#52: Kisah ‘Abd al-Qadir al-Jailani Bertemu Cahaya yang Mengaku Tuhan

-25%
Percuma Al-Quran
Rated 0 out of 5
Original price was: RM440.00.Current price is: RM330.00.
-30%
Size Pocket
Rated 0 out of 5
Original price was: RM10.00.Current price is: RM7.00.
-30%
Rated 0 out of 5
Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Dengan Nama Allah

Rated 0 out of 5
Original price was: RM15.00.Current price is: RM10.50.
-30%

Buku Fizikal

Imam Mahdi

Rated 0 out of 5
Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Yajuj dan Majuj

Rated 0 out of 5
Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Rated 0 out of 5
Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%
Rated 0 out of 5
Original price was: RM70.00.Current price is: RM49.00.

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Benarkah kisah ‘Abd al-Qadir al-Jailani yang melihat awan lalu keluar cahaya dan cahaya itu mengaku sebagai tuhan yang menghalalkan untuknya perkara yang haram? Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bagi menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan menerangkan serba sedikit biodata beliau terlebih dahulu. Nama sebenar beliau ialah al-Syeikh Abu Muhammad ‘Abd al-Qadir bin Abu Soleh al-Jili. Beliau dilahirkan pada tahun 470 Hijrah. Ada juga yang berpendapat, beliau dilahirkan pada tahun 471 Hijrah. Beliau dilahirkan di negeri Jilan (جيلاَنَ). Beliau bermazhab Hanbali. Madrasah dan ribatnya masyhur di Baghdad. Menurut al-Zahabi, beliau ialah al-Syeikh, al-Imam, al-‘Alim, al-Zahid, al-‘Arif, al-Qudwah, Syeikh al-Islam, pemimpin para wali dan penghidup agama. (Lihat al-Kamil fi al-Tarikh, 9/326; Siyar A‘lam al-Nubala’, 20/439).

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebutkan, al-Syeikh ‘Abd al-Qadir dan seumpamanya adalah di antara masyayikh yang paling kuat pada zaman mereka dalam hal berpegang dengan syariat; mematuhi perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya, serta mendahulukannya daripada zauq dan kemuliaan. Beliau juga antara masyayikh yang kuat meninggalkan hawa nafsu dan kehendak diri sendiri. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 10/488).

Di antara karya tulisannya ialah kitab al-Ghaniyyah dan Futuh al-Ghaib. Menurut Ibn Kathir, di dalam kedua-dua kitab itu terdapat perkara-perkara baik, namun beliau juga ada menyebutkan di dalam kedua-dua kitab itu hadith dha’if dan maudhu’ (palsu). Secara ringkasnya, beliau termasuk salam seorang masyayikh kibar (syeikh besar). Semoga Allah mensucikan ruhnya dan menerangkan kuburnya. Syeikh ‘Abd al-Qadir meninggal dunia pada malam Sabtu, 8 Rabi‘ul Akhir pada tahun 561 Hijrah ketika berusia 90 tahun. Beliau dikebumikan di madrasah miliknya. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 16/420).

Syeikh ‘Abd al-Qadir al-Jilani terkenal dengan banyak karamah, dan bukannya mukjizat. Apa yang telah disebutkan oleh para ulama, dan istilah mereka bahawa mukjizat adalah khusus buat para nabi, manakala karamah pula adalah untuk orang yang soleh dan bertakwa. Syeikh Ibn al-‘Uthaimin menyatakan, karamah ialah sesuatu yang mencarik adat, dijadikan oleh Allah SWT untuk berlaku melalui tangan wali-Nya bagi tujuan menguatkannya, atau membantunya, atau menetapkannya, atau bantuan untuk agama. (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn al-‘Uthaimin, 8/626).

Terlalu banyak kisah-kisah karamah yang dinisbahkan kepada Syeikh ‘Abd al-Qadir. Akan tetapi para ulama menyebutkan, banyak daripadanya adalah tidak sahih. Al-Zahabi menyebutkan, tidak ada seorangpun dalam kalangan masyayikh yang besar lebih banyak kisah-kisah berkenaan karamah berbanding Syeikh ‘Abd al-Qadir. Akan tetapi kebanyakannya adalah tidak sahih, bahkan sebahagiannya pula adalah perkara yang mustahil. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 20/450).

Begitu juga Ibn Kathir juga ada menyatakan, padanya terdapat kezuhudan yang besar. Begitu juga beliau mempunyai tanda-tanda kesolehan dan kasyaf. Para pengikut dan ashabnya mempunyai tulisan mengenainya dan menyebutkan daripadanya berupa perkataan, perbuatan dan kasyaf; kebanyakannya adalah secara berlebih-lebihan. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 16/420).

Menyibukkan diri untuk membezakan antara kisah karamahnya yang dha’if (lemah) dan sahih adalah suatu perkara yang sangat sukar dan susah. Malah ia adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan. Hal ini kerana menyibukkan diri dengan hal seperti itu adalah membuang masa pada perkara yang tidak banyak faedahnya, baik dalam agama mahupun dunia. Cukuplah bagi seseorang untuk mengetahui bahawa Syeikh al-Jilani adalah salah seorang pemimpin orang-orang soleh, dan Allah SWT telah menjadikan baginya lidah kebenaran dalam kalangan manusia.

Selain daripada itu juga, cukuplah bagi seorang Muslim, jika dia menemui mana-mana kisah mukjizat Syeikh ‘Abd al-Qadir al-Jilani dalam kitab-kitab yang muktabar di sisi ulama, maka hendaklah dia menimbangnya melalui neraca syariah. Jika ia sesuai dengan ketetapan syariat, diharapkan ia adalah sahih (betul) tanpa menjazamkannya, dan jika ia bertentangan dengan neraca syariah tersebut, maka ingkarilah kisah mukjizat tersebut. Inilah neraca atau timbangan yang telah ditunjukkan oleh Syeikh ‘Abd al-Qadir al-Jilani sendiri. 

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebutkan, ramai dalam kalangan hamba Allah melihat Kaabah ketika melakukan tawaf, lalu mereka melihat singgahsana besar, yang di atasnya terdapat susuk yang besar; mereka melihat seseorang turun dan naik. Maka mereka menyangka susuk tersebut ialah malaikat dan ada juga yang menyangka susuk tersebut ialah Allah — Maha Suci Allah yang jauh daripada segala kekurangan. Sedangkan susuk tersebut sebenarnya ialah syaitan — laknatullahi ‘alaih.

Sesungguhnya kisah ini telah berlaku kepada ramai orang. Sebahagian daripada mereka dilindungi oleh Allah SWT dan dia mengetahui bahawa susuk tersebut ialah syaitan, seperti mana Syeikh ‘Abd al-Qadir dalam kisahnya yang masyhur di mana beliau menceritakan: “Aku pernah beribadat, tiba-tiba aku melihat sebuah singgahsana yang besar dan di atasnya ada cahaya. Lalu cahaya itu berkata kepadaku: ‘Wahai ‘Abd al-Qadir! Sesungguhnya aku ialah Tuhanmu, dan aku telah halalkan untukmu apa yang aku haramkan untuk orang lain.’” Kemudian beliau menjawab: “Aku berkata kepadanya: ‘Engkau Allah, yang tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia?! Betapa hinanya engkau, wahai musuh Allah!’”

Beliau menceritakan lagi: “Kemudian cahaya itu terbelah dan menjadi gelap, lalu berkata: ‘Wahai ‘Abd al-Qadir! Engkau telah terselamat daripadaku disebabkan oleh kefaqihan engkau tentang agama engkau dan juga kerana ilmu engkau. Sesungguhnya aku telah menguji (menyesatkan) dengan perkara ini seramai tujuh puluh orang lelaki.’” 

Kemudian ditanyakan kepadanya: “Bagaimanakah engkau mengetahui bahawasanya ia adalah syaitan?” Beliau menjawab: “Berdasarkan ucapannya kepadaku, ‘Aku telah halalkan untukmu apa yang aku haramkan untuk orang lain.’ Hal ini kerana aku mengetahui bahawa syariat Muhammad SAW tidak terbatal mahupun berubah.” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 1/171-172).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 Mac 2023 bersamaan 28 Syaaban 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *