Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bolehkah orang yang solat Qasar bermakmumkan orang yang solat Tamam? Sebagai contoh, saya ingin buat Solat Qasar Zohor. Bolehkah saya mengikuti imam yang solat tamam Zohor dalam keadaan saya tahu imam tersebut solat tamam?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Allah SWT memberikan keringanan (rukhsah) kepada orang yang bermusafir untuk mereka melaksanakan solat secara jamak dan qasar. Firman Allah SWT di dalam al-Quran:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.”[1]

Menurut Imam al-Nawawi, ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.[2]

Dalam hadis lain, daripada Ya’la bin Umayyah, katanya:

قُلْتُ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ (لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلاَةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا) فَقَدْ أَمِنَ النَّاسُ؟ فَقَالَ: عَجِبْتُ مِمَّا عَجِبْتَ مِنْهُ فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ. فَقَالَ: صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ

قُلْتُ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ : ( لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا ) (النساء: 101) ، فَقَدْ أَمِنَ النَّاسُ ؟ فَقَالَ: عَجِبْتُ مِمَّا عَجِبْتَ مِنْهُ ، فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ، فَقَالَ: ( صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللهُ بِهَا عَلَيْكُمْ ؛ فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ )

Maksudnya: Aku bertanya kepada Saidina Umar al-Khattab RA: Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir”, sedangkan sekarang manusia berada dalam keadaan aman. Umar RA menjawab: Aku juga berfikir perkara yang sama denganmu, maka aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentangnya, lalu Baginda bersabda: “Ia merupakan sedeqah daripada Allah SWT untuk kamu, maka terimalah sedeqah-Nya.”[3]

Menurut Imam al-Zarkasyi bahawa mengqasarkan solat (ketika musafir) adalah lebih afdhal berbanding solat secara penuh (tamam).[4]

Dalam isu di atas, tidak sah solat qasar di belakang imam yang solat tamam (penuh empat rakaat) kerana tidak menepati syarat sah solat qasar.[5]

Hal ini berdasarkan riwayat daripada Imam Ahmad daripada Ibn Abbas R.A bahawa beliau ditanya: “Mengapakah orang musafir itu menunaikan solat dua rakaat ketika bersendirian dan solat empat rakaat apabila dia berimamkan kepada orang yang mukim?” Maka jawab Ibn Abbas: “Yang demikian itu adalah sunnah.”[6]

Syeikh Salim bin Sumair al-Hadrami antara lain menyebut: “Hendaklah dia tidak menjadi makmum kepada orang yang solat penuh pada sebahagian dari solatnya.”[7]

Sebahagian ulama menaqalkan ijma’ terhadap hukum ini. Berkata Imam Ibn al-Munzir: Dan mereka (para ulama) telah berijma’ bahawa seseorang yang mukim apabila menjadi makmum kepada imam yang musafir, dan imam selesai memberi salam pada rakaat yang kedua, untuk makmum yang mukim itu menyempurnakan solat.[8]

Justeru, apabila solat qasar itu tidak mencukupi syarat-syarat sahnya, maka tidak sah solat tersebut jika tidak disempurnakan dengan empat rakaat. Wajib mengulangi semula solat itu secara tamam jika sudah keluar daripada musafir, dan boleh diqasarkan selama mana dalam musafir.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 17/11/2021 bersamaan 12 Rabiul Akhir 1443H

[1] Surah al-Nisa’: 101

[2] Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346

[3] Riwayat Muslim (686)

[4] Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id, 2/415

[5] Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/473

[6] Lihat Mughni al-Muhtaj (1/525)

[7] Lihat al-Mujtaba fi Syarh Safinah al-Naja, hlm. 177

[8] Lihat al-Ijma’ oleh Ibn al-Munzir (1/41); al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (6/33)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *