Soalan:
Assalamualaikum Dato Seri, adakah puasa dapat menghapuskan dosa?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Saya mulakan dengan sebuah Nabi SAW, daripada Abu Hurairah R.A, sabda Baginda SAW:

 الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ، إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ.

Maksudnya: “Solat lima waktu, dari hari Jumaat ke Jumaat  (berikutnya) dan Ramadhan ke Ramadhan (berikutnya) akan menghapuskan (dosa-dosa) di antara tempoh tersebut apabila menjauhi dosa-dosa besar.” [1]

Riwayat Muslim (233) dan al-Tirmizi (214)

Berdasarkan hadith ini, para ulama’ telah menyebut bahawa dosa-dosa kecil sudah tentu dihapuskan. Berkenaan dosa-dosa besar, adakah perlu bertaubat atau tidak, maka para ulama khilaf kepada dua:

  • Pertama, perlu bertaubat.
  • Kedua, tidak perlu bertaubat kerana umum hadis ini.

Sebaik-baiknya kita bertaubat dan kita juga melaksanakan ibadat puasa kerana ia menjadi pelengkap dan lebih kuat untuk penghapusan dosa.

Syekh Abd al-Aziz al-Tarifi berkata: Tiga perkara di bulan Ramadhan,l jika dilakukan nescaya Allah akan mengkifarahkan dosa dengan salah satu daripadanya. Iaitu puasa, qiyam pada malam Ramadhan dan qiyam pada malam Lailatul Qadar. Hal ini berdasarkan nas:

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”

Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)

  • Daripada Abu Hurairah R.A. beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‎مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.”

Riwayat al-Bukhari (37)

  • Daripada Aisyah R.Anha, sabda Nabi SAW:

 من قامَ لَيلةَ القَدرِ إيمانًا واحتِسابًا، غُفِرَ لَهُ ما تقدَّمَ مِن ذنبِهِ

Maksudnya: “Siapa yang mengerjakan ibadah pada malam qadar dengan iman dan ikhlas, maka diampuni dosanya yang telah lalu.”

Riwayat al-Bukhari (1768) dan Muslim (1268)

Justeru, siapa yang melakukan ketiga-tiga di atas, nescaya ia menjadi sebab-sebab keampunan baginya lebih besar.

Marilah sama-sama kita melakukan ibadat di bulan Ramadhan ini dengan sebaik mungkin agar kita memperolehi keampunan darinya. Amin.

[1] Imam al-Nawawi menjelaskan, menurut beliau makna hadith-hadith seperti ini terdapat dua takwilan: Pendapat pertama, maknanya adalah dihapuskan dosa-dosa kecil dengan syarat tidak ada padanya dosa-dosa besar. Jika terdapat padanya dosa besar, maka tidak dihapuskan sesuatu pun daripadanya, tidak dosa-dosa besar mahupun dosa-dosa kecil. Pendapat kedua dan inilah pendapat yang paling sahih serta dipilih iaitu maknanya adalah dihapuskan setiap dosa-dosa kecil. Dalam erti kata lain, ia menghapuskan semua dosa-dosanya kecuali dosa-dosa besar. Al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan, apa yang disebutkan dalam hadith mengenai keampunan dosa-dosa selagi tidak melakukan dosa-dosa besar merupakan mazhab Ahli Sunnah, dan dosa-dosa besar itu hanya dapat dihapuskan dengan taubat atau rahmat daripada Allah SWT dan limpah kurnia-Nya.

Begitu juga Imam al-Nawawi turut menyebutkan, jika seseorang itu mempunyai dosa-dosa kecil, maka puasa (atau amalan soleh yang disebutkan itu) akan menghapuskannya. Sekiranya dia tidak mempunyai dosa kecil mahupun dosa besar, maka akan ditulis baginya kebaikan dan diangkat kedudukannya (darjatnya). Perkara tersebut adalah sebagaimana solat para nabi, orang-orang soleh dan kanak-kanak. Begitu juga dengan puasa, wuduk dan ibadat-badat mereka yang lain. Namun, jika mereka mempunyai dosa besar atau dosa-dosa besar dan tidak mempunyai dosa-dosa kecil, maka diharapkan dosa-dosa besar itu akan diringankan (berdasarkan ukuran pelaku dosa-dosa kecil). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/382)

Bertarikh: 5 April 2023 bersamaan 14 Ramadhan 1444H

Leave a Reply