Soalan:
Terlafaz talak dalam hati sebab orang ramai bertanya kepada saya tentang talak. Adakah jatuh talak?
Jawapan:
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Secara umumnya, lafaz menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat merujuk kepada bunyi perkataan yang disebut atau yang diucapkan dengan baik. Lafaz mestilah suatu pertuturan yang keluar daripada mulut seseorang, jika ia sekadar lintasan hati tanpa dituturkan maka tidak dikira sebagai suatu lafaz.
Talak pula menurut syara’ bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz talak, cerai atau yang seumpama dengannya.[1]
Lafaz talak pula menurut Fuqaha’ ada dua jenis:
- Sorih (lafaz yang jelas), seperti ‘Aku ceraikan kau!’, ‘Engkau tertalak!’, ‘Aku lepaskan engkau!’.
- Kinayah (lafaz berbentuk kiasan), seperti ‘pergilah ke ahli keluarga engkau’, ‘jauhkan diri dari aku’ dan lain-lain lagi.[2]
Fuqaha’ juga telah meletakkan beberapa syarat yang membolehkan terjatuhnya talak:
- Berlaku dalam nikah yang sah.
- Sempurna akal.
- Berlaku atas pilihan sendiri (kesengajaan) dan bukan paksaan.
Pilihan sendiri bermaksud dia memang mempunyai niat untuk mentalakkan isterinya dan dengan sengaja melafazkannya. Manakala orang yang dipaksa tidak terjatuh talaknya, begitu juga orang yang mempunyai keperluan untuk menuturkan lafaz talak itu seperti seorang guru yang mengajar tentang talak, pastinya dia akan mengulangi lafaz tersebut bagi tujuan menyampaikan kefahaman kepada muridnya dengan baik, maka para ulama’ berpendapat bahawa tidak jatuh talak tersebut.
Syeikh Zakariyya Al-Ansari Rahimahullahu Taala menyatakan di dalam bab talak:
قَصْدٌ أَيْ قَصْدُ لَفْظِهِ لِمَعْنَاهُ أَيْ قَصْدُ لَفْظَهُ وَمَعْنَاهُ، إذْ الْمُعْتَبَرُ قَصْدُهُمَا مَعًا لِيُخْرِجَ حِكَايَةَ طَلَاقِ الْغَيْرِ وَتَصْوِيرَ الْفَقِيهِ، وَالنِّدَاءَ بِطَالِقٍ لِمَنْ اسْمُهَا طَالِقٌ
Maksudnya: “Kesengajaan yang dimaksudkan (dalam talak) adalah kesengajaan dalam kata dan makna. Tidak termasuk dari talak adalah bercerita tentang talak orang lain, dan penjelasan ahli fiqh (tentang talak), dan panggilan dengan kata ‘Taliq’ (orang yang dicerai) bagi wanita yang bernama Taliq.”[3]
Jika hanya lintasan hati tanpa disertakan dengan lafaz talak, maka talak itu tidak berlaku. Imam Al-Qurtubi menyebutkan di dalam tafsirnya[4] bahawa inilah pandangan yang diambil oleh Imam Syafie, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ اللهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي مَا حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَتَكَلَّمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengampuni umatku apa sahaja yang mereka fikirkan dalam diri mereka (iaitu hasrat buruk) selagimana mereka tidak melakukannya atau bercakap tentangnya (menyatakan hasrat itu).”
Riwayat Bukhari (5269) dan Muslim (127)
Kalimah (مَا) menurut ulama’ usul membawa maksud umum, meliputi apa jua jenis niat atau hasrat buruk yang terlintas dalam diri seseorang. Berdasarkan kaedah ini, difahami bahawa jika seseorang tidak mengungkapkan atau melakukan niat buruknya itu, maka tidak ada hukum yang dijatuhkan keatasnya.
Kata Imam Al-Qurtubi:
وَالْعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ أَهْلِ العِلْمِ إِنْ رجل إِذَا حَدَّثَ نَفْسَهُ بِالطَّلَاقِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا حَتَّى يَتَكَلَّمَ بِهِ
Maksudnya: “Dan beramal dengan hadith ini menurut ahli ilmu, jika seorang lelaki membisikkan di dalam hatinya (lafaz) talak, tidak berlaku apa-apa sehinggalah dia mengungkapkannya.”[5]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami mengatakan bahawa talak tidak jatuh dengan sekadar niat atau lintasan hati. Hal yang demikian kerana lafaz talak itu sendiri tidak diungkapkan samada dalam bentuk sorih (jelas) atau kinayah (kiasan) kepada isterinya, maka talak itu sendiri dianggap tidak berlaku.
Justeru, kami menasihatkan agar semua agar tidak mengambil ringan mengenai lafaz talak, ia bukanlah perkara yang boleh dibuat gurauan kerana talak boleh terjatuh walaupun dilafazkan dengan tanpa niat cerai. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
Maksudnya: “Tiga perkara yang dilakukan secara bersungguh menjadi sah, dan secara gurauan juga akan menjadi sah; nikah, talak dan rujuk.”
Riwayat Abu Dawud (2194)
Saya akhiri dengan doa agar dikurniakan rumah tangga kita bahagia sebagai mana yang diajar oleh Allah SWT.
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Wallahua‘lam.
[1] Lihat Al-Fiqh Al-Manhaji, 4/119.
[2] Lihat Al-Fiqh Al-Manhaji, 4/123.
[3] Lihat Al-Ghurar Al-Bahiyyah Sharhul Bahjah Al-Wardiyyah, 4/245.
[4] Lihat Al-Jami’ li Ahkam Al-Quran, 8/210.
[5] Lihat Al-Jami’ li Ahkam Al-Quran, 8/211.
Bertarikh: 30 Mac 2023 bersamaan 8 Ramadhan 1444H