Soalan: Bolehkah Datuk huraikan tentang senjata-senjata dan kelengkapan perang yang dimiliki Rasulullah SAW?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Rasulullah SAW ada beberapa senjata dan kelengkapan perang sebagaimana yang direkodkan dalam sejarah. Berikut adalah apa yang boleh kita temui dalam pelbagai kitab sirah:
- Pedang
Menurut Ibn al-Qayyim, Nabi SAW mempunyai sembilan bilah pedang iaitu Ma’thur (مأثور), yang merupakan pedang pertama yang dimilikinya dan diwarisi daripada bapanya, al-‘Adhb (العَضْب), Zulfiqar (ذو الفِقار) dan ia adalah pedang yang hampir-hampir Baginda tidak mahu berpisah dengannya, al-Qula‘i (القلَعي), al-Battar (البتَّار); al-Hatf (الحَتْف) al-Rasub (الرَّسوب), al-Mikhzam (المِخْذَم) dan al-Qadhib (القضيب). (Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/123).
Menurut al-Hafiz ‘Abd al-Ghani al-Maqdisi, pedangnya yang bernama Zulfiqar diperoleh dalam Perang Badar. Manakala dalam al-Ghurar wa al-Durar dinyatakan, terdapat pendapat menyatakan, ia dihadiahkan oleh al-Hajjaj bin ‘Allat. Itulah pedang yang dilihat Baginda dalam mimpinya tentang Perang Uhud. Asalnya, ia adalah milik Munabbih bin al-Hajjaj al-Sahmi. Terdapat riwaya un t daripada Abu Musa R.A, daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda:
رَأَيْتُ فِي رُؤْيَايَ أَنِّي هَزَزْتُ سَيْفًا فَانْقَطَعَ صَدْرُهُ، فَإِذَا هُوَ مَا أُصِيبَ مِنَ المُؤْمِنِينَ يَوْمَ أُحُدٍ، ثُمَّ هَزَزْتُهُ أُخْرَى فَعَادَ أَحْسَنَ مَا كَانَ، فَإِذَا هُوَ مَا جَاءَ بِهِ اللَّهُ مِنَ الفَتْحِ وَاجْتِمَاعِ المُؤْمِنِينَ، وَرَأَيْتُ فِيهَا بَقَرًا، وَاللَّهُ خَيْرٌ، فَإِذَا هُمُ المُؤْمِنُونَ يَوْمَ أُحُدٍ
Maksudnya: “Aku melihat dalam mimpiku bahawa aku menggoncang sebilah pedang dengan kuat dan bilahnya patah. Ia melambangkan apa yang menimpa kaum muslimin ketika perang Uhud. Kemudian aku menggoncangnya sekali lagi dan ia kembali sempurna seperti sebelumnya. Ia melambangkan bantuan daripada Allah berupa pembukaan (kota Makkah) dan penyatuan kaum Muslimin. Aku melihat lembu-lembu (disembelih) di dalam mimpi itu dan ketentuan Allah bagi yang terbunuh itu lebih baik. Lembu-lembu itu ternyata melambangkan orang-orang Mukmin (yang mati syahid) dalam Perang Uhud.”
Riwayat al-Bukhari (4081)
Baginda mendapat tiga pedang daripada senjata-senjata Bani Qainuqa‘ iaitu pedang Qula‘i[1], pedang yang dipanggil Battar dan pedang yang dipanggil al-Hanif. Selepas itu, Baginda memperoleh al-Mikhzam, Rasub, yang diperoleh daripada al-Fuls yang dibuat di Tai’.
Anas bin Malik menyebutkan, na‘l[2] pedang Rasulullah SAW adalah daripada perak, begitu juga qabi‘ah[3]nya adalah daripada perak, dan di antaranya pula ada cincin daripada perak. (Lihat Mukhtasar Sirah al-Nabi, hlm. 133-134; al-Ghurar wa al-Durar fi Sirah Khair al-Basyar, hlm. 84).
- Baju perisai
Menurut Ibn al-Qayyim, Nabi SAW mempunyai tujuh baju besi. Di antaranya Zat al-Fudhul (ذَاتُ الْفُضُولِ), yang telah digadaikan kepada seorang Yahudi yang bernama Abu al-Syahm dengan barli bagi keluarganya, dan ia berjumlah 30 gantang barli. Hutang itu pula adalah sehingga setahun. Selain itu, baju perisai tersebut adalah daripada daripada besi. Manakala nama baju perisainya yang lain ialah Zat al-Wisyah (ذَاتُ الْوِشَاحِ), Zat al-Hawasyi (ذَاتُ الْحَوَاشِ), al-Sughdiyyah (السُّغْدية)[4] dan dikatakan ia adalah baju perisai yang dipakai oleh Daud A.S ketika membunuh Jalut, Fiddhah (فِضَّةُ), al-Batra’ (الْبَتْرَاءُ) dan al-Khirniq (الْخِرْنِقُ). (Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/124; al-Ghurar wa al-Durar fi Sirah Khair al-Basyar, hlm. 85; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/338).
Al-Hafiz ‘Abd al-Ghani al-Maqdisi menyebutkan Baginda SAW mendapatkan dua baju perisai daripada persenjataan Bani Qainuqa‘ iaitu baju perisai yang dinamakan sebagai al-Sughdiyyah dan Fiddhah.
Diriwayatkan daripada Muḥammad bin Salamah, katanya: “Aku melihat Rasulullah SAW pada hari peperangan Uhud memakai dua baju perisai iaitu baju perisai Zat al-Fudhul dan baju perisai Fiddhah. Begitu juga aku melihat Baginda SAW pada hari peperangan Khaibar memakai dua baju perisai iaitu Zat al-Fudhul dan al-Sa‘diyyah. (Lihat Mukhtasar Sirah al-Nabi, hlm. 134-135).
- Busur dan bekas anak panah
Menurut Ibn al-Qayyim, Nabi SAW memiliki tujuh busur iaitu al-Zarwa’ (الزَّوْرَاءُ), al-Rauha’ (الرَّوْحَاءُ), al-Safra’ (الصَّفْرَاءُ), al-Baidha’ (الْبَيْضَاءُ), al-Katum (الْكَتُومُ) dan al-Sadad (السَّدَادُ). Al-Katum telah patah pada peperangan Uhud lalu Qatadah bin al-Nu‘man telah mengambilnya. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/124; al-Ghurar wa al-Durar fi Sirah Khair al-Basyar, hlm. 85; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/338).
Manakala menurut al-Hafiz ‘Abd al-Ghani al-Maqdisi, Baginda SAW mempunyai tiga busur iaitu busur yang dinamakan al-Rauha’, busur yang dinamakan Syauhat (شَوْحَط), dan busur kuning yang dinamakan sebagai al-Safra’. (Lihat Mukhtasar Sirah al-Nabi, hlm. 133).
Selain daripada itu, Baginda SAW juga mempunyai bekas anak panah (الجَعْبَةِ) iaitu al-Kinanah (الْكِنَانَةُ)[5], yang mana dikumpulkan anak panah di dalamnya. Bekas anak panah itu dipanggil sebagai al-Kafur (الْكَافُورُ). (Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/124; ‘Uyun al-Athar, 2/386).
- Perisai
Nabi SAW mempunyai tiga perisai iaitu perisai yang dipanggil al-Zaluq (الزَّلُوقُ), perisai yang dipanggil al-Futaq (الْفُتَقُ), dan perisai yang dihadiahkan kepada Baginda SAW yang terdapat ukiran helang atau kepala kibasy. Namun, Baginda tidak menyukai ukiran tersebut. Maka Allah ‘Azza wa Jalla telah menghilangkannya. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/124-125; ‘Uyun al-Athar, 2/386; al-Ghurar wa al-Durar fi Sirah Khair al-Basyar, hlm. 86).
- Lembing (الرُمح)
Rasulullah SAW mempunyai lima batang lembing. Tiga batang lembing diperoleh daripada persenjataan Bani Qainuqa‘ melalui harta rampasan perang. Manakala dua lembing lagi, dipanggil sebagai al-Mathwa (الْمَثْوَى) dan al-Muthanna (الْمُثَنَّى)[6]. (Lihat ‘Uyun al-Athar, 2/386; Mukhtasar Sirah al-Nabi, hlm. 133; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/338).
- Harbah (الحَرْبَةُ)[7]
Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan di antara nama harbah milik Rasulullah SAW ialah al-Nab‘ah (النَّبْعَةُ) dan al-Baidha’ (الْبَيْضَاءُ). (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/338). Begitu juga Ibn al-Qayyim turut menyebutkan bahawa Rasulullah SAW mempunyai harbah yang dipanggil sebagai al-Nab‘ah, satu lagi harbah besar yang dipanggil sebagai al-Baidha’, dan satu lagi harbah kecil yang menyerupai tongkat yang dipanggil sebagai al-‘Anazah (الْعَنَزَةُ). Baginda SAW berjalan dengan membawanya di tangan pada hari raya, kemudian diletakkan di hadapannya dan dijadikan sebagai sutrah solat. Begitu juga Baginda kadang-kadang berjalan dengan membawanya (pada hari lain selain hari raya). (Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/125).
- Topi perisai
Terdapat riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، دَخَلَ عَامَ الفَتْحِ، وَعَلَى رَأْسِهِ المِغْفَرُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW memasuki Makkah pada tahun pembukaan kota Makkah, dan memakai topi besi di atas kepalanya.”
Riwayat al-Bukhari (1846)
Rasulullah SAW mempunyai satu topi perisai yang diperbuat daripada besi dan ia dipanggil al-Muwassyah (الْمُوَشَّحُ), (kerana) dipakaikan dengan tembaga yang kekuningan dan satu lagi topi perisai yang dipanggil al-Subu‘ (السُّبُوغُ) atau Zu al-Subu‘ (ذُو السُّبُوغِ). (Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/125; ‘Uyun al-Athar, 2/387).
- Bendera perang (panji)
Rasulullah SAW mempunyai bendera segi empat yang berwarna hitam. Bendera itu dipanggil al-‘Uqab (الْعُقَابُ). Begitu juga Baginda SAW turut memiliki bendera yang berwarna putih, yang dipanggil sebagai al-Zinah (الزِّينَةُ) dan boleh jadi ia diwarnakan dengan warna hitam. (Lihat ‘Uyun al-Athar, 2/387).
Selain daripada itu, Abu Daud ada meriwayatkan dalam sunannya, hadith daripada Simak bin Harb, daripada seorang lelaki daripada kaumnya, daripada seorang lelaki lain dalam kalangan mereka, katanya:
رَأَيْتُ رَايَةَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَفْرَاءَ
Maksudnya: “Aku melihat bendera Rasulullah SAW berwarna kuning.”
Riwayat Abu Daud (2593); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Sunan Abi Daud (2593) menilai sanadnya sebagai dhaif disebabkan oleh ketidakjelasan guru Simak bin Harb.
Tambahan lagi, Abu al-Syeikh bin Hayyan turut meriwayatkan hadith daripada Ibn Abbas p R.Anhuma, katanya: “Tertulis pada bahagian atas bendera Baginda SAW (perkataan), ‘لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ’ (Tiada tuhan yang sebenar-benarnya berhak disembah melainkan hanya Allah SWT, Muhammad itu pula adalah utusan Allah).” Selain daripada itu, al-Hafiz Abu Muhammad al-Dimyati juga ada menukilkan daripada Yusuf bin al-Jauzi yang menyatakan, diriwayatkan bahawa bendera (panji) Baginda SAW berwarna putih dan tertulis padanya (perkataan), “ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ”. (Lihat ‘Uyun al-Athar, 2/387).
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 21 Februari 2023 bersamaan 30 Rejab 1444H
[1] Dinisbahkan kepada kawasan yang tidak berpenghuni/padang pasir dipanggil sebagai Maraj al-Qal‘ah. (Lihat Mu‘jam al-Buldan, 4/389). Yaqut al-Ḥamawi menyenaraikan beberapa tempat yang dinamakan Qal‘ah seperti Qal‘ah Abi al-Ḥasan, Qal‘ah Abi Tawil dan Qal‘ah Ayyub. Menurut Muhammad Hasan al-Tihami, ia dinisbahkan kepada sebuah tempat di timur India yang banyak lombong timah. Di situlah pedang ini dihasilkan. Di nota kaki, beliau mencatatkan ia terletak di barat hampir sama dengan Kepulauan Melayu atau timur Bengal. Mengikut catatan Abu Dulaf, “Apabila aku sampai di situ (Kalah), aku melihat tembok yang besar, utuh, dan tinggi, banyak kebun buah dan limpahan mata air. Aku temui bijih besi bagi sejenis logam yang terbaik. Tidak ada tolok bandingnya di seluruh dunia kecuali di kawasan tersebut. Di kawasan itu ditempa pedang-pedang yang terkenal dengan panggilan al-Qal‘iyyah.” (Lihat al-Risalah al-Ula, hlm. 59; Mu‘jam al-Buldan, 4/389). Pentahqiq Dr. Murayzin Sa‘id Murayzin ‘Asiri, pensyarah bidang Tamadun dan Sejarah, Universiti Umm al-Qura menyatakan “Kalah” itu adalah “Kalah Bār” iaitu Kuala Lumpur sekarang. Beliau turut menukilkan pandangan Ibn al-Faqih yang menyatakan ia adalah kerajaan al-Zabij (Srivijaya). Akan tetapi, pandangan yang diterima oleh umum sejarawan adalah, Kalah Bar menurut kajian sarjana Paul Wheatley dalam bukunya the Golden Khersones merujuk kepada Kedah Tua. Pun begitu, untuk menyatakan dengan yakin bahawa pedang Rasulullah SAW dibuat di Kedah Tua, saya berpandangan ia hanyalah cakap-cakap tanpa sebarang bukti yang kukuh. Wallahu a‘lam.
[2] Na‘l (نَعْلُ) pedang ialah besi di bahagian bawah sarung pedang.
[3] Qabi‘ah (قَبِيعَةُ) pedang ialah besi atau perak yang terdapat di bahagian hujung (bawah) hulunya.
[4] Sesetengah naskhah menyebut namanya al-Sa‘diyyah (السَّعْدِيَّةُ). (Lihat Zad al-Ma‘ad, Cet. al-Risalah, 1/126).
[5] Perkataan al-Kinanah ialah bekas anak panah yang kecil yang diperbuat daripada kulit atau seumpamanya untuk diletakkan anak-anak panah.
[6] Sebahagian naskhah membacanya sebagai al-Muthwi (الْمُثْوِي) dan al-Muthni (الْمُثْنِي) atau Munthini (المنثني) atau al-Mutathanni (المتثنِّي). (Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/125; Zad Ma‘ad, Cet. al-Risalah, 1/127; al-Ghurar wa al-Durar fi Sirah Khair al-Basyar, hlm. 86).
[7] Al-Harbah ialah lembing pendek. (Lihat Kamus Besar Arab-Melayu Dewan, DBP, hlm. 414). Ia juga didefinisikan sebagai sejenis senjata tujahan dengan batang panjang, atau senjata runcing, nipis dan panjang yang digunakan pada masa lampau untuk melembing ikan atau membunuh semasa peperangan. (Lihat https://www.almaany.com/en/dict/ar-en/الحَرْبَةُ/).