Soalan

Apakah status hadith berkenaan Ramadhan yang menyatakan awalnya rahmah, pertengahannya pengampunan dan akhirnya pembebasan daripada neraka. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Hadith yang dimaksudkan di dalam soalan di atas ialah sebagaimana riwayat Ibn Khuzaimah, daripada Salman al-Farisi, katanya: Rasulullah SAW berkhutbah pada hari terakhir daripada bulan Syaaban, sabdanya:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ، قَدْ أَظَلَّكُمْ شَهْرٌ عَظِيمٌ، شَهَرٌ مُبَارَكٌ، شَهْرٌ فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مَنْ أَلْفِ شَهْرٍ، جَعَلَ اللَّهُ صِيَامَهُ فَرِيضَةً، وَقِيَامَ لَيْلِهِ تَطَوُّعًا، مَنْ تَقَرَّبَ فِيهِ بِخَصْلَةٍ مِنْ خِصَالِ الْخَيْرِ كَانَ كَمَنْ أَدَّى فَرِيضَةً فِيمَا سِوَاهُ، وَمَنْ أَدَّى فَرِيضَةً فِيهِ كَانَ كَمَنْ أَدَّى سَبْعِينَ فَرِيضَةً فِيمَا سِوَاهُ، وَهُوَ شَهْرُ الصَّبْرِ، وَالصَّبْرُ ثَوَابُهُ الْجَنَّةُ، وَشَهْرُ الْمُوَاسَاةِ، وَشَهْرٌ يُزَادُ فِيهِ رِزْقُ الْمُؤْمِنِ، مَنْ فَطَّرَ فِيهِ صَائِمًا كَانَ لَهُ مَغْفِرَةً لِذُنُوبِهِ وَعِتْقَ رَقَبَتِهِ مِنَ النَّارِ، وَكَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْتَقِصَ مِنْ أَجْرِهِ شَيْءٌ “، قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ لَيْسَ كُلُّنَا نَجِدُ مَا نُفَطِّرُ بِهِ الصَّائِمَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -: ” يُعْطَى هَذَا الثَّوَابَ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا عَلَى مَذْقَةِ لَبَنٍ، أَوْ تَمْرَةٍ، أَوْ شَرْبَةٍ مِنْ مَاءٍ، وَمَنْ أَشْبَعَ صَائِمًا سَقَاهُ اللَّهُ مِنْ حَوْضِي شَرْبَةً لَا يَظْمَأُ حَتَّى يَدْخُلَ الْجَنَّةَ، وَهُوَ شَهْرٌ أَوَّلُهُ رَحْمَةٌ وَأَوْسَطُهُ مَغْفِرَةٌ وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ، وَمَنْ خَفَّفَ عَنْ مَمْلُوكِهِ فِيهِ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ، وَأَعْتَقَهُ مِنَ النَّارِ. وَاسْتَكْثِرُوا فِيهِ مِنْ أَرْبَعِ خِصَالٍ: خَصْلَتَيْنِ تُرْضُونَ بِهِمَا رَبَّكُمْ، وَخَصْلَتَيْنِ لا غِنًى بِكُمْ عَنْهُمَا، فَأَمَّا الْخَصْلَتَانِ اللَّتَانِ تُرْضُونَ بِهِمَا رَبَّكُمْ: فَشَهَادَةُ أَنْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ، وَتَسْتَغْفِرُونَهُ، وَأَمَّا اللَّتَانِ لا غِنًى بِكُمْ عَنْهَا: فَتُسْأَلُونَ اللَّهَ الْجَنَّةَ، وَتَعُوذُونَ بِهِ مِنَ النَّارِ، وَمَنْ أَشْبَعَ فِيهِ صَائِمًا، سَقَاهُ اللَّهُ مِنْ حَوْضِي شَرْبَةً لا يَظْمَأُ حَتَّى يَدْخُلَ الْجَنَّةَ

Maksudnya: ”Wahai manusia, sesungguhnya telah menaungi bulan yang agung, bulan yang diberkati, bulan yang di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang mana Allah jadikan puasa di siang harinya sebagai fardhu (kewajiban), dan solat di malamnya sebagai sunnah. Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah di bulan ini dengan satu kebaikan (amalan sunnah), maka pahalanya seperti dia melakukan amalan fardhu di bulan-bulan yang lain. Sesiapa yang melakukan amalan fardhu di bulan ini, maka pahalanya seperti pahala melakukan 70 amalan fardhu di bulan lainnya. Bulan ini ialah bulan kesabaran dan balasan bagi mereka yang sabada adalah syurga, bulan ini merupakan bulan menderma dan bulan dimana rezeki orang-orang yang beriman bertambah. Sesiapa yang memberi makan (untuk berbuka) orang yang berpuasa maka baginya pengampunan atas dosa-dosanya dan dibebaskan daripada api neraka dan dia mendapatkan pahala yang sama sebagaimana orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahala orang yang berpuasa.” Mereka (para sahabat) berkata:“ Wahai Rasulullah, tidak semua daripada kami mempunyai sesuatu untuk dihidangkan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka.” Rasulullah SAW menjawab:“Allah akan memberikan pahala ini kepada orang yang memberi untuk berbuka puasa walaupun dengan sebiji kurma, atau seteguk air, atau setitis susu.” Inilah bulan yang permulaannya Allah menurunkan rahmat, yang pertengahannya  Allah memberikan ampunan, dan yang terakhirnya Allah membebaskan hamba-Nya dari api neraka. Sesiapa yang meringankan tugasan hambanya pada bulan ini, maka Allah SWT akan mengampuninya dan membebaskannya daripada api neraka. Dan perbanyakkan melakukan empat perkara pada bulan ini, dua perkara ini dapat mendatangkan keredhaan Tuhanmu, dan dua perkara lagi kamu yang memerlukannya. Dua perkara yang mendatangkan keredhaan Allah iaitu syahadah (Laa ilaaha illallaah) dan beristighfar kepada Allah, dan dua perkara yang pasti kamu memerlukannya ialah kamu meminta syurga kepada-Nya dan kamu berlindung kepada-Nya daripada api neraka. Dan Sesiapa yang di dalamnya mengenyangkan orang yang berpuasa (ketika berbuka), maka Allah akan memberinya minum dari telagaku (Haudh), yang sesiapa yang meminumnya sekali, seseorang tidak akan merasakan dahaga sehingga dia memasuki syurga.“

Takhrij Hadith dan Komentar Ulama’

Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya (1887) sambil mengulas sebelum meriwayatkan hadith ini dengan mengatakan:

بَابُ فَضَائِلِ شَهْرِ رَمَضَانَ إِنَّ صَحَّ الْخَبَرُ

Maksudnya: Bab Kelebihan Bulan Ramadhan sekiranya khabar ini benar. Lihat Sahih Ibn Khuzaimah (3/191)

Di dalam al-Targhib wa al-Tarhib (Lihat al-Targhib wa al-Tarhib, 2/95) oleh al-Munziri, tertinggal  perkataan “sekiranya” sehingga mereka berpendapat bahawa Ibn Khuzaimah berkata: “Hadith itu sahih”, walaupun Ibn Khuzaimah sebenarnya tidak menyatakan demikian.

Diriwayatkan juga oleh Al-Baihaqi dalam kitab Syu’ab al-Iman (3608) di dalam bab ‘Keutamaan zaman’. Ia juga disebutkan oleh al-Suyuti di dalam kitab al-Dur al-Manthur dan berkata: Diriwayatkan oleh Al-‘Uqaili, tetapi dinyatakan lemah, juga diriwayatkan oleh Al-Asbahani dalam kitab al-Targhib. Ia juga disebutkan oleh Al-Muttaqi di dalam kitab Kanz al-A’mal (Lihat Kanz al-A’mal, 8/477) . Kesemua sanad mereka datang daripada jalur Said bin al-Musayyab daripada Salman al-Farisi. Hadith ini mempunyai sanad yang lemah kerana terdapat dua kecacatan, iaitu:

  1. Sanadnya terputus. Said bin al-Musayyab tidak mendengar hadith ini daripada Salman al-Farisi RA.
  2. Dalam sanad tersebut terdapat seorang perawi bernama Ali bin Zaid bin Jad’an. Ibn Sa’ad menyatakan: Dia lemah dan tidak boleh dijadikan dalil. Dia juga dilemahkan oleh Imam Ahmad, Ibn Ma’in, al-Nasa’i, Ibn Khuzaimah, Al-Jurjani dan selain mereka seperti yang disebutkan dalam kitab Siyar A’lam al-Nubala. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 5/207)

Komentar ulama’ berkenaan hadith ini:

  • Abu Hatim al-Razi menghukumkan hadith ini munkar. (Lihat al-‘Ilal li Ibn Abi Hatim, 1/249)
  • Al-‘Aini dalam di dalam ‘Umdah al-Qari: Sanad hadith ini tidak sahih (Lihat Umdah al-Qari, 10/383)
  • Al-Syaukani di dalam al-Fawaid al-Majmu’ah: Munkar (Lihat al-Fawaid al-Majmu’ah, hlm. 439)
  • Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan: Jalur utama bagi hadith ini alah Ali bin Zaid, dia merupakan seorang yang dhaif, manakala Yusuf bin Ziyad merupakan seorang yang dhaif jiddan, manakala Iyas bin Abd al-Ghaffar, aku tidak mengenalinya. (Lihat Ithaf al-Maharah, 5/560)
  • Al-Dzahabi berkata di dalam Mizan al-I’tidal : Iyaas bin Abi Iyaas (Abd al-Ghaffar), daripada Said bin al-Musayyab tidak diketahui periwayatannya dan khabarnya adalah munkar. (Lihat Mizan al-I’tidal, 1/282)
  • Syeikh Nasiruddin al-Albani pula menyatakan: Hadith ini Munkar. (Lihat al-Silsilah al-Dhaifah, 2/262)

Selain itu, di dalam hadith ini juga terdapat lafaz-lafaz yang syubhah, seperti pembahagian bulan kepada tiga bahagian, sepuluh hari pertama kerahmatan, sepuluh (kedua) hari keampunan, sepuluh (ketiga) hari pembebasan daripada azab neraka. Hal ini kerana tidak ada hadith sahih yang boleh menguatkan kenyataan ini. Sesungguhnya fadhilat Allah itu luas, dan bulan Ramadhan kesemuanya mengandungi rahmat, keampunan dan juga pembebesan daripada api neraka.

Begitu juga dengan lafaz ” Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah di bulan ini dengan satu kebaikan (amalan sunnah), maka pahalanya seperti dia melakukan amalan fardhu di bulan-bulan yang lain.” Juga memerlukan kepada dalil yang sahih yang menyokongnya. Dalam hadith ini juga terdapat lafaz: Sesiapa yang melakukan amalan fardhu di bulan ini, maka pahalanya seperti pahala melakukan 70 amalan fardhu di bulan lainnya.” Penentuan gandaan ini juga perlu diteliti. Hal ini kerana kebaikan digandakan sepuluh kali ganda hingga tujuh ratus kali ganda pada bulan Ramadhan dan juga selain Ramadhan. Tidak ada pengkhususan dalam hal ini selain puasa, kerana pahala puasa itu (sangat) besar tanpa ada ketetapan ganjarannya. Hal ini kerana terdapat riwayat daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda berkenaan firman Allah SWT di dalam sebuah hadith qudsi:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصَّوْمَ، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ

Maksudnya: “Semua amalan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa, dan Aku yang akan membalasnya.

Riwayat al-Bukhari (5827)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hadith berkenaan “Awal Ramadhan rahmah, pertengahannya pengampunan dan pengakhirannya pembebasan daripada neraka” merupakan hadith yang “Dhaif Jiddan”, iaitu tersangat lemah sebagaimana yang hujah-hujah yang dikemukakan oleh para ulama’ hadith.

Namun begitu, walaupun sanad hadith ini bermasalah, namun tidak semua matan atau teks di dalam hadith ini bermasalah, hal ini kerana terdapat banyak hadith-hadith sahih yang menyokong beberapa fadhilat di dalamnya seperti malam al-Qadar, iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, kelebihan memberi makan untuk orang berbuka puasa dan yang lain-lain.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 25 April 2022 bersamaan 23 Ramadhan 1443H

Leave a Reply