Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan pendapat para ulama berkenaan hukum seorang wanita itu memendekkan rambutnya atau memotong rambutnya? Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Islam mementingkan imej yang bersih dan kemas. Dalam satu hadis, Ata` bin Yasar RA mengkhabarkan kepada Zaid bin Aslam RA bahawa:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْمَسْجِدِ فَدَخَلَ رَجُلٌ ثَائِرَ الرَّأْسِ وَاللِّحْيَةِ فَأَشَارَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِيَدِهِ أَنِ اخْرُجْ كَأَنَّهُ يَعْنِي إِصْلاَحَ شَعَرِ رَأْسِهِ وَلِحْيَتِهِ فَفَعَلَ الرَّجُلُ ثُمَّ رَجَعَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: “‏ أَلَيْسَ هَذَا خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدُكُمْ ثَائِرَ الرَّأْسِ كَأَنَّهُ شَيْطَانٌ ‏

Maksudnya: “Rasulullah SAW berada di masjid suatu ketika, kemudian masuk seorang lelaki yang berambut dan berjanggut menggerbang. Lalu Rasulullah SAW mengisyaratkan kepada lelaki itu dengan tangannya agar memperelokkan rambut dan janggutnya. Lelaki tersebut melakukannya dan datang kembali. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Bukankah ini lebih baik daripada salah seorang daripada kalian yang kusut masai seperti syaitan.”

Riwayat Malik (1702) dalam al-Muwatta’

Imam al-Baji al-Maliki dalam mensyarahkan hadis ini berkata: “Ini menunjukkan bahawa keluar daripada masjid itu untuk memperelokkan rambut itu adalah disuruh (oleh Syara’). Ini bagi kerana memperelokkannya di dalam masjid adalah dilarang kerana akan menyelerakkan masjid daripada apa yang jatuh daripada rambutnya. Mungkin juga itu akan mengganggu ahli masjid daripada kutu yang ada pada orang yang tidak menjaga rambut dengan menyikat dan membersihkan. Hukum bagi janggut juga seperti hukum rambut bahkan lebih utama; kerana kepala boleh ditutup sedangkan janggutnya terpampang.” (Lihat al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’, 7/269)

Keterangan ini menunjukkan galakan menjaga imej yang baik dan Islam sangat menganjurkan umatnya untuk merapikan diri dan menjaga kebersihan diri.

 

Larangan Perempuan Menyerupai Lelaki dan Sebaliknya (Tasyabbuh)

Sebelum kami menjelaskan berkenaan isu di atas, perlu juga difahami terlebih dahulu berkenaan isu tasyabbuh (penyerupaan). Pada asasnya, perempuan adalah dilarang menyerupai lelaki dan begitu juga lelaki dilarang menyerupai wanita. Hal ini sama ada dalam bentuk percakapan, pemakaian, keadaaannya dan seumpamanya.

Dalam Bahasa Melayu, anak perempuan bersifat kelakian (misalnya suka memakai pakaian lelaki dan sebagainya) dipanggail ‘tomboy’ dan perkataan ‘mak nyah’ pula selalunya dirujuk kepada lelaki. Manakala di dalam Bahasa Arab, perkataan ‘tasyabbuh’ secara bahasanya bermaksud menyerupai sesuatu.

Dari segi perbahasan fiqh pula, ianya bermaksud seorang perempuan yang menyerupai lelaki atau sebaliknya dalam perkara-perkara berikut:

  • Pakaian
  • Perhiasan
  • Percakapan dan suara
  • Gaya berjalan dan gerak badan
  • Mengubah bentuk fizikal badan

Hukum tasyabbuh adalah haram bahkan salah satu dosa besar kerana telah sabit nas-nas syar’ie bahawa Allah SWT melaknat orang yang melakukannya dengan lisan Nabi SAW. Dari Ibn ‘Abbas R.Anhuma dalam sabda Baginda SAW:

لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.”

Riwayat al-Bukhari (5886 & 6834), Abu Daud (4953) dan al-Tirmizi (2785)

Ibn al-Athir berkata: Al-Mutarajjilat ialah perempuan yang menyerupai lelaki dari segi pakaian dan keadaannya. Al-Mukhannath pula ialah lelaki yang menyerupai perempuan. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 2/203)

Dalam riwayat yang lain:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang yang menyerupai kaum lelaki daripada kalangan perempuan.”

Riwayat al-Bukhari (5885), Abu Daud (4097), al-Tirmizi (2784) dan Ibn Majah (1904)

Imam al-San’ani mengatakan bahawa laknat Rasulullah SAW terhadap maksiat itu menunjukkan kepada besarnya dosa tersebut. Dalil tersebut menunjukkan keharaman untuk menyerupai perempuan bagi lelaki dan sebaliknya. Imam al-Syaukani turut menyebut bahawa hadis tersebut menjadi dalil akan pengharaman ke atas lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki dalam pertuturan, pemakaian dan selain itu. (Lihat Subul al-Salam, 2/421; Lihat Nail al-Awtar, 6/230)

Di dalam Tuhfah al-Ahwazi  bi Syarh Jami’ al-Trmizi dinaqalkan kalam al-Imam al-Tabari yang mana tidak boleh bagi lelaki menyerupai wanita di dalam pemakaian dan perhiasan yang telah dikhaskan buat wanita dan begitulah sebaliknya. Begitu juga kata al-Hafiz Ibn Hajar, tidak boleh menyerupai di dalam percakapan dan cara berjalan manakala dari segi pemakaian pula berbeza mengikut adat pemakaian sesuatu tempat dan kaum. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/57)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh antara lain menyatakan haram ke atas lelaki menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya, haram wanita menyerupai lelaki. Menurut Syeikh Muhammad Soleh al-‘Uthaymeen  dalam komentarnya terhadap masalah ini, katanya, “Ini kerana penyerupaan boleh membawa kepada kecacatan sunnatullah pada makhluk-Nya yang diciptakan lelaki dan perempuan.”

Hukum Wanita Memendekkan Rambut

Terdapat sebuah riwayat daripada Abu Salamah bin Abd Al-Rahman R.A, beliau berkata:

وَكَانَ أَزْوَاجُ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم يَأْخُذْنَ مِنْ رُءُوسِهِنَّ حَتَّى تَكُونَ كَالْوَفْرَةِ

Maksudnya: “Adalah isteri-isteri Nabi SAW memotong rambut mereka sehinggalah ia menjadi seperti al-wafrah (rambut yang tidak melepasi paras dua cuping telinga).”

Riwayat Muslim (320)

Imam al-Nawawi apabila mensyarahkan hadis ini berkata: Al-wafrah itu rambut yang lebih banyak daripada Al-Lammah. Manakala Al-Lammah itu adalah rambut yang mengurai sehingga ke bahagian bahu. Inilah pendapat yang disebutkan oleh Al-Asm’aie. Manakala pendapat lain menyebutkan bahawa Al-Wafrah itu lebih sedikit berbanding Al-Lammah, iaitu rambut yang tidak melepasi paras kedua telinga. Abu Hatim pula mengatakan Al-Wafrah itu rambut yang berada pada kedudukan atas telinga.

Kata al-Nawawi lagi: Hadis ini merupakan dalil keharusan untuk memendekkan rambut bagi orang perempuan. (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 4/7)

Kami nyatakan di sini beberapa dhawabit (kriteria) yang disebutkan oleh para fuqaha bagi seseorang perempuan itu untuk memendekkan rambutnya.

Dalam beberapa keadaan berikut, adalah tidak boleh untuk memendekkan rambutnya di antaranya seperti:

  • Bertujuan untuk bertabarrujdengan rambut tersebut buat lelaki ajnabi.
  • Jika dia memotong rambut dengan tujuan untuk tasyabbuh (menyerupai) wanita-wanita kafir atau fasiq.
  • Apabila potongan rambut wanita itu menyerupai keadaan rambut orang lelaki.
  • Jika rambutnya itu dipotong oleh orang lelaki yang ajnabi.
  • Sekiranya tidak mendapatkan keizinan daripada suaminya.

Justeru, jika ternafi beberapa perkara yang kami sebutkan di atas maka dibolehkan untuk seorang perempuan itu memotong rambutnya dengan bersandarkan kepada hukum asal bagi setiap perkara yang bersifat adat itu adalah harus sebagaimana yang dinyatakan di dalam kaedah usul yang masyhur.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 Mac 2022 bersamaan 27 Rejab 1443H

Leave a Reply