dipertikaikan oleh kedua-dua pihak, kemudian memberi arahan kepada masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya. Jika salah seorang pihak tidak mampu melaksanakannya, mereka akan meyakinkan pihak yang lain untuk menerima keadaan berdasarkan kemampuan yang ada. Selagi mana penggabungan dan pendamaian dapat dilakukan, maka itu adalah keutamaan.

Namun, jika keadaan telah sampai ke tahap di mana pertemuan dan pendamaian tidak lagi dapat dilakukan melainkan dengan permusuhan dan pelanggaran terhadap perintah Allah, dan para hakim berpendapat bahawa perpisahan adalah lebih baik, maka mereka boleh memutuskan untuk memisahkan pasangan tersebut. Keputusan ini tidak memerlukan persetujuan suami, sebagaimana Allah SWT telah menyebut mereka sebagai “hakim”. Hakim bertindak memberi keputusan walaupun tanpa kerelaan pihak yang diputuskan ke atasnya.

Oleh itu, firman Allah SWT:

إِنْ يُرِيدَا إِصْلاحًا يُوَفِّقِ اللَّهُ بَيْنَهُمَا

Maksudnya: “Jika kedua-duanya bertujuan untuk mendamaikan, Allah akan memberi taufik kepada usaha mereka.”

Ini kerana pandangan yang bijaksana dan kata-kata yang berhikmah mampu menarik hati dan menyatukan pasangan tersebut. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 176)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa Islam memberikan garis panduan yang jelas dan menyeluruh dalam menangani perselisihan antara suami dan isteri. Sekiranya perselisihan tidak dapat diselesaikan melalui usaha individu, maka pendekatan dengan melibatkan pendamai dari kedua-dua pihak adalah langkah yang dianjurkan untuk mencapai penyelesaian yang adil dan harmoni.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”