Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah orang yang ingin masuk Islam boleh melafazkan ucapan syahadah menggunakan bahasa selain bahasa Arab? Bolehkah dia melafazkan syahadah dengan bahasa yang dia fahami sahaja, kerana belum mampu mengucapkannya dalam bahasa Arab? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Syahadah

Syahadah (شهادة) dari sudut bahasa ialah pecahan daripada perkataan (شهد) yang memberi maksud menyaksikan. (Lihat al-Munjid fi al-Lughah, hlm. 406)

Perkataan syahadah juga boleh diertikan memberitahu apa yang dilihat, menafsirkan apa yang diketahui. (Lihat Mu’jam al-Wasit, hlm. 516)

Mengucap dua kalimah syahadah merupakan rukun yang pertama daripada lima rukun Islam. Hal ini sepertimana hadis daripada Ibnu Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya“Islam terbina atas lima perkara: Penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan.”

Riwayat al-Bukhari (8)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Yang dimaksudkan dengan syahadat di sini adalah membenarkan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW sehingga mencakupi semua yang disebutkan tentang keyakinan (rukun iman yang enam dan yang selainnya). ( Lihat Fath al-Bari, 1/49)

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ شَهِدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَأَنَّ عِيسَى عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ عَلَى مَا كَانَ مِنْ الْعَمَلِ

Maksudnya“Barangsiapa yang bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata, tidak ada sekutu bagi-Nya, dan bahawasanya Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Nya, dan bahawasanya ‘Isa adalah hamba dan utusan-Nya dan kalimat-Nya yang Dia sampaikan kepada Maryam dan ruh dari-Nya, dan (dia juga bersaksi) bahawa syurga itu benar adanya dan neraka itu benar adanya, maka Allah akan memasukkan dirinya ke dalam surga berapa pun amal yang telah diperbuatnya.”

Riwayat Bukhari (3435)

Ibn al-Qayyim berkata: “Jika seorang Mukmin bersaksi dengan kalimat tauhid, mengetahui maknanya dan hakikatnya dari segi nafyu dan ithbat, melaksanakan tuntutannya, serta hati, lisan dan anggota badannya melaksanakan syahadat tersebut, maka kalimat yang baik inilah yang mengangkat amalan tersebut. Pangkalnya tertanam kuat dalam hati dan akarnya sampai ke langit, ia mengeluarkan buahnya setiap saat.” (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 2/300)

Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Hasan berkata: “Kalimat yang agung ini tidak akan membuahkan manfaat bagi pemeluknya kecuali apabila ia memenuhi syarat-syarat kalimat ‘لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ’ yang tersebut dalam al-Kitab dan al-Sunnah. Allah SWT telah menyebut dalam surah Bara’ah (al-Taubah) dan surah yang lain berkenaan orang-orang yang mengucapkan kalimat ini, tetapi ucapan mereka tidak bermanfaat sama sekali, sebagaimana keadaan golongan ahli kitab dan orang-orang munafik, dan yang seumpamanya. Kalimat tersebut tidak memberikan manfaat kepada mereka kerana mereka tidak mengamalkan syarat-syaratnya. (Lihat Qurrotu ‘Uyun al-Muwahhidin, hlm. 21)

Lafaz ‘لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ’ (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata) mempunyai dua rukun, iaitu:

  • Al-Nafyu atau peniadaan: لَا إِلَهَ membatalkan syirik dengan segala bentuknya dan mewajibkan kekafiran terhadap segala apa yang disembah selain Allah.
  • Al-Ithbat (penetapan): إِلَّا اللَّهُ menetapkan bahawa tidak ada yang berhak disembah kecuali Allah dan mewajibkan pengamalan sesuai dengan tuntutannya.

Manakala lafaz ‘وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ’ (dan bahawasanya Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Nya) juga mempunyai dua rukun, iaitu menafikan ifrath (berlebih-lebihan) dan tafrith (meremehkan) pada hak Rasulullah SAW. (Lihat al-Tauhid li al-Saff al-Awwal al’Aliy, hlm. 23)

 

Adakah Boleh Mengucap Syahadah Dalam Bahasa Lain?

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Imam al-Nawawi, kata beliau:

أَمَّا إِذَا أَقَرَّ بِالشَّهَادَتَيْنِ بِالْعَجَمِيَّةِ وَهُوَ يُحْسِنُ الْعَرَبِيَّةَ فَهَلْ يُجْعَلُ بِذَلِكَ مُسْلِمًا؟ فِيهِ وَجْهَانِ لِأَصْحَابِنَا : الصَّحِيح مِنْهُمَا أَنَّهُ يَصِير مُسْلِمًا لِوُجُودِ الْإِقْرَار ، وَهَذَا الْوَجْه هُوَ الْحَقّ  .

Maksudnya: Adapun sekiranya berikrar dua kalimah syahadah dengan selain Bahasa Arab sedangkan dia boleh berbahasa Arab, adakah ia dapat menjadikan seseorang itu sah menganut Islam? Padanya terdapat dua pendapat. Yang sahih daripada kedua-dua pendapat tersebut ialah dia menjadi Muslim kerana wujudnya iqrar (pengakuan). Pandangan inilah yang benar. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 1/69)

Imam al-Mawardi pula berkata dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir:

وَالْمَقْصُودُ بِالشَّهَادَتَيْنِ: الْإِخْبَارُ عَنِ التَّصْدِيقِ بِالْقَلْبِ، وَهَذَا الْمَعْنَى يَسْتَوِي فِيهِ لَفْظُ الْفَارِسِيَّةِ وَالْعَرَبِيَّةِ.

Maksudnya: Maksud dengan dua kalimah syahadah ialah: “Perkhabaran tentang membenarkan dengan hati. Dan makna ini sama dalam lafaz Parsi dan Arab.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/96)

Berdasarkan nas-nas ulama’ di atas, dapat disimpulkan, mengucapkan dua kalimah syahadah dalam bahasa selain Arab adalah dibolehkan.

Oleh itu, sekiranya seseorang benar-benar tidak mampu untuk mengucapkan dua kalimah syahadah dalam Bahasa Arab, maka dibolehkan untuknya mengucapkan dalam bahasa selain Arab.

Walaubagaimanapun, kami lebih cenderung agar lafaz asal dua kalimah syahadah dilafazkan dalam Bahasa Arab. Kemudian ia diterjemahkan dalam bahasa ibunda seseorang yang ingin memeluk Islam.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman yang jelas dalam menjalankan setiap perintah-Nya. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H

Leave a Reply