Soalan:

Dalam perjalanan hidup, sudah tentu kita melakukan kesilapan dan kesalahan. Justeru, apa yang sepatutnya kita lakukan?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Pertamanya, hendaklah kita bertaubat kepada Allah SWT. iaitu dengan menyesali atas tindakan dan perbuatan kita, beristighfar dan bertaubat dengan bersungguh-sungguh atau dikenali sebagai taubat nasuha. Saat yang sama, hendaklah meninggalkan larangan Allah SWT seterusnya melaksanakan titah perintah-Nya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ” Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,”

Surah al-Tahrim (8)

AL-Tabari berkata, “Kembalilah dari dosa-dosamu kepada mentaati Allah dan mencari keredhaan-Nya dengan taubat nasuha dengan kembali ke arah ketaatan dan tidak sekali-kali kembali ke arah maksiat.”

Imam al-Ghazali mendefinisikan taubat pada istilah sebagaimana dengan kitab Minhaj al-Abidin iaitu dengan kerja hati yang apabila tahsil daripada pendapat ulama: Pembersihan dan penyucian hati daripada dosa.

Imam al-Ghazali menaqalkan definisi taubat daripada gurunya Abu Bakar al-Turtusi dengan: Meninggalkan pilihan dosa seumpamanya dahulu daripadanya kedudukan (manzilah) bukan gambaran (surah) kerana membesarkan Allah SWT dan waspada daripada kemurkaan-Nya.

Dinyatakan di sini ungkapan ulama sufi tentang taubat daripada kitab al-Risalah al-Qusyairiyah:

  • Sahl bin Abdillah berkata: Taubat adalah jangan lupa dosa kamu.
  • Junaid al-Baghdadi berkata: Taubat ialah lupa dosa kamu.
  • Al-Nuri berkata: Taubat ialah engkau bertaubat daripada semuanya kecuali Allah SWT.
  • Zu al-Nun al-Misri berkata: Taubat orang awam adalah taubat dari dosa sedangkan taubat orang alim adalah taubat dari lalai.
  • Sahl bin Abdullah juga berkata: Taubat ialah meninggalkan angan-angan yang mendatang.

Syarat-syarat taubat

  • Meninggalkan dosa dengan sukarela.
  • Bertaubat dari dosa yang telah dilakukan.
  • Pilihan untuk meninggalkan dosa terbit daripada membesarkan Allah SWT.

Kami menutup perbincangan ini dengan mengemukakan kenyataan Ibn Abbas R.Anhuma:

التَوْبَةُ النصوحُ الندمُ بالقَلْبِ، والاسْتِغْفَارُ بِالِسَانِ، والاقلاعُ بالبَدْنِ، والإِضْمَارُ عَلَى ألا يعودَ

Maksudnya: “Taubat Nasuha ialah sesal dengan hati, istighfar dengan lidah, buang perlakuan maksiat dengan tubuh badan dan berazam tidak kembali semula.”

Jika sekiranya kefarduan yang ditinggalkan maka hendaklah diqada’nya seperti solat, puasa, zakat. Di samping itu, hendaklah ia sentiasa memperbaiki diri dengan mempelajari ilmu untuk menambahkan keimanan dan keyakinan. Begitu juga berakhlak dengan akhlak yang baik.

Saya tertarik kepada pendapat Imam al-Barbahari yang berkata, “Bahawa sebagai mana seorang hamba itu hidup di dunia, dia hendaklah mempunyai rasa takut kerana dia tidak tahu bagaimana kesudahan amalannya. Dengan apa hidupnya diakhiri seterusnya dengan cara bagaimana dia akan berjumpa Allah SWT walaupun dia telah melakukan segala amal soleh. Sewajarnya bagi seorang hamba yang telah menzalimi dirinya sendiri tidak putus harapan kepada Allah SWT ketika berada di ambang kematian. Dan hendaklah dia berbaik sangka atau husnul dzan dengan Allah SWT serta takut akan akibat dosanya.[1]

Semoga Allah SWT menajdikan kita dari kalangan hamba-Nya yang sentiasa mengabdikan diri kepada-Nya dan kembali kepada-Nya. Amin

[1] Lihat Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah Syarh al-Sunnah li al-Barbahari, hlm. 229

 

Leave a Reply