#1117: Hukum Selfie Setelah Tawaf Wada’

Soalan:

Seorang yang sudah tawaf wada’ kemudian mengambil gambar atau berselfie dalam keadaan terlupa kemudian tersedar lantas ditutup handphonenya. Adakah dikenakan dam?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Dalam permasalahan ini, kami nyatakan dahulu makna tawaf wada’:

Tawaf wada’ merupakan pekerjaan terakhir yang wajib dilakukan sebelum meninggalkan Mekah setelah selesai segala urusan-urusan haji dan umrah bagi pendapat muktamad mazhab syafie.

Kami nyatakan pendapat ulama 4 mazhab berkenaan hukum melakukan tawaf wada’ dengan sebab musafir:

Mazhab Maliki dan Syafie: Wajib melakukan tawaf wada’ jika ingin melakukan perjalanan musafir dari Mekah, walaupun ia penduduk Mekah sekiranya jarak tersebut boleh mengqasarkan solat.[1]

Mazhab Hanafi dan Hanbali: Wajib melakukan tawaf wada’ sekiranya tidak bermukim di Makkah, manakala disunatkan melakukan tawaf wada’ bagi penduduk Mekkah kerana tawaf ini hanya mereka yang ingin mengucapkan selamat tinggal kepada Bait al-Haram, perkara ini tidak berlaku kepada ahli Mekah kerana Mekah itu adalah negara mereka.[2]

Kami kemukakan beberapa nas hadith yang memerintahkan kita supaya kita menjadikan akhir urusan kita di Mekah dengan tawaf wada’.

كَانَ النَّاسُ يَنْصَرِفُونَ فِى كُلِّ وَجْهٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : لاَ يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (untuk meninggalkan Mekah). Lalu Rasulullah SAW bersabda: Jangan sekali-kali seseorang daripada kamu meninggalkan Mekah sehinggalah akhir keberadaannya (di Mekah) al-Bait (Tawaf al-Wada`).”

Riwayat Muslim (1327)

Imam al-Nawawi berkata, “Hadis ini mengandungi dalil bagi pendapat yang mewajibkan Tawaf Wada’ dan apabila ditinggalkan maka harus membayar Dam. Inilah pendapat yang sahih menurut mazhab kami dan inilah pendapat majoriti Ulama.” [3]

Imam al-Nawawi juga berkata: “Ashab kami mengatakan, “Sesiapa yang telah selesai dari manasiknya dan dia ingin bermukim di Mekah, maka tidak ada ke atasnya Tawaf al-Wada’. Perkara ini tidak ada khilaf padanya. Sama ada dia termasuk penduduknya atau bukan. Sekiranya dia ingin keluar dari Mekah menuju ke negaranya atau ke lainnya, maka dia mesti melakukan Tawaf al-Wada’.”[4]

Imam al-Syairazi berkata:

وإذا أمر بشيء،كان ذلك نهيا عن ضده من جهة المعنى، فإن كان ذلك الأمر واجبا كان النهي عن ضده على سبيل الوجوب

Maksudnya: “Apabila berlaku suruhan dalam sesuatu perkara, yang demikian menunjukkan lawannya ialah bentuk larangan dari melakukannya dari sudut makna, oleh hal yang demikian, sekiranya larangan ke atas sesuatu perkara menunjukkan perintah melakukannya adalah merupakan wajib. Maka sesuatu larangan itu lawannya adalah menunjukkan atas jalan wajib.” [5]

Berdasarkan kaedah ini lawan kepada larangan meninggalkan Mekah ialah melakukan tawaf wada`. Oleh itu melakukan tawaf wada` sebelum meninggalkan Mekah adalah wajib.

Menurut Sheikh Ibrahim al-Bajuri yang menukilkan kata-kata Imam Ibnu Qasim dan Abu Syuja’ dalam syarahnya berkata:

(طواف الوداع)  عند إرادة الخروج من مكة لسفر حاجا كان أولا طويلا كان السفر أو قصيرا وما ذكره المصنف من سنيته قول مرجوح هو كذلك فقوله لكن الأظهر وجوبه هو المعتمد

Maksudnya: “(melakukan tawaf wada’) bagi pendapat yang lemah mengatakan sunat melakukan tawaf wada’ sekiranya ingin keluar bermusafir daripada mekah, sama ada perjalanan musafirnya jauh mahupun dekat.  manakala pendapat yang azhar (kuat) ialah wajib melakukan tawaf wada’ adalah merupakan pendapat yang muktamad.” [6]

Imam Nawawi menyebut pendapat kedua hukum tawaf wada’ adalah sunat dan sunat membayar dam jika ditinggalkan. [7]

Bagi menjawab persoalan di atas, penulis menukilkan terlebih dahulu berkenaan dengan isu tawaf wada’ seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi. Seharusnya tawaf wada’ dilakukan selepas semua urusan seseorang itu selesai dan hanya dilakukan dalam keadaan sudah bersedia untuk keluar Mekah sahaja tanpa perlu menunggu lama.

Jika dia tunggu lama selepas itu, tanpa keuzuran atau kesibukan yang bukan kerana musafir seperti membeli barang, melunaskan hutang, menziarahi rakan, menziarahi orang yang sakit dan selainnya, ketika itu wajib baginya untuk mengulangi tawaf wada’. Tetapi jika kesibukannya itu dengan sebab-sebab keluar membeli bekalan tanpa perlu menunggu dalam tempoh yang lama, mengikat barangan dan seumpamanya, dia tidak perlu untuk kembali melakukan tawaf wada’. Begitu juga jika didirikan solat bersama mereka, dia tidak perlu mengulangi tawaf wada’.

Berkenaan perkara-perkara yang boleh dilakukan selepas Tawaf Wada’, Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-35 Musim Haji 1440H yang bersidang pada 9-11 November 2018 bersamaan 1-3 Rabi’ul Awwal 1440 Hijrah telah memutuskan berkenaan dengan Perkara-perkara Yang Diharuskan Selepas Tawaf Wada’, iaitu:

Pertama: Sejurus Selepas Tawaf Wada’

  • Menunaikan solat sunat tawaf dan berdoa selepasnya di Masjidil Haram.
  • Berdoa di Multazam.
  • Mengucup Al-Hajar al-Aswad.
  • Menunaikan solat sunat safar.
  • Menunaikan solat fardhu sekiranya bilal telah melaungkan azan atau bilal sedang melaungkan azan.
  • Begitu juga apabila sudah sampai di hotel yang berhampiran dengan Masjidil Haram untuk beliau solat fardhu bersama imam di Masjidil Haram.
  • Bergambar atau mengambil gambar dalam kadar yang cepat. Walaupun begitu, tidak digalakkan.

 Kedua: Selepas Tawaf (di Penginapan atau Hotel)

  • Makan dan minum di hotel.
  • Qadha hajat.
  • Menyalin dan menukar pakaian.
  • Zikir dan membaca al-Quran sementara menunggu.
  • Mengambil beg atau barang yang diletakkan / ditinggalkan di bilik penginapan.
  • Mencari isteri, saudara, waris dan rakan yang hilang.
  • Mengangkat barang-barang yang hendak dibawa bersama.
  • Tidur dalam bilik hotel sementara menunggu bas atau kenderaan datang.
  • Melawat isteri, saudara, waris, rakan yang sakit di hospital/klinik (bagi kes kecemasan dan hajat).
  • Sebarang urusan yang berkaitan dengan perjalanan sama ada ke Jeddah atau Madinah seperti membeli makanan dan minuman untuk kegunaan dalam perjalanan dan sebagainya.
  • Menunggu kenderaan (lewat tiba kerana kesesakan dan sebagainya).
  • Bersedekah ketika menunggu kedatangan kenderaan di penginapan.
  • Membayar dam. Walaupun begitu, digalakkan untuk membayar sebelum Tawaf Wada’.

Dalam isu di atas, saya berpendapat ia tidaklah dikenakan dam. Ini kerana perbuatan tersebut dalam keadaan lupa. Hal ini berdasarkan nas:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.”

Riwayat Ibn Majah (2043)

Keduanya, perbuatan tersebut bukan termasuk dalam itlaf iaitu menghilang dan melupuskan sesuatu seperti membunuh binatang buruan. Makanya, sebagai tambahan daripada kerana lupa dan bukan itlaf, dia tidak dikenakan dam.

Justeru, saya nasihatkan agar kita sentiasa merujuk kepada pembimbing ibadah haji atau ulama ketika kita melaksanakan ibadah haji mahu pun umrah. Inilah nasihat Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Idhah fi Manasik Hajj wal Umrah.

Saya berdoa supaya Allah SWT kurniakan kepada kita haji yang mabrur dan umrah yang mabrurah. Saya akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَأَدْخِلْنَا الْجَنَّةَ مَعَ الْأَبْرَارِ يَاعَزِيْزُ يَاغَفَّارُ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ

 

 

[1] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyah 17/58.

[2] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyah 17/58.

[3] Lihat Syarah Sahih Muslim 9/79

[4] Lihat al-Majmu’ Syarah al- Muhazzab 8/254

[5] Lihat al-Luma’ fi Usul al-Fiqh, Muassasah al-Risalah 1/31

[6] Lihat Hasyiyah al-Bajuri ala Ibn Qasim, 1/323

[7] Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah hlm. 331

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *