#1230: Kenapa Manusia Masih Melakukan Dosa di Bulan Ramadhan?

Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri, selalu ditanya syaitan boleh menggoda manusia dan disebut bahawa syaitan ditambat atau dirantai pada bulan Ramadhan. Tetapi manusia masih lagi melakukan dosa. Sebenarnya, apakah tafsirnya hadis di atas?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: “Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”

Riwayat al-Bukhari (1898) dan Muslim (1079)

Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “Boleh ditafsir secara zahir dan hakikat yang mana pintu-pintu syurga memang dibuka, pintupintu neraka memang ditutup dan syaitan-syaitan dirantai sebagai tanda kemuliaan dengan masuknya bulan Ramadhan. Di samping syaitan dirantai untuk menegah mereka daripada menggangu dan mempedaya orang yang beriman.”

Ibn Hajar al-Haitami dalam Ittihafu Ahlu al-Islam bi Khususiyat al-Siyam menyebut: “Diambil daripada hadis ini bahawa pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup mengikut hakikatnya. Ini untuk menggambarkan kepada malaikat dan lainnya berkenaan bulan Ramadhan dan pahalanya.”

Ikatan dan belenggu syaitan pula termasuk hakikat demikian pada kebanyakan masa atau secara majaz kinayah daripada menahan perbuatan jahat dan tipu daya kepada manusia. Hal ini ada kebenarannya.

Dalam Ahkam al-Siyam, oleh Dr. Muhammad Uqlah menyebut: “Iaitu maksud tambatan atau ikatan ialah kurang godaan dan menyakiti mereka.”

Sebagai tambahan jawapan di atas, kadang-kadang manusia tidak perlu kepada syaitannya untuk menyesatkannya. Ini kerana, beliau sendiri telah sesat. Justeru, tiadalah perlu ikatan syaitan pada bulan Ramadhan kepadanya. Benarlah firman Allah SWT:

 قَالَ قَرِينُهُ رَبَّنَا مَا أَطْغَيْتُهُ وَلَٰكِن كَانَ فِي ضَلَالٍ بَعِيدٍ

Maksudnya: (Semasa ia dihumbankan ke dalam neraka Jahannam, ia mendakwa bahawa Syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: “Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong”.

(Surah Qaf: 27)

Menurut Imam al-Qurtubi qarin di dalam ini adalah syaitan yang didatangkan oleh Allah SWT kepada hamba yang berdosa ini, di mana syaitan ini berlepas diri daripada perbuatannya (iaitu menyesatkan hamba ini) serta mendustakannya. (Lihat Tafsir al-Qurthubi, 17/17)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Kemudian, Allah SWT menyebut percakapan antara orang kafir dan syaitan yang menjadi qarin-Nya ‘قَالَ قَرِينُهُ رَبَّنَا مَا أَطْغَيْتُهُ وَلَـٰكِن كَانَ فِي ضَلَالٍ بَعِيدٍ’. Syaitan yang menjadi qarin manusia berkata berkait dengan manusia yang kafir, dengan maksud untuk berlepas diri daripadanya: “Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya atau menjatuhkannya ke dalam kesesatan. Namun, dia sendiri orang yang sesat, lebih memilih kebatilan, angkuh terhadap kebenaran dan jauh daripada kebenaran. Ketika aku mengajaknya, dan dia menerima ajakanku. Seandainya dia termasuk hamba-Mu yang ikhlas, tentu aku tidak akan mampu untuk memujuknya.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 13/510)

Semoga kita selamat daripada godaan syaitan dan segala yang membawa kepada dosa kepada Allah SWT.

Bertarikh: 5 April 2023 bersamaan 14 Ramadhan 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *