Soalan
Assalamualaikum ustaz. Bagaimana hukum seseorang yang solat dengan tidak memandang ke tempat sujudnya? Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Solat merupakan salah satu kefardhuan yang utama dalam agama Islam. Ia merupakan ibadah yang paling mulia, yang mempunyai peranan yang penting dalam pembentukan peribadi seseorang bahkan keislamannya. Justeru, amat penting bagi kita dalam memahami hakikat daripada ibadah solat ini.
Al-Hasan al-Basri pernah mengungkapkan: “Wahai anak Adam, solat adalah ibadah yang dapat menghalangmu daripada maksiat dan kemungkaran. Sekiranya solat tidak menghalangmu daripada kemaksiatan dan kemungkaran, maka hakikatnya engkau belumlah mendirikan solat.” (Lihat al-Durr al-Manthur, 6/466)
Berdasarkan nasihat ini, kita dapat memahami bahawa solat yang dilakukan dengan benar, maka ia akan memberi kesan yang baik dalam sakhsiah diri seseorang.
Allah SWT berfirman:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Maksudnya: “Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.”
(Surah al-Mukminun: 1-2)
Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat di atas berkata: ‘Ali bin Abi Talhah menceritakan daripada Ibn Abbas R.anhuma: ” خَاشِعُونَ” (orang-orang yang khusyuk) iaitu orang-orang yang takut lagi penuh ketenangan. Daripada Ali bin Abi Talib R.A: Yang dimaksudkan dengan khusyu’ di sini ialah kekhusyukan hati.
Hasan al-Basri pula berkata: “Kekhusyukan mereka itu berada di dalam hati mereka, sehingga kerananya mereka menundukkan pandangan serta merendahkan diri mereka.” Khusyuk dalam solat hanya dapat dilakukan oleh orang yang memfokuskan hati padanya sambil melupakan pelbagai aktiviti yang lain. Pada ketika itulah akan terwujud ketenangan dan kebahagiaan baginya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/110)
Diriwayatkan bahawa sebab turunnya ayat ini adalah ketika Rasulullah SAW mendirikan solat, Baginda sedang memandang ke atas. Maka turunlah ayat ini kepada Baginda SAW. Kemudian Baginda menundukkan pandangannya ke tempat sujud beliau. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/329)
Menurut al-Baghawi, para ulama berselisih pendapat dalam mentafsirkan maksud khusyuk dalam firman Allah SWT “الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ” (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Namun, mereka sepakat menyatakan bahawa khusyuk merupakan elemen penting kepada solat yang berkualiti.
Antara pendapat sahabat dan tokoh berkaitan maksud khusyuk:
- Ibnu ‘Abbas berkata: Tenang dan merendahkan diri (مخبتون أذلاء)
- Ali bin Abi Talib R.A berkata: Iaitu tidak menoleh ke kanan dan tidak pula ke kiri.
- Sa’id bin Jubair berkata: Iaitu (seseorang) tidak mengetahui siapa orang yang di sebelah kanan dan kirinya, dia tidak menoleh, kerana sangat khusyuknya (menghadap kepada) Allah ‘Azza wa Jalla.
- ‘Amr bin Dinar berkata: Iaitu ketenangan dan keindahan keadaan (gerakan).
- Ibnu Sirin dan yang lainnya berkata: Iaitu engkau tidak mengangkat pandanganmu dari tempat sujudmu.
- Atha’ berkata: Iaitu engkau tidak bermain-main dengan anggota tubuhmu dalam solat.
- Al-Hasan (al-Basri) dan Qatadah berkata: (iaitu) orang-orang yang takut (خائفون).
- Muqatil berkata: (iaitu) orang-orang yang rendah hati (tawadhu’) (متواضعون).
- Mujahid berkata: iaitu menundukkan pandangan dan merendahkan suara. (غض البصر وخفض الصوت)
- Ada juga yang menyebut, khusyuk dalam solat adalah: Mengumpulkan konsentrasi (memerhatikan urusan solat) dan berpaling daripada urusan selainnya serta menghayati makna bacaan dan zikir yang diucapkan oleh lisannya.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 5/408)
Kami kemukakan juga di sini beberapa pendapat para ulama dalam mendefinisikan khusyuk.
- Kata Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah: Khusyuk adalah: Berdirinya hati di hadapan Tuhan dengan penuh ketundukan dan perasaan hina diri.
- Imam Junaid Al-Baghdadi yang berkata: Khusyuk adalah; Perasaan rendah diri di dalam hati ke hadapan Tuhan yang Maha Mengetahui perkara ghaib. (Lihat Madarij al-Salikin, 1/521)
- Imam Ibn Rajab al-Hanbali turut memberikan definisi yang menarik berkenaan khusyuk. Kata beliau: Asal bagi khusyuk adalah perasaan lembut jantung hati, tenang, tunduk serta tetapnya ia. (Lihat al-Khusyu’ fi al-Solat, Ibn Rajab Al-Hanbali, hlm. 17)
- Al-Syaukani ketika mengulas ayat ini berkata: Sebahagian ulama memasukkannya (khusyuk) sebagai sebahagian daripada perbuatan hati seperti perasaan takut dan juga gerun. Manakala sebahagian yang lain mengatakan ia termasuk sebahagian dari perbuatan anggota badan seperti tenang dalam solat, tidak beralih ke sana sini, dan tidak melakukan perkara sia-sia di dalam solat. Dan dari segi bahasa khusyuk bermaksud: Tenang, tawadhu’ (rendah diri), takut, dan juga perasaan hina diri. (Lihat Fath al-Qadir, 1/977)
Menurut Syeikh Muhammad Rasyid Ridha, maksud khusyuk dalam solat iaitu buah iman yang sahih sehingga menolong untuk mengikutnya iman daripada amal. Khusyuk menjadi kesan rasa khasyatullah pada hati sehingga melimpah kepada gerakan anggota, perasaan, maka khusyuk penglihatan dengan tenang dan rasa kerendahan. Sedangkan khusyuk dengan suara melalui kelembutan dan bahasa yang mendayu sebagaimana khusyuk anggota yang lain. (Lihat Tafsir al-Manar, 1/301)
Perlu difahami bahawa khusyuk terbahagi kepada dua iaitu:
- Khusyuk hati iaitu kehadiran hati seseorang yang sedang menunaikan solat secara fokus menghadap Allah SWT dengan membawa cinta kepada-Nya, mengagungkan-Nya, takut terhadap seksa-Nya, dan mengharap pahala dari-Nya sehingga merasa dekat dengan-Nya dan tenang hatinya serta penuh penghayatan dengan menghayati seluruh apa yang diucapkan dan lakukan dalam solatnya, dari awal hingga selesai solatnya. Kekhusyukan hati inilah yang melahirkan kekhusyukan badan, kerana ia adalah asas kekhusyukan.
- Khusyuk badan iaitu ketenangan gerakan dalam solat, beradab dan tidak tergesa-gesa dalam mengucapkan zikir dan doa, ketundukan pandangan ke arah tempat sujud, tidak menoleh ke atas atau ke arah yang menghilangkan khusyuk dan tidak disibukkan dengan gerakan yang sia-sia.
Berdasarkan pendapat beberapa tokoh ulama di atas, perkara yang dapat kita simpulkan berkenaan definisi khusyuk adalah: Khusyuk adalah perbuatan hati yang meliputi perasaan takut, rendah diri, perasaan hina di hadapan Allah yang menzahirkan perbuatan anggota badan seperti tenang di dalam solat, tidak berpaling ke sana-sini, serta menundukkan pandangan ketika solat.
Isu Solat dengan Tidak Memandang ke Tempat Sujud
Berbalik kepada persoalan di atas, kita hendaklah mengetahui bahawa terdapat larangan ke atas perbuatan memandang ke langit semasa solat. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا بَالُ أَقْوَامٍ يَرْفَعُونَ أَبْصَارَهُمْ إِلَى السَّمَاءِ فِي صَلاَتِهِمْ
Maksudnya: “Apalah masalahnya dengan kelompok manusia yang mengangkat pandangan mereka ke langit di dalam solat mereka.”
Baginda menegaskan kenyataan ini dengan katanya:
لَيَنْتَهُنَّ عَنْ ذَلِكَ أَوْ لَتُخْطَفَنَّ أَبْصَارُهُمْ
Maksudnya: “Hendaklah mereka berhenti dari melakukan hal tersebut atau akan dihilangkan penglihatan mereka (menjadi buta).”
Riwayat al-Bukhari (750)
Hadis di atas ini secara jelas menunjukkan penegahan yang kuat terhadap perbuatan memandang ke langit semasa sedang mendirikan solat. Cumanya para ulama berbeza dalam menetapkan larangan tersebut adakah menunjukkan kepada haram ataupun membawa hukum makruh.
Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani dalam syarahan beliau ke atas hadis ini menukilkan kata-kata dari Imam Ibn Battal yang menyebut: Para ulama telah ijma’ ke atas kemakruhan mengangkat pandangan ke atas semasa sedang solat. (Lihat Fath al-Bari, 2/272)
Kami menyatakan, dakwaan Imam Ibn Battal berkenaan ijma’ di situ tidaklah membawa erti bahawa tiada ulama lain yang menetapkan hukum yang berbeza. Bahkan Syeikh Syams Al-Haq Al-Azhim Abaadi berkata: “Secara zahirnya mengangkat pandangan dalam keadaan sedang bersolat hukumnya adalah haram. Ini kerana, hukuman menjadi buta itu tidaklah berlaku melainkan terhadap perbuatan yang haram. Pendapat yang masyhur di sisi Syafi’eyyah menyebut hukumnya adalah makruh. Manakala Ibn Hazm telah berlebihan sehingga mengatakan perbuatan tersebut membatalkan solat.” (Lihat ‘Aun Al-Ma’bud, 3/134)
Hikmah larangan di dalam hadis tersebut adalah seperti yang disebutkan oleh Al-Qadhi Iyadh: “Mengangkat pandangan di dalam solat padanya sedikit makna berpaling dari kiblat, dan terkeluar dari hai’ah (pergerakan) solat.” (Lihat Fath al-Bari, 2/272)
Selain itu, para ulama juga berbahas mengenai tempat pandangan dihalakan semasa seseorang sedang solat. Kebanyakan mereka berpandangan bahawa disunatkan untuk seseorang yang solat itu menghadapkan pandangan mereka ke tempat sujud. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Hajar yang menukilkan kenyataan Muhammad Ibn Sirin yang berkata: “Mereka dahulu (para sahabat) berpaling-paling dalam solat mereka sehinggalah turunnya firman Allah SWT:
قَد أفْلَحَ المُؤمِنُون الَّذِينَ هُم فِي صَلاتِهِم خَاشِعُون
Maksudnya: “Telah berjayalah golongan yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyu’ di dalam solat mereka.”
(Surah al-Mu’minun: 1-2)
Maka mereka pun beralih semula ke arah solat mereka (iaitu solat dengan tekun) dan melihat ke arah hadapan mereka. Dan mereka menggalakkan untuk salah seorang mereka tidak melepasi pandangan mereka dari tempat sujud mereka.” (Lihat Fath al-Bari, 2/272)
Kesimpulan
Sebagai penutup, setelah kami menekuni beberapa hujahan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa makruh hukumnya seseorang itu tidak memandang ke tempat sujudnya semasa solat. Dalam erti kata dia memandang ke kiri dan ke kanan, atau dia mengangkat pandangannya ke atas. Kerana hal sebegini adalah amat berjauhan dengan konsep solat yang memerlukan seseorang itu untuk khusyuk, khudu’ (tunduk), serta tekun. Manakala disunatkan untuk mereka yang solat menundukkan pandangan mereka menghadap ke tempat sujud.
Akhir kalam, semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 14 Januari 2022 bersamaan 11 Jamadil Akhir 1443H