Soalan
Assalamualaikum ustaz. Benarkah kita akan masuk syurga terlebih dahulu berbanding umat lain? Dan umat lain tidak akan memasuki syurga selagimana umat Nabi Muhammad SAW belum memasukinya? Mohon pencerahan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Rasulullah SAW merupakan insan yang terpuji dan paling mulia di antara makhluk-makhluk Allah SWT yang ada di atas muka bumi ini. Setiap orang yang beriman pasti bercita-cita untuk berada bersama dengan Nabi SAW sebagaimana yang dirasai oleh para sahabat Nabi SAW.
Selain itu, Allah SWT turut menyifatkan kita sebagai umat yang terbaik disebabkan kita mendapat rasul yang terbaik daripada kalangan rasul yang ada. Firman Allah SWT:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ
Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”
(Surah Ali Imran: 110)
Ayat ini menunjukkan Allah SWT memuji umat ini dengan menyatakan mereka adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan oleh Allah SWT daripada kalangan manusia yang ada. Ini kerana, disebabkan kesempurnaan diri mereka dengan wujudnya iman serta beriltizam dalam melaksanakan perintah Allah SWT di samping menyempurnakan orang lain dengan menyeru kepada kenaikan dan mencegah kepada kemungkaran. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 143)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
نَحْنُ الآخِرُونَ السَّابِقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، بَيْدَ أَنَّهُمْ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا، ثُمَّ هَذَا يَوْمُهُمُ الَّذِى فُرِضَ عَلَيْهِمْ فَاخْتَلَفُوا فِيهِ، فَهَدَانَا اللَّهُ، فَالنَّاسُ لَنَا فِيهِ تَبَعٌ، الْيَهُودُ غَدًا وَالنَّصَارَى بَعْدَ غَدٍ
Maksudnya: “Kita adalah umat yang terakhir (lahir ke dunia) dan umat yang terdahulu (menikmati kelebihan, ganjaran dan masuk syurga) pada hari kiamat walaupun mereka (umat terdahulu) diberikan kitab (syariat samawi) sebelum kita. Hari Jumaat ialah hari yang telah difardhukan atas mereka (untuk mendampingkan diri kepada Allah) tetapi mereka telah mempertikaikannya. Lalu Allah memberi petunjuk kepada kita sedangkan mereka menerima hari-hari berikutnya, iaitu Yahudi pada hari sabtu dan Nasrani pula pada hari Ahad.”
Riwayat al-Bukhari (836) dan Muslim (855)
Hadis di atas menunjukkan bahawa umat Nabi Muhammad lah yang akan memasuki syurga terdahulu daripada umat lain. Ia dikuatkan dengan sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الْجَنَّةَ حُرِّمَتْ عَلَى الأَنْبِيَاءِ كُلِّهِمْ حَتَّى أَدْخُلَهَا ، وَحُرِّمَتْ عَلَى الأُمَمِ حَتَّى تَدْخُلَهَا أُمَّتِي
Maksudnya: “Sesungguhnya, syurga diharamkan ke atas para nabi semuanya sehingga aku memasukinya. Begitu juga diharamkan ke atas umat-umat terdahulu syurga sehingga umat aku memasuki terlebih dahulu.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (942)
Imam al-Nawawi dalam menjelaskan hadis pertama di atas berkata: Dahulu, bagi orang Yahudi, acara ibadatnya adalah pada hari Sabtu. Manakala bagi orang Kristian adalah pada hari Ahad. Kemudian Allah datangkan kita, lantas diberi petunjuk kepada kita untuk hari Jumaat, maka dijadikan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Demikian juga mereka mengikut bagi kita pada hari Kiamat.
Kita adalah umat yang terakhir dibangkitkan di dunia sedangkan kita adalah umat yang terdahulu pada hari Kiamat yang diputuskan hukuman sebelum yang lain. Tafsiran ulama’ berkenaan dengan lafaz ‘yang terakhir’ (الآخِرُونَ) adalah dengan maksud masa dan wujudnya di dunia. Manakala ‘yang terdahulu’ (السَّابِقُونَ) adalah dengan maksud kurniaan dan masuk syurga. Justeru, umat ini akan memasuki syurga sebelum semua umat yang lain.(Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 11/19-20)
Imam al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah berkata: Kita adalah golongan yang terakhir yang keluar dari dunia sedangkan yang terdahulu dengan kurniaan dan karamah daripada Allah pada hari Kiamat kelak. (Lihat Syarh al-Sunnah, 4/201)
Al-Mulla Ali al-Qari dalam Mirqat al-Mafatih berkata: Kita adalah umat yang terakhir dari sudut kejadian dan awal dari sudut kehidupan dan kedudukan pada hari Kiamat. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykat al Masabih, 3/1008)
Justeru, nikmat Allah kurniakan kepada kita umat Muhammad SAW adalah amat banyak dan cukup istimewa. Makanya lafaz syukur Alhamdulillah hendaklah sentiasa membasahi lidah kita dan menjadikan hadis seperti di atas sebagai inspirasi untuk mendekatkan kita kepada Allah SWT yang akhirnya melayakkan kita menghuni syurga Allah SWT.
Kami menutup perbincangan ini dengan berdoa kepada Allah:
اللَّهُمْ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَمَا قُرِّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَأَعُوذُّ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قُرِّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya sama ada ucapan atau amalan. Aku mohon berlindung dengan-Mu daripada neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya sama ada ucapan atau amalan. Amin.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 17 Januari 2022 bersamaan 14 Jamadil Akhir 1443H