Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah boleh menggabungkan puasa Qadha dan puasa enam Syawal?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Alhamdulillah, kita baru selesai melaksanakan ibadat puasa Ramadan dengan jayanya. Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita penerimaan segala ibadat yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan sama ada yang wajib mahupun yang sunat. Dengan menjelmanya Syawal, di samping kita berhari raya dengan penuh kesyukuran, kita juga digalakkan untuk melaksanakan puasa enam Syawal. Ini kerana ia mempunyai banyak kelebihan.

Daripada Abu Ayyub R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan puasa Ramadhan, kemudian dia ikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka itu adalah seumpama dia berpuasa setahun.”

Riwayat Muslim (1164)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa ini adalah dalil yang sahih dan sarih. Beliau menjelaskan bahawa ini dijadikan landasan dalam mazhab Syafi’i, Ahmad, Daud dan yang sependapat dengan mereka berkenaan disunatkan berpuasa enam hari pada bulan Syawal.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/51)

Syeikh Ibrahim al-Baijuri menyebut, “Ini kerana puasa satu bulan Ramadhan sama dengan berpuasa selama sepuluh bulan. Sedangkan puasa enam hari pada bulan Syawal adalah sama dengan puasa selama dua bulan. Sehingga keseluruhannya adalah berpuasa selama setahun seperti puasa fardhu. Jika tidak, maka tidak ada kekhususan untuk hal itu. Kerana satu kebaikan diberi ganjaran dengan sepuluh kebaikan yang semisal.” (Lihat Hasyiyah al-Baijuri, 1/580)

Isu Gabung Puasa Qadha dan Puasa Enam Syawal

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan di sini pandangan para fuqaha’ dalam mazhab Syafi’i dalam menjelaskan persoalan menggabungkan niat antara puasa qadha Ramadhan dan puasa sunat enam Syawal.

Menurut Syeikh Zakariyya al-Ansari: “Sekiranya seseorang berpuasa pada bulan Syawal untuk qadha bagi puasa Ramadhan, atau selainnya, sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain, maka terhasil pahala sunatnya.

Imam al-Ramli menyebut: “Puasa qadha’ Ramadhannya diterima walaupun seseorang menggabungkan niat puasa qadha Ramadhannya dengan puasa yang lain. Dan diterima pahala puasa enam hari pada bulan Syawal. Permasalahan ini disebutkan oleh ramai ulama’ terkemudian (muta’akhirin). (Lihat Fatawa al-Ramli fi Furu’ al-Fiqh al-Syafi’i, 2/339)

Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebut, “Bahawa jika sesiapa yang berniat puasa qadha’ pada hari Isnin misalnya, maka jika dia berniat puasa sunat pada hari Isnin dengannya (puasa qadha’), maka sah kedua-duanya dan diberi ganjaran melalui kedua-duanya. Jika tidak (diniatkan sekali), maka puasa yang kedua tidak diganjarkan pahala, tetapi gugur tuntutannya.” (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 2/75)

Meskipun begitu, terdapat juga pandangan bahawa konsep menggabung dua puasa (wajib dan sunat) dalam satu hari adalah tidak menghasilkan pahala yang sempurna. Sebaliknya, yang lebih afdhal adalah dengan melakukannya secara berasingan. Inilah sepertimana yang dijelaskan oleh Imam al-Ramli, katanya: “Sekiranya seseorang berpuasa pada bulan Syawal, puasa Qadha, nazar atau selain daripada keduanya seperti berpuasa pada hari Asyura (digabungkan dengan puasa wajib), maka dia mendapat pahala puasa sunat itu sepertimana yang difatwakan oleh ayahanda (bapa kepada Imam al-Ramli). Sepertimana pandangan al-Barizi, al-Asfuni, al-Nasyiri, al-Faqih Ali bin Soleh al-Hadrami dan selain mereka. Tetapi dia tidak mendapat pahala yang sempurna disebabkan perkara yang dituntut (puasa yang berasingan dengan niat yang khusus), lebih-lebih lagi sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadhan, kemudian menggantikannya pada bulan Syawal. Ini kerana ia tidak bertepatan dengan makna sebelum ini. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/654. Pandangan yang sama juga disebut dalam Mughni al-Muhtaj, 2/184 dan Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj, 3/457)

Al-Syarqawi berkata: “Sekiranya dilakukan puasa pada bulan Syawal seperti puasa qadha’ Ramadhan, atau puasa nazar, atau puasa sunat lain, maka pahala sunat Syawal tercapai kerana puasa dilakukan pada bulan Syawal. Akan tetapi tidak tercapai pahala yang sempurna yang dijanjikan kecuali dengan niat puasa khusus pada puasa enam hari Syawal sahaja. Samalah halnya dengan orang yang meninggalkan puasa Ramadhan, sesungguhnya tidak benar dia berpuasa Ramadhan, lalu melanjutkan puasa enam hari pada bulan Syawal.” (Lihat Hasyiyah al-Syarqawi ‘ala Tuhfah al-Tullab, 2/322)

Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebut, “Sekiranya seseorang melakukan puasa di bulan Syawal dengan niat qadha’ puasa, menunaikan nazar puasa atau lainnya, maka dia memperoleh kesunnahan. Akan tetapi, dia tidak memperoleh ganjaran yang disebutkan di dalam hadith (puasa setahun penuh). Khususnya yang luput daripada puasa Ramadhan dan dia melakukan puasa Syawal, maka dia tidak memperoleh ganjaran puasa setahun sepertimana yang disebut dalam hadith. (Lihat al-Mu’tamad, 2/209)

Sebahagian ulama’ menjelaskan bahawa sah bagi seseorang itu melakukan qadha’ puasa Ramadhan dengan puasa sunat enam Syawal, dan terhasil pahala puasa sunat yang dilakukan dalam bulan Syawal itu. Hal ini dengan diqiyaskan kepada seseorang yang memasuki masjid, kemudian melakukan solat fardhu atau solat sunat rawatib, maka terhasil baginya pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid.

Hal ini antaranya seperti yang disebut oleh Imam al-Suyuti, “Sekiranya seseorang berpuasa sunat seperti pada hari ‘Arafah, qadha, atau nazar, atau kaffarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari ‘Arafah, maka al-Barizi telah memfatwakan bahawa sah puasa dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Begitu juga halnya sekiranya dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa), maka masalah tersebut mengikut masalah solat Tahiyyah Masjid. (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 61) Meskipun begitu, al-Isnawi menyatakan bahawa perkara ini tertolak dan qiyas yang dilakukan tidak sah dalam menggambarkan perkongsian satu daripada keduanya. Di sisinya, apa yang terhasil adalah yang fardhu sahaja dalam gambaran ithlaq. Inilah seperti yang dinukilkan dalam Syarah al-Tanbih oleh al-Hafiz al-Suyuti.

Sebagai rumusan, kami ringkaskan di sini berkenaan perbezaan pandangan ulama’ dalam isu ini seperti berikut:.

Pertama: Sah

Hukumnya sah dan berlaku kepada kedua-duanya, iaitu qadha’ dan sunat. Inilah pendapat:

  • Imam Ibn Hajar al-Haitami
  • Syeikh al-Ramli. (Lihat al-Nihayah, 1/162 dan Fatawa al-Ramli, 2/339)
  • Imam al-Barizi. (Lihat al-Ashbah wa al-Nazhair, 1/161)
  • Syeikh Zakaria al-Ansari (Lihat Hasyiah al-Syarqawi ala al-Tahrir, 1/427)
  • Inilah juga pendapat kebanyakan ulama terkemudian (muta’akhirin).

 Kedua: Tidak Sah

Tidak sah tetapi terhasil yang fardhu sahaja iaitu puasa qadha’, dan tidak kepada puasa sunat Syawal. Inilah pendapat:

  • Imam al-Asnawi
  • Syeikh Ibn al-Solah
  • Abu Makhramah (Lihat Bughiyah al-Mustarsyidin, 3/95-96)

Hujah mereka adalah tidak boleh tasyrik, yakni menggabungkan dua jenis ibadah dalam satu ibadah.

Kesimpulan dan Tarjih

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami lebih cenderung kepada pendapat yang membolehkannya. Ini kerana ia merupakan jenis ibadah yang sama tetapi dengan dua niat. Ini juga pendapat sebahagian ulama berdasarkan pengamatan kepada beberapa nas.

Walaupun begitu, yang terbaiknya adalah memisahkan antara qadha’ puasa dengan puasa enam Syawal untuk keluar daripada khilaf. Imam Ibn Hajar menggunakan bahasa dengan katanya, terhasil asal pahala tetapi bukan dalam bentuk sempurnanya jika ia berniat untuk kedua-duanya (niat qadha Ramadan dan sunat Syawal). (Lihat al-Tuhfah, 3/390)

Semoga dengan penjelasan ini, akan memberi kefahaman kepada kita berkenaan dengan isu puasa qadha’ dan puasa enam Syawal. Sekian.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 16 Mei 2022 bersamaan 15 Syawal 1443H

Leave a Reply