#1111: Penggunaan Istihsan dalam Pengeluaran Fatwa

Soalan:

Bolehkah istihsan digunakan dalam mengeluarkan fatwa?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat. 

Kalimah istihsan (الاستحسان) adalah salah satu kalimah yang masyhur dalam istinbat hukum. Terutamanya, dalam ilmu usul fiqh. 

Al-Istihsan (الاستحسان):

Dari sudut bahasa, istihsan menurut Ibn Manzur berasal daripada perkataan ‘hasan’ yang bermaksud baik, dan dalam wazan istif’al (istihsan) membawa makna apa yang dituju kepadanya dan dikehendaki oleh seseorang, meskipun ia dianggap buruk oleh orang lain, manakala al-Fairuzabadi menyatakan ia bermaksud menganggap sesuatu sebagai baik. [1]

Manakala dari sudut istilah syarak ia mempunyai pelbagai definisi yang diberikan oleh para ulama:

Menurut Imam Malik, istihsan bermaksud beramal dengan dalil yang lebih kuat antara dua dalil. [2]

Kata al-Faqih al-Halwani al-Hanafi, istihsan adalah: Meninggalkan qiyas kerana satu dalil yang lebih kuat darinya daripada al-Quran ataupun al-Sunnah atau ijma’.

Imam al-Sarakhsi al-Hanafi menyebut beberapa lagi definisi, antaranya meninggalkan qiyas dan mengambil hukum yang lebih ringan dan lebih memudahkan orang ramai, serta mengambil keringanan, kemudahan dan keluasan. Dengan kata lain, istihsan boleh disebut sebagai meninggalkan hukum yang sukar dan mengambil hukum yang ringan kerana maslahah, dan kaedah ini merupakan salah satu usul agama Islam dan selaras dengan firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمْ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمْ الْعُسْر

Maksudnya: Allah SWT mahu memberikan kemudahan kepada kalian, dan Dia tidak mahu memberikan kesusahan kepada kalian.

Surah al-Baqarah (185) 

Kenyataan di atas bolehlah dirujuk di dalam kitab al-Mabsut 10/145.

Selain itu, dalil istihsan ini juga sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan konsep maslahah dan Maqasid Syariah, di mana menurut Imam Abu Ishaq al-Syatibi, istihsan disisi mazhab Malik ialah beramal dengan maslahah dalam isu-isu juz’iy yang bercanggah dengan dalil umum, dan ia juga bermaksud mendahulukan istidlal dengan maslahah mursalah ke atas qiyas. Ulama yang menggunakan istihsan pula tidak berpandukan semata-mata kepada perasaan dan kehendaknya sahaja, tapi dia mesti mengambil Maqasid Syariah dalam perkara tersebut. [3]

Bagi Syeikh Wahbah al-Zuhaily pula, istihsan sebenarnya merupakan apa yang biasanya diaplikasikan oleh pengamal undang-undang, iaitu menggapai ruh dan semangat suatu undang-undang serta prinsip-prinsip umum yang universal. [4] Dalam konteks fiqh dan syariat, istihsan sebenarnya merupakan usaha untuk mencapai objektif Syariah, iaitu mencapai maslahah dan mengelakkan mafsadah.

Kekuatan al-istihsan: Kebanyakkan ulama menggunapakai al-istihsan dan menganggapnya sebagai satu dalil daripada dalil-dalil hukum. Manakala sebahagian fuqaha lain pula mengingkarinya seperti golongan al-Syafi’eyyah. Sehingga dinukilkan daripada Imam al-Syafie bahawa beliau berkata: Istihsan adalah berseronok-seronok dan berkata mengikut hawa nafsu. Kata beliau lagi: Sesiapa yang melakukan istihsan sesungguhnya dia telah membuat syariat. [5]

Sebagai contoh, telah dimaklumi bahawa syariat yang hakim telah mewajibkan hukum potong tangan kepada pencuri yang disimpan pada tempat yang selamat. Begitu juga, tiada sebarang syubaha baginya. Ini berdasarkan umum firman Allah SWT:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Surah al-Maidah (38)

Akan tetapi, hukuman tersebut telah dipindahkan daripada nas yang umum kepada hukum khas yang lebih dekat kepada roh syariat secara istihsan pada tahun kelaparan. Hal ini telah difatwakan oleh Saidina Umar RA. Imam Ahmad berkata, “Tiada potong tangan pada masa kelaparan.”

Yakni, orang yang berhajat atau memerlukan apabila mencuri untuk hidup dan makan tidak boleh dipotong tangan ke atasnya sebagaimana orang yang terdesak (mudthar). Diriwayatkan daripada al-Jaujazani, daripada Umar ibn al-Khattab RA katanya, “Tiada potong tangan bagi pencuri pada tahun kelaparan.”

Aku telah bertanya kepada Imam Ahmad tentang perkara tersebut seraya berkata, “Apa pendapatmu?” Jawab Imam Ahmad, “Demi usiaku, jika menjadi keperluan manusia dan mereka dalam keadaan kelaparan yang amat.” [6]

Ini kerana daripada keperluan dan darurat kehidupan ialah memelihara jiwa serta menjaga hak kehidupan. Justeru, memelihara kehidupan adalah tujuan utama dan tertinggi yang kembali kepadanya segala maqasid dalam tasyri’ Islami. Dengan sebab itulah, Saidina Umar RA telah menangguhkan dari hukum yang umum kepada hukum bagi mentahqiqkan roh syariat serta maksudnya yang umum. 

Maka, Saidina Umar tidak menjatuhkan hukum kepada pencuri pada tahun kelaparan kerana berat sangkaannya bahawa mereka tidak melakukan perkara tersebut kecuali untuk mengekalkan dan meneruskan kehidupan bagi diri mereka. Bukan kerana semata-mata mencuri. [7] Justeru, kami katakan penggunaan istihsan dengan cara yang benar adalah dibolehkan berdasarkan hujah di atas dan telah diamalkan oleh Saidina Umar ibn al-Khattab.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman agama dengan sebaik-baiknya. Amin.

 

Nota hujung:

[1] Lihat Lisan al-Arab 13/117 dan al-Qamus al-Muhit 4/215-216

 

[2] Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, 2/738′

 

[3] Lihat Al-Muwafaqat, 4/195

 

[4] Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, 2/739

 

[5] Lihat al-Ihkam fi Usul al-Ahkam oleh Saifuddin al-Amidi 4/209

 

[6] Lihat Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni, 10/288-289

 

[7] Lihat al-Fatwa Nashatuha wa tatawwuruha usuluha wa taqbiqatuha oleh Syeikh Husin Mallah, hlm. 477.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *