Soalan:
Apakah hukum bekerja di tempat yang ada jual arak seperti supermarket atau hypermarket?
Jawapan:
Islam menggalakkan umatnya untuk bekerja. Ia bertujuan untuk mencari nafkah bagi dirinya dan orang yang di bawah tanggungannya. Dengan ini, sudah tentu dia mampu membina kehidupan dengan sebaik-baiknya.
Sebaik-baik pekerjaan adalah yang halal bahkan tidak wujud sebarang syubhah atau kesamaran sama ada halal atau tidak. Benarlah sabda Nabi SAW:
فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.”
Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (20)
Justeru, dengan mencari-cari sumber yang halal dan menjarakkan diri daripada sebarang keraguan, maka sudah tentukan ia menatijahkan lagi kebaikan dan keberkatan dalam hidup.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa arak dengan zatnya itu adalah diharamkan dan nas al-Quran memerintahkan kita untuk menjauhinya. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
Surah al-Maidah (90)
Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini dengan menyebut satu riwayat daripada Abd al-Rahim bin Ghanm RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وإنَّ الخَمرَ حَرامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram.”
Riwayat Ahmad dalam Musnad (17995). Syeikh Syuaib al-Arnaut di dalam Takhrij al-Musnad (17995) berkata hadis ini sahih li ghairih.
Justeru bagi seorang mukmin hendaklah dia bertaqwa kepada Allah dengan menghindari diri daripada terlibat daripada apa-apa pekerjaan yang terlibat dengan arak. Ini dikuatkan dengan hadith Anas bin Malik RA:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”
Riwayat al-Tirmizi (1295)
Walaupun begitu, jika sekiranya kedai yang besar itu bercampur antara halal dan haram sehingga tidak dapat membezakan bahawa semuanya haram atau sebaliknya, maka di sana ada pandangan yang memberi rukhsah. Antaranya, apa yang dihuraikan oleh Syeikh Abu Hamid al-Isfirayni tentang kategori perkara syak yang tidak diketahui atau ditentukan sumber asalnya, “Seperti melakukan transaksi dengan orang yang majoriti hartanya bersumber perkara yang haram dan tidak dapat dipastikan harta yang diperolehi itu dari harta orang tersebut sumber haram, maka hukum transaksi jual beli itu tidak haram kerana ada kemungkinan halal dan sumber haram itu juga tidak dapat dipastikan, tetapi makruh mengambilnya kerana ditakuti terjatuh dalam perkara yang haram.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazair, 1/74-75)
Kami kemukakan beberapa dhawabit sebagai panduan berkenaan dengan isu ini:
- Sekiranya pendapatan yang mereka perolehi ialah daripada hasil jualan barang-barang yang halal dan haram, maka hukumnya adalah tidak haram mengambilnya tetapi makruh.
- Sekiranya pekerja itu terlibat dengan jual beli arak itu contohnya di kaunter, maka hukum perbuatan itu adalah haram sekalipun dengan martabat yang lebih rendah daripada meminumnya. Syeikh Mulla Ali al-Qari dalam al-Mirqah Sharh al-Misykah dalam menghuraikan hadith riba: “Mereka sama dari sudut mendapat dosa tetapi berbeza daripada segi tingkatannya.”
- Saya cadangkan kepada pemilik hypermarket atau supermarket yang besar untuk tidak menempatkan kaunter jualan arak mana-mana pekerja Muslim. Letaklah ia bahagian yang lain yang tiada kena-mengena dengan arak atau perkara yang haram lain.
- Sebaiknya berusaha dengan sebaik mungkin untuk memisahkan kaunter barangan yang halal dan barangan yang haram, atau mengikut pekerja, dan ini adalah tanggungjawab majikan yang prihatin terhadap kebajikan agama para pekerja Muslim.
- Sebaik-baiknya, berusahalah untuk mencari tempat kerja yang halal tanpa sebarang syubhah kerana tuntutan agama perlu ditaati seupaya mungkin. Inilah yang sewajarnya kita lakukan.
- Hendaklah kita sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya rezeki yang dikurniakan kepada kita adalah halal lagi baik tanpa ada unsur haram atau pun syubhah. Ini kerana, ia memberi kesan kepada kehidupan kita termasuklah doa kita. Benarlah, sabda Rasulullah SAW kepada Sa’d bin Abi Waqqas RA:
يَا سَعْدُ ! أَطِبْ مَطْعَمَكَ ، تَكُنْ مُسْتَجَابَ الدَّعْوَةِ
Maksudnya: “Wahai Sa’ad, perelokkanlah makananmu, nescaya doamu akan mustajab.”
Riwayat al-Tabarani (6495) dalam kitab al-Mu’jam al-Awsat. Hadith ini dinyatakan sebagai dha’if jiddan oleh pengarang al-Silsilah al-Dha’ifah (1812).
Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga dikurniakan rezeki yang halal dan diberkati di samping amalan yang diterima, sebagaimana Rasulullah SAW selalu membaca doa pada solat Subuh:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)