Soalan:

Bolehkah seseorang itu berkahwin dengan anak saudara susuannya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Penyusuan dari segi bahasa bermaksud menghisap payudara ibu dan minum susunya. Sedangkan, penyusuan dari segi ayaraknya pula ialah susu perempuan yang mengalir masuk ke dalam perut bayi dengan syarat bayi tersebut tidak melebihi usia 2 tahun, tidak makan apa-apa selain susu ibu, 5 kali susuan yang kenyang dan terpisah. Ini adalah beberapa syaratnya.

Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمْ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ مِنْ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 23)

Nas di atas jelas menunjukkan hubungan susuan juga diharamkan perkahwinan seperti  dengan hubungan nasab.

Siapa yang haram dinikahi atas sebab hubungan kekeluargaan, mereka juga haram dikahwini dengan sebab hubungan susuan. Begitu juga dari sudut batasan aurat dan hubungan mahram. Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda:

يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ

Maksudnya: “Diharamkan dengan sebab susuan itu perkara yang haram dengan sebab nasab (kekeluargaan).”

(Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan soalan di atas maka, seseorang itu haram berkahwin dengan anak saudara sesusunya. Hal ini berdasarkan nas di atas. Begitu juga, kisah selepas syahidnya Hamzah bin Abdul Muttalib dalam peperangan Uhud, maka sahabat mencadangkan agar Rasulullah SAW berkahwin dengan anak Hamzah yang bernama Umamah R.Anha. Ibu beliau bernama Salmah binti Umay. Sebenarnya nama beliau telah khilaf ulama. Ibn al-Qaldi menyebut dengan nama Umamah sedangkan al-Waqidi menyebut dengan nama Umarah. Ibn al-Sakan pula berkata namanya Fatimah. Ada pendapat menyatakan namanya Amatullah.

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata, “Amatullah binti Hamzah bin Abdul Muttalib. Digelar dengan nama Ummu al-Fadhl. Dikatakan juga dia dikenali sebagai Umamah.” Tatkala dipelawa supaya beliau SAW megahwini dengan Umamah ini atau Umarah, lantas sabda Rasulullah SAW: “Ia adalah anak perempuan saudaraku dari susuan.” [1]

Ini kerana, Rasulullah SAW dan Hamzah RA pernah disusukan oleh Halimah al-Sa’diah semasa kedua-duanya masih kecil atau bayi.

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kefahaman di dalam agama.

 

[1] Lihat kitab al-Isobah fi Tamyiz al-Sohabah, oleh al-Hafiz Ibn Hajar

Leave a Reply