#569: Status Kanak-kanak Non Muslim yang Meninggal Sebelum Baligh

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan berkenaan status kedudukan kanak-kanak dari keluarga non-Muslim apabila dia meninggal dunia sebelum baligh? Apakah nasib mereka di akhirat nanti, sedangkan mereka belum baligh dan tidak menanggung taklif. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Kanak-kanak

Sebelum kami membahas isu ini dengan lebih lanjut, kami akan menghuraikan terlebih dahulu berkenaan definisi kanak-kanak yang disinonimkan dengan individu bawah umur atau di dalam bahasa arabnya disebut al-Sighaar (الصغار).

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “kanak-kanak” bermaksud budak lelaki atau perempuan yang masih kecil (biasanya yang belum berumur lebih daripada 7 atau 8 tahun).[1] Manakala istilah “remaja” pula merujuk kepada seseorang yang mulai dewasa, sudah akil baligh, dan sudah cukup umur untuk berkahwin.[2]

Manakala dalam Seksyen 2 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyebutkan bahawa kanak-kanak adalah: “seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun. “

Daripada sudut bahasa Arab, Ibn Manzhur menyebut: Al-Sighar  (الصغار) dari sudut bahasa bermaksud: Kurang saiznya atau kurang umurnya maka dia adalah saghir (kecil). Ia adalah perkataan yang berlawanan dengan besar. (Lihat Lisan al-‘Arab, 4/458)

Manakala dari sudut istilah, ia membawa maksud: Suatu ciri yang dikaitkan dengan seorang manusia semenjak kelahirannya sehinggalah dia bermimpi (baligh). (Lihat Kasyf al-Asrar oleh al-Bazdawi, 4/1358)

Berdasarkan definisi dan takrif yang dinyatakan di atas, jelas kepada kita bahawa terdapat perbezaan dalam memahami apakah yang dimaksudkan dengan kanak-kanak. Kadang-kadang ia difahami sebagai umur seseorang di bawah tujuh atau lapan tahun, dan terkadang di bawah paras umur lapan belas tahun. Manakala daripada sudut tradisi Islam, takrifnya lebih konsisten dengan menghubungkan keadaan aqil baligh dengan definisi kanak-kanak.

Umur Baligh Menurut Empat Mazhab

Allah SWT telah menjadikan baligh itu sebagai salah satu tanda sempurnanya akal. Para ulama berselisih pendapat dalam menentukan umur baligh seseorang:

Ulama bermazhab al-Syafie, Ahmad, Abu Yusuf daripada ulama bermazhab Hanafi, dengan pandangan keduanya itu juga difatwakan di dalam mazhab dan al-Awza’ie menyatakan bahawa umur baligh adalah sempurna 15 tahun qamariyyah bagi lelaki dan wanita (sebagaimana yang telah ditetapkan oleh ulama bermazhab al-Syafie) berdasarkan khabar (riwayat) daripada Ibn Umar.

عُرِضْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ أُحُدٍ وَأَنَا ابْنُ أَرْبَعَ عَشْرَةَ سَنَةً، فَلَمْ يُجِزْنِي وَلَمْ يَرَنِي بَلَغْتُ، وَعُرِضْتُ عَلَيْهِ يَوْمَ الْخَنْدَقِ وَأَنَا ابْنُ خَمْسَ عَشْرَةَ سَنَةً، فَأَجَازَنِي، وَرَآنِي بَلَغْتُ

Maksudnya: “Aku menyerahkan diriku kepada Nabi SAW pada peperangan Uhud ketika aku berusia 14 tahun dan Nabi SAW tidak mengizinkanku kerana Baginda SAW tidak menganggapku telah baligh. Aku juga menyerahkan diriku kepada Nabi SAW pada peperangan Khandak ketika aku berusia 15 tahun dan Nabi SAW mengizinkanku kerana Baginda SAW menganggapku telah baligh.”

Riwayat Ibn Hibban (4728) dan ia mempunyai asal di dalam al-Sahihain.

Berkata Imam al-Syafie bahawa Nabi SAW telah menolak 17 orang daripada kalangan sahabat yang mana usia mereka pada ketika itu adalah 14 tahun kerana Baginda SAW menganggap mereka belum lagi baligh. Kemudian Baginda SAW didatangi anak-anak yang berusia 15 tahun lalu Baginda SAW membenarkan mereka. Antaranya Zaid bin Thabit, Rafi’ bin Khadij dan Ibn Umar.

وَرُوِيَ عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَال: إِذَا اسْتَكْمَل الْمَوْلُودُ خَمْسَ عَشْرَةَ سَنَةً كُتِبَ مَا لَهُ وَمَا عَلَيْهِ، وَأُخِذَتْ مِنْهُ الْحُدُودُ

Maksudnya: “Apabila sempurnanya umur anak itu 15 tahun maka akan ditulis apa yang dilakukannya dan apa yang dikenakan ke atasnya serta akan dikenakan hudud.”

 Riwayat ini dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam al-Talkhis al-Habir pada 106/3 dan Imam al-Baihaqi meniali riwayat ini adalah dhaif.

Ulama al-Malikiyyah mengatakan umur baligh adalah sempurnanya 18 tahun, dikatakan juga dengan persetubuhan atau dengan bermimpi (keluar mani) berdasarkan sabda Nabi SAW:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثٍ: عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ

Maksudnya: “Diangkat pena pada 3 perkara: Antaranya daripada budak sehingga dia bermimpi.”

Riwayat Abu Daud (4401)

Ataupun apabila datangnya haid (bagi wanita) berdasarkan sabda Nabi SAW:

لاَ يَقْبَل اللَّهُ صَلاَةَ حَائِضٍ إِلاَّ بِخِمَارٍ

Maksudnya: “Allah SWT tidak akan menerima solat orang yang telah berhaid melainkan dengan menutup kepala.”

Riwayat Ahmad dan ashab al-Sunan melainkan al-Nasaie dan juga Ibn Khuzaimah dan al-Hakim daripada Aisyah R.Anha. Riwayat ini sanadnya adalah hasan sebagaimana yang dinilai oleh Syeikh Syuaib al-Arna’outh.

Atau dengan mengandung dan juga dengan tumbuhnya bulu ari-ari di bawah perutnya.

Al-Hattab ada mendatangkan 5 pandangan di dalam mazhab, antaranya riwayat yang mengatakan 18 tahun, 17 tahun dan sebahagian pensyarah kitab al-Risalah menambah kepada 16 tahun, 19 tahun dan diriwayatkan oleh Ibn Wahab 15 tahun menurut riwayat Ibn Umar.

Adapun Abu Hanifah menyatakan bahawa umur baligh seseorang budak lelaki itu mengikut pada umur adalah 18 tahun dan budak perempuan pula adalah 17 tahun. Disebabkan itu Allah SWT berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri).”

(Surah al-Isra’: 34)

Telah berkata Ibn Abbas RA, umur 18 tahun (dalam menentukan had baligh) adalah amat sedikit ahli ilmu yang cenderung kepadanya. Akan tetapi, ia diterima sebagai langkah berhati-hati. Ini adalah umur yang paling tua bagi had baligh budak lelaki dan budak perempuan pula lebih cepat balighnya berbanding budak lelaki maka kami kurangkan setahun (iaitu 17 tahun). (Lihat al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah, 2/15-17)

Kesimpulannya,  secara umumnya mazhab al-Syafie dan Ahmad melihat had umur baligh seseorang itu adalah pada usia 15 tahun qamariyyah berdasarkan dalil-dalil di atas. Adapun, mazhab al-Maliki dan al-Hanafi melihat had umur baligh seseorang itu adalah pada usia 18 tahun.

Status Kanak-kanak Non Muslim yang Meninggal Sebelum Baligh

Kami bahagikan perbincangan ini kepada dua iaitu kedudukan mereka di dunia dari segi pengurusan dan pengebumian mayat. Yang kedua, kedudukan di akhirat berdasarkan nas-nas yang menyebut berkenaannya.

Pertama: Kedudukan di Dunia

Para ulama’ telah ijma’ bahawa hukum mereka di dunia adalah sepertimana hukum ibubapa mereka iaitu mayat mereka tidak dimandikan, tidak dikafankan dan tidak disolatkan ke atas mereka serta tidak dikebumikan di perkuburan orang-orang Islam.

Ibn Abd al-Bar berkata: “Para ahli ilmu telah sepakat bahawa hukum kanak-kanak (daripada ibubapa yang kafir) di dunia adalah mengikut hukum ibubapa mereka selagi mana mereka belum baligh.”  (Lihat al-Tamhid, 8/193)

 

Kedua: Kedudukan di Akhirat

Berkenaan kedudukan mereka di akhirat, terdapat beberapa pandangan ulama’ dalam isu ini. Antaranya:

  1. Mereka akan diuji di akhirat nanti. Mereka yang taat akan dimasukkan ke syurga manakala yang ingkar akan dimasukkan ke dalam neraka.

Hal ini sebagaimana ujian yang dikenakan terhadap ahli fatrah yang tidak sampai seruan dakwah kepada mereka. Firman Allah SWT:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَث رَسُولًا

Maksudnya“Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).”

(Surah al-Isra’: 15)

Ibn Kathir berkata: “Yang demikian itu merupakan pemberitahuan tentang keadilan Allah SWT di mana Dia tidak akan mengazab seorang pun melainkan setelah disampaikan hujjah kepadanya, yakni dengan pengutusan Rasul kepadanya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/445)

Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada al-Aswad bin Sari’, Rasulullah SAW bersabda:

أَرْبَعَةٌ يَحْتَجُّونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: رَجُلٌ أَصَمُّ، وَرَجُلٌ أَحْمَقُ، وَرَجُلٌ هَرِمٌ، وَرَجُلٌ مَاتَ فِي الْفَتْرَةِ، فَأَمَّا الْأَصَمُّ، فَيَقُولُ: يَا رَبِّ، لَقَدْ جَاءَ الْإِسْلَامُ، وَمَا أَسْمَعُ شَيْئًا، وَأَمَّا الْأَحْمَقُ، فَيَقُولُ: رَبِّ، قَدْ جَاءَ الْإِسْلَامُ وَالصِّبْيَانُ يَحْذِفُونَنِي بِالْبَعَرِ، وَأَمَّا الْهَرِمُ، فَيَقُولُ: رَبِّ، لَقَدْ جَاءَ الْإِسْلَامُ وَمَا أَعْقِلُ، وَأَمَّا الَّذِي مَاتَ فِي الْفَتْرَةِ، فَيَقُولُ: رَبِّ، مَا أَتَانِي لَكَ رَسُولٌ، فَيَأْخُذُ مَوَاثِيقَهُمْ لَيُطِيعُنَّهُ، فَيُرْسِلُ إِلَيْهِمْ رَسُولًا أَنِ ادْخُلُوا النَّارَ، قَالَ: فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ دَخَلُوهَا كَانَتْ عَلَيْهِمْ بَرْدًا وَسَلَامًا

Maksudnya: “Ada empat orang yang akan berhujjah dengan memberi alasan pada Hari Kiamat iaitu: (1) orang yang tuli, (2) orang yang amat bodoh dan lembam, (3) orang yang tua nyanyuk, dan (4) orang yang mati dalam masa fatrah. Orang yang tuli akan berkata: ‘Wahai Tuhan, sesungguhnya telah datang ajaran Islam dalam keadaan aku tidak mendengar apa-apa.” Orang yang amat bodoh dan lembam akan berkata: “Wahai Tuhan, sesungguhnya telah datang Islam kepada aku dengan keadaan budak-budak membaling aku dengan tahi unta.” Orang yang tua nyanyuk akan berkata: “Wahai Tuhan, sesungguhnya telah datang Islam kepadaku sedangkan aku tidak memahami apa-apa.” Adapun orang yang mati dalam masa fatrah akan berkata: “Wahai Tuhan, tidak ada satu pun Utusan-Mu yang datang kepadaku.” Maka diambillah perjanjian mereka untuk mentaati-Nya. Diutuslah kepada mereka seorang Rasul yang memerintahkan mereka agar masuk ke dalam api neraka. Beliau SAW bersabda: “Demi Zat yang jiwaku ada di tangan-Nya, seandainya mereka masuk ke dalamnya, nescaya mereka akan merasakan dingin dan selamat.”

Riwayat Imam Ahmad (16301), al-Tabarani (2/79) dan Ibnu Hibban (7357)

Ibn al-Qayyim ketika menjelaskan pendapat-pendapat yang ada dalam isu ini menyebut: “Pendapat yang kelapan, mereka berpendapat bahawa kanak-kanak kecil orang kafir akan diuji di sebuah dataran pada hari Kiamat. Setiap orang dikirimkan utusan. Orang yang mematuhi utusan tersebut akan dimasukkan ke syurga. Manakala yang membangkang akan dimasukkan ke neraka. Dengan kata lain, sebahagian mereka ada yang masuk syurga dan sebahagiannya ada yang masuk neraka. Pendapat ini mencakupi dalil-dalil yang ada dan didokong oleh banyak hadis. ( Lihat Tariq al-Hijratain, hlm. 369)

Imam Ibn Kathir selepas menjelaskan pandangan-pandangan yang ada, beliau kemudian memilih pendapat yang menyatakan bahawa mereka akan diuji pada hari kiamat kelak. Katanya, “Pendapat inilah yang mencakupi semua dalil yang ada. Dan hadis-hadis yang telah saya sebutkan juga menegaskannya dan saling menguatkan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/30)

  1. Mereka akan terus dimasukkan ke dalam Syurga.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Samurah bin Jundub R.A, antara lain menyebut sabda Rasulullah SAW:

وَأَمَّا الرَّجُلُ الطَّوِيلُ الَّذِي فِي الرَّوْضَةِ فَإِنَّهُ إِبْرَاهِيمُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَمَّا الْوِلْدَانُ الَّذِينَ حَوْلَهُ فَكُلُّ مَوْلُودٍ مَاتَ عَلَى الْفِطْرَةِ قَالَ فَقَالَ بَعْضُ الْمُسْلِمِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَوْلَادُ الْمُشْرِكِينَ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَوْلَادُ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya“…Adapun lelaki yang tinggi di dalam Raudhah (taman syurga) itu, ialah Ibrahim SAW. Adapun anak-anak yang ada di sekelilingnya adalah setiap anak-anak yang dilahirkan yang mati di atas fitrah (yakni Islam dan dimasukkan ke dalam syurga). Lalu sebahagian orang Islam bertanya “Wahai Rasulullah, adakah ianya termasuk kanak-kanak orang musyrikin?” Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Termasuk anak-anak orang musyrikin…”

Riwayat al-Bukhari (7047)

Antara ulama’ yang berpandangan dengan pendapat ini ialah Imam al-Nawawi Rahimahullah. Beliau berkata bahawa inilah mazhab yang sahih yang terpilih oleh ulama’ muhaqqiq. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا

Maksudnya“Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).”

(Surah al-Isra’: 15)

Berdasarkan ayat di atas, Imam al-Nawawi berkata sepertimana yang dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari: Sekiranya tidak diazab mereka yang berakal kerana keadaan mereka yang tidak sampai seruan dakwah, maka tidak diazab orang yang tidak berakal adalah lebih utama.  ( Lihat Fath al-Bari, 4/462)

  1. Mereka akan menjadi pembantu kepada penghuni Syurga.

Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang menyebut:

أطفالُ المُشرِكينَ خَدَمُ أهلِ الجنَّةِ

Maksudnya“Kanak-kanak daripada orang-orang musyrikin adalah pembantu kepada penghuni syurga.”

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tabarani (5514) dan al-Bazzar (7466). Namun ia telah dinilai sebagai lemah oleh para imam hadis antaranya al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (3/246).

 

  1. Para ulama’ tawaqquf dengan menyatakan Allah SWT lebih mengetahui keadaan mereka.

Hal ini berdasarkan hadis daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَوْلَادِ الْمُشْرِكِينَ فَقَالَ اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا كَانُوا عَامِلِينَ

Maksudnya“Rasulullah SAW ditanya berkenaan anak-anak orang musyrikin, lalu Baginda menjawab: “Allah lebih mengetahui, apa yang mereka kerjakan.”

Riwayat al-Bukhari (6597) dan Muslim (6933)

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata:

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَرَارِيِّ الْمُشْرِكِينَ فَقَالَ اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا كَانُوا عَامِلِينَ

Maksudnya“Rasulullah SAW ditanya berkenaan keturunan orang musyrikin, lalu Baginda menjawab: “Allah lebih mengetahui, apa yang mereka lakukan.”

 Riwayat al-Bukhari (1384)

Syeikh Syams al-Haq ‘Azim Abadi menjelaskan: “ذَرَارِيِّ الْمُشْرِكِينَ” yakni kanak-kanak musyrikin yang mati sebelum baligh. Ungkapan “ذَرَارِيِّ” adalah jama’ kepada “ذرية”, dan ia bermaksud keturunan manusia dan jin.

Manakala ungkapan “اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا كَانُوا عَامِلِينَ”, ia bermaksud keadaan apa yang mereka akan pergi kepadanya sama ada masuk ke dalam syurga, atau neraka, atau ditinggalkan antara dua tempat sepertimana disebut oleh al-Qari(Lihat ‘Aun al-Ma’bud12/316)

Penutup

Para ulama’ berbeza pendapat dalam mentarjihkan pandangan yang paling kuat. Pandangan-pandangan tersebut boleh diringkaskan seperti berikut:

  • Kanak-kanak tersebut akan diuji di akhirat nanti. Ini merupakan pandangan yang dipilih oleh antaranya Imam Ibn Kathir, Imam al-Qurtubi, Ibn Qayyim dan lain-lain.
  • Kanak-kanak tersebut akan terus dimasukkan ke dalam Syurga. Ini merupakan pandangan yang dipilih oleh antaranya Imam al-Nawawi, al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dan lain-lain.
  • Kanak-kanak tersebut akan menjadi pembantu kepada penghuni syurga.
  • Allah lebih mengetahui keadaan kanak-kanak tersebut.

Kami cenderung kepada pendapat yang menyebut bahawa kanak-kanak dari keluarga bukan Islam yang meninggal dunia sebelum baligh akan terus dimasukkan ke dalam Syurga sepertimana pendapat Imam al-Nawawi, al-Hafiz Ibn Hajar dan lain-lain, berdasarkan nas-nas yang menyokong.

Semoga Allah SWT kurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita serta Allah tetapkan iman kita hingga ke akhir hayat. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 24 Februari 2022 bersamaan 22 Rejab 1443H

[1] Lihat http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kanak-kanak

[2] Lihat http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=remaja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *