#1220: Bayar Zakat Harta Sebelum Cukup Haul

Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri, bolehkah saya membayar zakat harta lebih dahulu daripada cukup haul, bahkan advance dua tahun ke hadapan? Ini kerana, saya bimbang dengan ketidaktentuan ekonomi menyebabkan saya tidak mampu membayar zakat pada masa yang ditetapkan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pertamanya, saya mengucapkan syabas kepada anda kerana melakukan ibadat dan keinginan yang besar agar dapat dilaksanakannya walaupun waktu yang wajib belum lagi tiba. Hal ini mengingatkan kami kepada firman Allah SWT:

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ

Maksudnya: “Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan.” [1]

(Surah al-Baqarah: 148)

Menjawab persoalan saudara, saya nyatakan, antara kewajiban zakat adalah cukup nisab dan cukup haul. Hal ini dinyatakan di dalam kitab-kitab feqah. Antaranya, seperti disebut dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji:

Berkenaan nisab, disebut:

Nisab bermaksud jumlah minimum yang dikira sebagai syarat bagi sesuatu harta yang wajib dikeluarkan zakat. Justeru, sekiranya harta yang dimiliki seseorang mukallaf tidak sampai kepada jumlah tersebut, maka zakat tidak diwajibkan ke atasnya.

Berkenaan haul, disebut:

Zakat tidak wajib dikeluarkan kecuali setelah genap setahun memilikinya. Ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ فِى مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ

Maksudnya:Tidak wajib zakat harta hingga berlalu masa setahun.”

          Riwayat Abu Daud (1573)

Syarat tersebut dikecualikan bagi zakat tanaman, buah-buahan dan galian serta tidak disyaratkan genap setahun memilikinya. Oleh itu, zakat wajib dikeluarkan dengan segera sebaik sahaja mendapat hasilnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/641)

Isu yang saudara nyatakan tadi, adalah harus dan inilah fatwa Mufti Wilayah Persekutuan. Kami nyatakan seperti berikut:

Rasulullah SAW memberikan rukhsah kepada bapa saudaranya, Saidina ‘Abbas untuk menyegerakan pembayaran zakat sebelum sampainya haul. Hadith tersebut adalah seperti berikut:

فعَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ الْعَبَّاسَ سَأَلَ النبي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ في تعجيلِ صَدَقَته قبل أنْ تَحُلَّ، فرَخَّصَ في ذلك

Maksudnya: Daripada Saidina Ali RA, bahawa Saidina ‘Abbas bertanya kepada Nabi SAW untuk menyegerakan pembayaran zakatnya sebelum tiba haul, maka Rasulullah SAW telah memberikan rukshah terhadap perkara tersebut.

Hadith riwayat Abu Daud: (1624)

Ini juga seperti yang dinyatakan di dalam kitab fiqh, seperti yang disebut dalam kitab Nihayatul al-Muhjat Syarh al-Minhaj:

(وَيَجُوزُ) تَعْجِيلُهَا فِي الْمَالِ الْحَوْلِيِّ (قَبْلَ) تَمَامِ (الْحَوْلِ) فِيمَا انْعَقَدَ حَوْلُهُ وَوُجِدَ النِّصَابُ فِيهِ لِأَنَّهُ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – أَرْخَصَ فِي التَّعْجِيلِ لِلْعَبَّاسِ

Maksudnya: Harus hukumnya untuk menyegerakan zakat pada harta yang diwajibkan zakat sebelum sempurnanya haul apa yang sampai pada haulnya dan wujud nisab padanya. Ini kerana Rasulullah SAW telah memberikan rukhsah untuk menyegerakan pembayaran zakat ini kepada Saidina ‘Abbas RA. (Rujuk Nihayat al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, 3:141; Mughni al-Muhtaj, 2/132)

Hal yang sama seperti apa yang disimpulkan oleh Ibn al-Qudamah di dalam kitabnya, al-Mughni, bahawa:

وَجُمْلَتُهُ أَنَّهُ مَتَى وُجِدَ سَبَبُ وُجُوبِ الزَّكَاةِ، وَهُوَ النِّصَابُ الْكَامِلُ، جَازَ تَقْدِيمُ الزَّكَاةِ.

Maksudnya: Secara kesimpulannya, apabila terdapat sebab yang utama mewajibkan zakat iaitu cukup nisab dengan sempurna, maka harus untuk mempercepatkan bayaran zakat. (Rujuk al-Mughni Li Ibn Qudamah, 2:499)

Pendapat jumhur ulama’ adalah harus menyegerakan zakat walaupun sebelum cukup haul terkehadapan berdasarkan hadith al-‘Abbas yang meminta izin daripada Nabi SAW untuk mengeluarkan zakat dengan segera, lantas diizin untuknya, seperti riwayat Abu Daud di atas. Inilah juga pendapat al-Hasan, Sa’id bin Jubair, al-Zuhri, al-Auza’i, Abu Hanifah, al-Syafi’i, Ishaq, Abu Ubaid, seperti kata Ibn Qudamah.

Sedangkan Rabi’ah, Malik dan Daud, seperti yang dihikayatkan daripada al-Hasan, tidak harus mengeluarkan zakat sebelum tiba masanya, yakni cukup haul.

Kami mentarjihkan pendapat jumhur berdasarkan nas hadis di atas.

Berkenaan dua tahun terkehadapan, Mufti Mesir al-Allamah Dr Shauqi Allam berpendapat, hukumnya harus menyegerakan zakat harta walaupun dua tahun ke hadapan dengan sebab suasana ekonomi, dan dalam hal-hal pengecualian.

Kami bersetuju dengan pendapat di atas memandangkan keadaan tertentu dan perjalanan syarikat atau seseorang dari sudut mengurus ekonomi sendiri dan peribadi tidaklah sama antara satu sama lain. Begitu juga, boleh jadi masyarakat ketika itu dilanda kelaparan dan kekurangan kewangan untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Maka, orang-orang kaya dan berkemampuan ingin mendahulukan zakatnya pada tahun-tahun berikutnya adalah dibolehkan.

 Justeru, diharapkan dengan cara ini, ia akan mendekatkan kita kepada Allah SWT, bahkan Allah menyifatkan sifat mereka yang diberi tamkin atau kedudukan di muka bumi adalah yang menunaikan zakat dan mendirikansolat. Firman Allah SWT:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ

Maksudnya: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat.”

(Surah al-Hajj: 41)

Semoga Allah kurniakan kepada kita untuk beramal dengan segala rukun Islam termasuklah zakat. Amin.

[1] Syeikh al-Maraghi berkata bahawa berlumba-lumba dalam (mengejar) kebaikan dan melakukan amalan soleh ialah dengan cara mengisi kesempatan dengan melakukan hal yang baik dan melipatgandakan amalan kebaikan. Ini kerana, orang yang cemerlang dalam perlumbaan itulah yang paling dekat dengan Allah SWT. Maka, dalam apa jua kebajikan sekalipun, segerakanlah diri dalam menyempurnakan amalan tersebut melebihi orang lain. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1595)

Bertarikh: 5 April 2023 bersamaan 14 Ramadhan 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *