Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah ustaz jelaskan sedikit khilaf dalam kalangan ulama berkenaan hukum makan daging buaya? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”
(Surah al-A‘raf : 157)
Ayat ini menunjukkan bahawa dihalalkan segala benda-benda yang berasa elok pada jiwa dan enak pada tabiat manusia, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan bahawa ia adalah haram. Begitu juga diharamkan segala apa yang jijik pada jiwa seperti bangkai dan darah, serta orang yang memakannya dianggap fasik. Dalam kata lain, semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit. Lalu apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Justeru setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum sebaliknya. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381).
Definisi buaya
Buaya adalah salah satu reptilia terbesar yang masih hidup. Buaya, aligator, gavial, dan kayman kelihatan serupa, dan kesemuanya dinamakan famili buaya. Buaya dan aligator mempunyai badan yang panjang, rendah, berbentuk seperti cerut, kaki yang pendek, dan ekor yang panjang serta kuat yang dengannya reptilia ini berenang. Kedua-duanya mempunyai kulit yang liat, muncung yang panjang, dan gigi yang tajam untuk mencakup mangsa. Walau bagaimanapun, pada kebanyakan buaya, muncungnya adalah tirus manakala muncung aligator adalah bulat.
Buaya hidup di negara tropika di seluruh dunia. Reptilia ini lebih gemar kawasan berair cetek, sungai yang lembap, dan rawang terbuka dan paya. Kaki renangnya membolehkannya berjalan di tanah yang lembut. Mata dan hidungnya lebih tinggi daripada bahagian lain pada kepalanya. Susunan ini sangat sesuai dengan kehidupan buaya dalam air, kerana buaya suka terapung dengan mata dan hidungnya timbul di permukaan air. Kerongkongnya mempunyai injap terbelah di depan tiub yang menghala ke liang hidungnya. Injap ini tertutup rapat apabila haiwan ini berada dalam air. la menghalang air dari memasuki mulut apabila reptilia ini menangkap mangsanya.
Buaya memakan banyak haiwan kecil seperti ikan, burung, dan penyu, yang ditangkap dan ditelan bulat-bulat. Sekali-sekala buaya menyerang haiwan besar dan manusia. Buaya boleh memulas haiwan besar menjadi bahagian-bahagian kecil dengan menangkap dan memusing mangsanya memanjang dengan pantas dalam air. Buaya lebih agresif daripada aligator Amerika atau China dan harus dibiarkan sendirian.
Seperti kebanyakan reptilia, buaya bertelur. Telurnya kelihatan seperti telur ayam, tetapi lebih panjang dan kulitnya kurang rapuh. Buaya menyembunyikan telurnya dalam sarang yang terdiri daripada sampah sarap dan tumbuh-tumbuhan, atau menanamnya dalam pasir di pantai. Buaya betina sesetengah jenis menjaga telurnya sehingga menetas. Apabila ia mendengar anaknya berdengus, ia mengorek sarang untuk mengeluarkan anaknya. Sesetengah buaya membantu telurnya menetas dan kemudian menggonggongnya untuk dibawa ke air. Tidak banyak yang diketahui tentang tabiat pembiakan dan kelakuan umum buaya.
Kebanyakan buaya tulen tinggal di Hemisfera Utara. Buaya Sungai Nil banyak ditemui di Afrika. Haiwan ini hidup hampir di mana-mana di benua ini kecuali di Sahara dan di pantai utara. Reptilia ini diketahui oleh manusia purba dan diperikan oleh ahli sejarah Yunani, Herodotus. Buaya kecil bermuncung panjang di Lembangan Congo membesar tidak melebihi 2.5 meter panjangnya. Dua jenis buaya kerdil di Afrika, yang salah satunya sangat jarang didapati, berkaitan rapat dengan buaya sebenar
Buaya air masin raksasa tinggal di banyak tempat dari India hingga ke utara Australia, malah hingga ke Kepulauan Solomon. Mugger hidup di India, Pakistan, dan Sri Lanka; dan buaya Siam tinggal di Jawa, Thailand dan di beberapa bahagian Asia yang berhampiran. Terdapat juga buaya Australia. Sumatera dan Semenanjung Malaysia mempunyai gavial palsu. Buaya ini mempunyai muncung lebih tirus daripada kebanyakan buaya lain. la menggunakan muncungnya yang panjang untuk menangkap ikan.
Empat spesies lagi hidup di Amerika Utara dan Selatan. Buaya Amerika hidup di bahagian paling selatan Florida, di Kepulauan Hindia Barat yang lebih besar, dan di Amerika Tengah serta di kawasan berhampirannya.
Buaya adalah saki-baki kumpulan reptilia purba yang besar. Fosil menunjukkan reptilia ini pernah mencapai 15 meter panjangnya. Ini lebih daripada dua kali panjang buaya yang pernah hidup hari ini. Kini terdapat 12 spesies buaya.
Buaya diburu secara besar-besaran untuk belulangnya yang dijadikan kulit oleh pembuat untuk dibuat kasut dan beg tangan. Perburuan ini menyebabkan tiga spesies buaya Amerika, buaya Cuba dan buaya Nil — menjadi spesies yang terancam. Undang-undang kini melarang perburuan buaya di banyak bahagian di dunia, tetapi sekatan ini sukar dikuatkuasakan. Ahli biologi di beberapa kawasan telah memulakan program memungut telur buaya dan menetaskannya dalam inkubator. Anak buaya kemudiannya dilepaskan ke dalam habitat semula jadinya. Dari segi pengelasan saintifik, buaya tergolong dalam famili Crocodylidae. (Lihat Ensiklopedia Dunia, Terj. DBP, 4/298-299).
Hukum makan buaya
Secara umumnya, para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum memakan buaya kepada dua pendapat. Pendapat pertama menyatakan bahawa memakan daging buaya adalah diharamkan. Ini merupakan pendapat jumhur ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i, Hanbali dan Hanafi.
Di antara hujah-hujah ulama yang mengharamkannya adalah kerana buaya memburu dengan taringnya. Justeru ia termasuk dalam jenis haiwan yang dilarang oleh Nabi SAW untuk dimakan sebagaimana riwayat daripada Abu Tha‘labah bahawa:
نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السَّبُعِ
Maksudnya: “Nabi SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring.”
Riwayat Muslim (1932)
Imam al-Syafi‘i menjelaskan lagi perkara ini dengan menyebutkan bahawa haiwan bertaring yang haram untuk dimakan ialah haiwan yang memburu makanan dengan taringnya. (Lihat al-Umm, 2/272; lihat juga al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548-549).
Begitu juga al-Buhuti al-Hanbali turut menyatakan bahawa diharuskan untuk memakan semua haiwan yang terdapat dalam laut (air) berdasarkan firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut.”
(Surah al-Ma’idah: 96)
Melainkan katak kerana ia termasuk dalam jenis haiwan yang dianggap jijik dan begitu juga buaya kerana ia memburu dengan taringnya. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘, hlm. 587).
Selain daripada itu, ia juga termasuk dalam jenis haiwan yang dianggap jijik untuk dimakan. Muhibuddin al-Tabari al-Syafi‘i menyabutkan bahawa buaya diharamkan untuk dimakan sebagaimana dinyatakan juga oleh al-Rafi‘i disebabkan oleh kejijikan dan kemudaratannya. Benar, di dalam al-Tanbih dinyatakan bahawa pengharamannya adalah kerana ia termasuk dalam jenis haiwan yang memburu dengan taringnya. Namun, tidak cukup untuk mengharamkannya hanya kerana sebab itu semata-mata, kerana di dalam lautan terdapat banyak lagi haiwan lain yang memburu dengan taringnya seperti jerung dan sebagainya, dan ia adalah halal. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 1/237).
Tambahan lagi, dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan bahawa zahirnya perbezaan (ketara) antara jerung dan buaya ialah jerung termasuk dalam jenis atau spesies ikan yang tidak dapat hidup melainkan dalam laut (air), berbeza halnya dengan buaya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyyah al-Kuwaitiyyah, 5/131).
Selain daripada itu juga, ulama mazhab Syafi‘i dan Hanbali mengecualikan buaya daripada termasuk dalam jenis haiwan air yang dihalalkan disebabkan ia dianggap haiwan yang jijik dan kerana ia memakan manusia.
Manakala ulama mazhab Hanafi pula berpendapat, tidak halal untuk dimakan haiwan air melainkan hanya ikan yang tidak terapung berdasarkan kepada firman Allah SWT:
وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dan ia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”
(Surah al-A‘raf: 157)
Mana-mana haiwan air lain selain ikan adalah dianggap jijik. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyyah al-Kuwaitiyyah, 28/132).
Manakala pendapat kedua menyatakan bahawa memakan daging buaya adalah diharuskan. Ini merupakan pendapat mazhab Maliki dan satu riwayat daripada Imam Ahmad. (Lihat Bulghah al-Salik li Aqrab al-Masalik, 2/182; al-Insaf fi Ma‘rifah al-Rajih min al-Khilaf, 27/227).
Al-Dardir menyebutkan, diharuskan untuk memakan haiwan laut secara mutlak, sekalipun ia bangkai, atau anjing, atau babi, atau buaya, atau penyu, dan tidak berhajat kepada sembelihan. Kemudian al-Sawi menjelaskan lagi kalam al-Dardir itu dengan menyatakan, perkataan “sekalipun bangkai” adalah bagi menolak pendapat Abu Hanifah. Hal ini kerana bangkai haiwan laut adalah suci sekalipun ia telah berubah dengan berbau busuk, melainkan dipastikan bahawa ia memudaratkan, maka diharamkan untuk memakannya kerana perkara tersebut dan bukannya kerana kenajisannya. Begitulah juga haiwan yang telah disembelih dengan sembelihan sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak adalah suci sekalipun telah berubah dengan berbau busuk. Ia boleh dimakan selagi mana tidak dibimbangi kemudaratannya. Begitu juga sama ada bangkai haiwan laut itu ditemui dalam keadaan tenggelam dalam air atau terapung, atau di dalam perut ikan atau burung, begitu juga sama ada ia ditelan ketika sudah mati atau masih lagi hidup lalu mati di dalam perut, begitu juga ia dibasuh dan dimakan, begitu juga sama ada ia diburu dan ditangkap oleh seseorang Muslim atau Majusi. (Lihat Bulghah al-Salik li Aqrab al-Masalik, 2/182).
Di antara hujah mereka yang mengharuskan untuk memakannya adalah berdasarkan kepada keumuman firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.”
(Surah al-Ma’idah: 96)
Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ
Maksudnya: “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.”
Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)
Selain daripada itu, al-Lajnah al-Da’imah li al-Ifta’ pernah ditanya berkenaan buaya, adakah ia halal atau haram untuk dimakan? Mereka menjawab, ada dalam kalangan ulama berpendapat, ia dimakan sepertimana ikan berdasarkan kepada keumuman firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 96 dan juga hadith Nabi SAW sebagaimana di atas. Ada juga yang berpendapat, ia haram untuk dimakan disebabkan oleh ia termasuk dalam jenis haiwan buas yang memburu dengan taringnya. Namun, pendapat yang kuat (rajih) ialah pendapat yang menyatakan ia halal dimakan. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 22/319).
Selain itu, Syeikh ibn al-‘Uthaimin selepas memilih pendapat yang menyatakan keharusan untuk memakan buaya dan ular laut menyatakan bahawa pendapat yang tepat adalah tidak dikecualikan sesuatu apapun daripada haiwan laut tersebut. Semua haiwan laut yang tidak dapat hidup melainkan hanya dalam air adalah halal untuk dimakan, tidak kira yang masih hidup mahupun yang sudah menjadi bangkai, berdasarkan kepada keumuman firman Allah SWT yang telah disebutkan sebelum ini (iaitu ayat 96, surah al-Ma’idah). (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 15/35).
Di samping itu, beliau juga pernah ditanya berkenaan daging buaya. Beliau menjawab, semua haiwan buruan laut adalah halal, tidak kira ketika ia masih hidup atau sudah menjadi bangkai berdasarkan ayat yang telah disebutkan sebelum ini. Ibn Abbas R.Anhuma menafsirkan “صَيْدُ الْبَحْرِ” sebagai haiwan laut yang ditangkap ketika masih hidup, manakala “طَعَامُهُ” pula ialah apa yang didapati ketika sudah menjadi bangkai. Malinkan sebahagian ulama mengecualikan buaya kerana ia termasuk dalam haiwan yang memburu dengan taringnya dan Nabi SAW melarang daripada memakan semua haiwan buas iaitu daripada jenis haiwan darat yang memburu dengan taringnya. Maka sebab itu ia juga diharamkan. Akan tetapi zahir ayat yang telah disebutkan menunjukkan bahawa kehalalan tersebut turut merangkumi buaya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).
Tambahan lagi, Syeikh ibn al-‘Uthaimin juga ada mengkritik dan menjawab hujah mereka yang mengharamkan buaya hanya kerana ia haiwan yang memburu dengan taringnya. Beliau menjelaskan bahawa benar buaya memburu dengan taringnya, tetapi ia tidak termasuk dalam jenis haiwan buas. Oleh sebab itu, bukan semua haiwan yang diharamkan di daratan, turut diharamkan bandingannya di lautan. Hal ini kerana lautan adalah sesuatu yang memiliki hukumnya yang tersendiri, sehinggakan turut terdapat di dalamnya selain buaya haiwan lain yang juga memburu dengan taringnya seperti jerung (dan ia adalah halal).
Justeru, umumnya di dalam lautan turut terdapat perkara yang diperintahkan untuk dibunuh, tetapi sekalipun begitu ia tetap dihukumkan sebagai halal. Maka, pendapat yang tepatnya adalah tidak dikecualikan buaya dan ia halal untuk dimakan. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 15/34-35).
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa buaya termasuk dalam jenis haiwan yang haram untuk dimakan sebagaimana pendapat jumhur ulama. Hal ini disebabkan oleh dua sebab iaitu kerana ia dianggap sebagai haiwan yang dianggap jijik, dan haiwan yang memburu dengan taringnya. Justeru, inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan tepat (أقرب إلى الصواب).
Lebih-lebih lagi, Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”
(Surah al-A‘raf: 157)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 21 Mac 2023 bersamaan 28 Syaaban 1444H