#1040: Puasa Enam Syawal Secara Berturutan atau Terpisah
Soalan
Assalamualaikum ustaz. Adakah puasa enam di bulan Syawal perlu dilakukan secara berturutan atau boleh dipisahkan?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Antara amalan sunat yang boleh dilakukan apabila tibanya Syawal adalah dengan melakukan ibadah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Ianya thabit dari perbuatan Nabi SAW yang mana di dalam hadith ada menyebutkan mengenai kelebihan berpuasa 6 hari di bulan Syawal iaitu bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.”
Riwayat Muslim (1164)
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadith ini menjadi dalil bagi mazhab Syafi’e, Hanbali dan juga Daud (al-Zahiri) bahawa disunatkan untuk berpuasa enam pada bulan Syawal manakala fadhilat seumpama berpuasa sepanjang tahun adalah berdasarkan hadith Nabi SAW yang lain yang mana menyebutkan bahawa setiap kebaikan itu dibalas dengan 10 kali ganda (أَنَّ الْحَسَنَةَ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ) Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/56
Adapun pahala berpuasa sepanjang tahun diiktibarkan seperti berikut: Setiap amalan kebaikan digandakan dengan 10 dan ini bermakna 30 hari x 10 = 300 dan puasa sunat 6 x 10 = 60. Ini menjadikan jumlahnya 360 dan daripada perkiraan inilah dikatakan seumpama berpuasa sepanjang tahun (mengikut kiraan hijriyyah).
Setelah mengetahui akan pensyariatan puasa sunat enam Syawal beserta fadhilatnya, timbul juga persoalan mengenai adakah puasa yang enam itu perlu dilakukan secara berturutan ataupun boleh dilakukan secara berasingan.
Isu Puasa Enam Syawal Perlu Dilakukan Secara Berturutan atau Boleh Terpisah
Mengenai persoalan di atas, Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ ada menyebutkan: “…dan disunatkan untuk berpuasa secara berturutan di awal Syawal. Sekiranya dipisahkan (tidak berpuasa 6 hari secara berturutan) ataupun diakhirkan puasa tersebut di dalam bulan Syawal, maka ianya dibolehkan…” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/379)
Syeikh Ibrahim al-Baijuri berkata: “Yang lebih afdhal, puasa Syawal dilakukan secara muttasil, iaitu terus (berpuasa) setelah sehari selepas solat ‘Eid (yakni 2 Syawal). Puasa tersebut juga afdhalnya dilakukan secara berturut-turut (mutatabi’ah). Walaupun jika puasa tersebut dilakukan tidak dari 2 Syawal (tidak muttasil), juga tidak dilakukan secara berturut-turut (tidak mutatabi’ah), tetap memperoleh ganjaran puasa setahun. (Lihat Hasyiyah al-Baijuri, 1/580)
Menurut Imam al-Ramli, “Melakukan puasa Syawal berturut-turut sehari selepas Aidilfitri lebih afdhal adalah disebabkan; (1) Lebih segera melakukan ibadah, (2) Supaya terhindar daripada perkara yang menghalang sehingga menyukarkan untuk berpuasa.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 3/315. Lihat juga Mughni al-Muhtaj oleh al-Syirbini, 1/654)
Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni menyebutkan mengenai permasalahan ini seperti berikut: “…tidak ada bezanya (menjadikan puasa tersebut) dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan samaada di awal Syawal ataupun di akhirnya kerana hadith menyebutkannya secara mutlaq tanpa dikaitkan dengan sesuatu yang lain…” (Lihat al-Mughni, 3/177)
Kesimpulan
Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa puasa enam boleh sama ada dilakukan secara berturutan atau dipisahkan. Begitu juga, ia boleh untuk diawalkan atau dilewatkan selama mana masih berada dalam bulan Syawal, maka ia tidak menjadi masalah.
Dalam kita menyambut bulan Syawal, maka sudah tentu banyak jemputan untuk menghadiri rumah terbuka, kenduri dan seumpamanya. Maka tidak tidak menjadi masalah untuk kita melakukan puasa enam Syawal kerana terdapat fleksibiliti dalam melaksanakannya. Alangkah baiknya jika kita dapat menghimpunkan dua kebaikan dalam bulan Syawal ini, iaitu pertama dengan berpuasa enam, dan keduanya dengan menghubungkan silaturrahim sesama kita.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 16 Mei 2022 bersamaan 15 Syawal 1443H