Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada termasuk ke dalam sebuah kumpulan Whatsapp yang ahlinya terdiri daripada saudara mara. Segelintir daripada ahli kumpulan tersebut suka memuat naik tulisan-tulisan berunsur politik yang adakalanya tidak sesuai untuk kumpulan yang ahlinya terdiri daripada fahaman politik berbeza. Soalan saya, adakah saya dikira memutuskan silaturrahim jika saya tidak langsung masuk dan membaca sebarang posting yang dihantar ke kumpulan tersebut. Tujuan utama adalah untuk mengelakkan sebarang perbalahan jika menjawab mesej-mesej lain yang dihantar terutamanya mesej yang berbentuk provokasi. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebagai mana yang kami nyatakan, menjaga silaturrahim adalah wajib dan hendaklah dipelihara dari semasa ke semasa. Firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ

Maksudnya: “Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat.”

(Surah al-Nisa’: 1)

Nas menunjukkan taqwa kepada Allah SWT digabungkan dengan hubungan silaturrahim yang perlu dipereratkan. Betapa hebatnya silaturrahim ini, tatkala Rasulullah SAW sampai ke kota suci Madinah al-Munawwarah, antara ucapan sulung Baginda SAW ialah:

أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشوا السَّلامَ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ، وصلوا الأرحام وَصَلُّوا باللَّيْل وَالنَّاسُ نِيامٌ، تَدخُلُوا الجَنَّةَ بِسَلامٍ

Maksudnya: “Hai orang ramai. Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur, nescaya kamu dapat masuk Syurga dengan sejahtera dan selamat.”

Riwayat Ibnu Majah (3251)

Begitu juga, menyambung hubungan silaturrahim mempunyai banyak kelebihan. Terdapat sebuah hadith yang menyebut dua kelebihan hasil daripada menyambung hubungan silaturrahim. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”

Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)

Islam mengancam dengan tegas mereka yang memutuskan silaturrahim sehingga Rasulullah SAW menyebut sebagai orang yang tidak kayak masuk syurga. Sabda Rasulullah SAW:

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَاطِعُ رَحِمٍ

Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim.”

Riwayat Al-Bukhari (2408), Muslim (593) dan Abu Daud (45)

Dalam menjawab persoalan di atas, lebih baik anda diam dan tidak perlu keluar pun untuk menajga hati semua pihak. Tidak semestinya kita perlu memberi komen. Cuma, jika keluarga memahami keadaan saudara yang tetap menjaga hubungan silaturrahim, walaupun sudah keluar Whatsapp, maka ia tidak mengapa. Bahkan anda lebih tahu berkenaan keluarga anda dari yang lain. Setiap ahli keluarga mempunyai perangai yang tersendiri. Akhir kalam, saya doakan keluarga anda tetap utuh dan cuba binakan hubungan silaturrahim dengan lebih mantap kerana akhirnya kita semua akan menuju ke alam Baqa’. Alangkah ruginya kita bermusuhan dan memutskan silaturrahim hanya kerana beberapa perkara yang amat remeh. 

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kebaikan.

Bertarikh: 3 April 2023 bersamaan 12 Ramadhan 1444H

Leave a Reply