Soalan:

Kisahkan kepada kami berkenaan dengan sifat pemurahnya Hatim al-Ta’ie.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Nama sebenarnya ialah Hatim bin Abdullah bin Sa’d bin al-Fadhil bin Imril Qis al-Ta’ie nisbah kepada qabilah Ta’i. Ibunya bernama Utbah binti Afif bin Amr bin Ahzam. Di mana ibunya mempunyai harta dan bersifat pemurah. Ini menyebabkan saudara-saudara ibunya cuba menghalangnya daripada berinfak dibimbangi akan menghabiskan hartanya. Justeru, Hatim terpengaruh dan terkesan dengan sifat kebaikan ibunya dengan dermawan dan pemurah. Beliau tinggal di negeri antara dua gunung yang dikenali sekarang sebagai kawasan Hail yang terletak di utara Arab Saudi. Kuburnya masyhur sehingga sekarang.

Antara ucapan yang masyhur selalu dikatakan dalam bidalan orang Arab, ‘Lebih mulia dan pemurah daripada Hatim al-Ta’ie.’ Namanya tersohor sehingga sampai ke negeri Rom dan India. Sementelahan lagi di tempatnya dan di negeri Arab.

Dikatakan Hatim sanggup membelanjakan semua hartanya untuk orang musafir dan orang yang berhajat dengan memuliakan tetamu-tetamu sehingga sampai ke tahap habis hartanya dan tiada sedikit pun ditinggalkan untuk nafkah anak-anaknya. Ramai orang menyangka Hatim hanya pemurah dalam memberi makan dan minum serta membantu sedikit orang yang memerlukan bantuan. Tetapi sebenarnya lebih daripada itu. Sehingga beliau sanggup menggadaikan jiwanya kerana menebus jiwa yang lain.

 

  • Adakah terdapat orang yang lebih pemurah daripada Hatim?

Kisah pemurahnya menjadi bidalan orang Arab. Pernah satu hari, orang bertanya kepadanya, “Ada atau tidak orang yang lebih pemurah daripada kamu?” Jawabnya, “Ada.” Lalu, dinyatakan sebuah kisah:

Satu hari, aku bermusafir dengan menziarahi seorang anak yatim. Lantas disembelih salah satu kambing-kambingnya untukku dan memuliakannya untuk aku. Tetapi dia tidak memiliki lebih daripada 10 ekor kambing sahaja. Bila ditanya apakah jenis bahagian yang aku suka daripada kambing?’ Jawabku, ‘Kepala yakni otak kambing.’ Lantas, anak yatim ini menyembelih semua kambingnya dan memberi aku makan kepala dan otaknya sahaja, tanpa aku sedar sehingga aku kenyang dan keluar daripada khemah. Kemudian, aku dapati semua kambing-kambingnya telah disembelih.

Kemudian aku tanya kepadanya, “Kenapa kamu lakukan begini?” Jawab beliau kepadaku, “Kamu menyukai apa yang aku miliki dan aku tidak ada kecuali ini sahaja. Kalau aku tidak lakukan, ia seumpama aib disisi kami orang Arab.”

Lalu ditanya kepada Hatim, ‘Adakah kamu beri kepadanya sebagai gantian?’ Jawab Hatim, “Ya, aku beri kepadanya 300 ekor unta warna merah dan 500 ekor kambing.” Maka, kata orang yang bertanya, ‘Kalau begitu kamu lebih mulia daripadanya.’ Lantas, jawab Hatim, ‘Wallahi, dia jauh lebih mulia daripadaku, kerana dia berusaha untuk memberi dengan apa yang dia miliki sedangkan aku hadiahkan kepadanya sedikit daripada apa yang aku miliki.’ [1]

Dengan kisah ini, lalu dibuat misalan atau bidalan dengan menyatakan orang itu lebih pemurah daripada Hatim al-Ta’ie, kerana pemurahnya anak yatim tersebut yang mengatasi pemurahnya Hatim dan kemasyhurannya.

Ibnu Khallikan berkata, ‘Para ulama menyebut bahawa keluar daripada qabilah Ta’i tiga orang yang sangat hebat iaitu Hatim al-Ta’ie dengan pemurahnya, Daud bin Nasir al-Ta’ie dengan zuhudnya dan Abu Tamam Habib bin ‘Aus pada syairnya.’

Al-Hamawi menyebut dalam kitabnya Thamarat al-Auraq, bahawa sepemurah-sepemurah manusia pada zaman jahiliyyah kembali kepada tiga orang iaitu Hatim bin Adi al-Ta’ie, Haram bin Sinan al-Mazini dan Ka’ab bin Mamah al-’Iyadi. Akan tetapi yang menjadi bidalan atau perumpaan hanya kepada Hatim sahaja.

Nama Hatim dengan sikap pemurah dan dermawannya telah sampai ke istana-istana Rom di samping beliau dikenali memiliki baka kuda yang baik. Pernah satu ketika pihak istana Rom menghantar wakil untuk meminta daripadanya kuda miliknya. Apabila sampai, Hatim tanpa mengenali mereka terus menyambutnya dengan sebaik-baik sambutan. Sedangkan ketika itu, semua unta dan kambing-kambingnya masih berada di ladang. Oleh kerana dibimbangi kelewatan, lantas disembelih kudanya, dimasaknya untuk tetamunya.

Selesai dijamu, barulah ditanya hajatnya dan barulah diketahui bahawa mereka ialah utusan istana Rom. Dan mereka datang memohon untuk mendapatkan kudanya. Jawab Hatim, “Kenapa kamu tidak beritahu aku sebelum ini lagi? Sebenarnya, kuda tersebut aku sembelih untuk kamu kerana unta aku lambat sampai.” Justeru, wakil kerajaan Rom merasa takjub bila mendengar keadaan itu. Lantas beliau berkata, ‘Demi Allah, kami melihat daripada kamu lebih takjub dengan sifat pemurahmu melebihi daripada apa yang kami dengar.’

Untuk makluman, Hatim meninggal dunia sebelum kedatangan Islam. Pendapat yang rajih mengatakan beliau menganut agama Masihi sedangkan anak-anaknya ramai yang memeluk Islam seperti Adi, Safanah dan lain-lain. Mereka bercita-cita agar dapat menyampaikan amalan-amalan yang dilakukan oleh Hatim serta akhlak yang baik kepada Rasulullah SAW. Cukuplah sebuah hadith daripada Adi bin Hatim, katanya: Aku berkata, “Ya Rasulullah, sesungguhnya ayahku (Hatim) sentiasa menyambung hubungan silaturrahim dan beliau melakukan begian-begian dari kebaikan.” Jawab Rasulullah SAW, “Sesungguhnya, ayahmu menghendaki sesuatu dan dia mendapatkannya.” Yakni, nama atau sebutan.’ (Riwayat Ahmad 30/200 dan dihasankan oleh Syeikh Syu’aib al-Arnaut dan disahihkan oleh Ibn Hibban, 1/41)

Pernah satu ketika, anak perempuan Hatim yang bernama Safanah telah ditawan. Ketika beliau berada di hadapan Rasulullah SAW, lantas beliau berkata, “Hai Muhammad, jika kamu mahu apalah kiranya kamu bebaskan aku dan jangan cerca aku atau caci aku di hadapan orang Arab kerana aku adalah anak perempuan kaumku. Sesungguhnya, ayahku (Hatim) suka menolong orang yang susah, mempertahankan orang lemah, memuliakan tetamu, mengenyangkan orang yang lapar, melepaskan orang dalam kesulitan, suka memberi salam, menjamu orang makan. Maka, rahmatilah ketua kaum apabila menjadi hina.” Lantas, jawab Rasulullah SAW, “Wahai pemudi, ini sifat orang beriman yang sebenar. Kalaulah ayahmu Islam, nescaya kami merahmatinya.” Kemudian, Nabi SAW memerintahkan agar dibebaskannya kerana ayahnya suka kepada akhlak-akhlak yang mulia dan Allah SWT juga suka kepada akhlak-akhlak yang mulia.

Hatim dikatakan meninggal dunia pada tahun 605 M. Sebahagian berpendapat selepas kelahiran Rasulullah SAW sekitar 8 tahun iaitu 578 M.

  • Hatim dan Kanak-Kanak Yang Lapar

Satu malam yang amat sejuk dalam keadaan yang amat gelap datang seorang wanita bertemu Hatim al-Ta’ie. Beliau yang terkenal dengan bidalan sifat pemurah dan mulianya itu menyambut kedatangan wanita itu dengan hati yang terbuka. Kata wanita itu, “Aku datang kepada kamu kerana anak-anakku. Mereka menangis dan meraung kerana tersangat lapar. Adakah aku dapati di sisimu makanan untuk menghilangkan kelaparannya?”

Jawab Hatim kepada perempuan itu, “Demi Allah, aku akan mengenyangkannya.” Sedangkan ketika itu, Hatim tidak memiliki sesuatu pun kecuali kudanya yang amat disayangi. Lantas, dengan segera dia pergi kepada kudanya dan menyembelih. Kemudian, menghidupkan api serta memasak hingga boleh dimakan. Kemudian, diberikannya daging tersebut. Maka, perempuan itu dan anak-anaknya makan sehingga kenyang semuanya. Benarlah, adalah Hatim al-Ta’ie lelaki yang pemurah lagi mulia. [2]

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita sifat pemurah sebagaimana dalam Islam menggesanya.

[1] Lihat al-Mustajad, hlm. 158

[2] Lihat Qisasun fi al-Karam, hlm. 12

 

Leave a Reply