Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya mempunyai banyak jiran di taman. Kepada siapa yang saya ingin sedekah yang lebih utama?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Memuliakan jiran adalah sifat yang mulia dan amat digalakkan. Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاَللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ،

Maksudnya: “Dan siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan jirannya.”[1]

Memuliakan jiran bukan hanya terbatas kepada melayannya sebagai tetamu apabila berkunjung ke rumah dan juga bersedekah kepadanya jika fakir, tetapi ia lebih umum daripada itu, antaranya:

  • Berihsan kepadanya tanpa menyakitinya.
  • Bertanya khabar tentang keadaannya dan menziarahinya apabila sakit.
  • Memberi salam kepadanya.
  • Memberi hadiah kepadanya sekalipun tidak berhajat dan memberi pinjam kepadanya jika berhajat
  • Memperelokkan layanannya jika dia mengunjungimu.
  • Menahan daripada menyakitinya dan sabar atas kejahatannya.
  • Mengucapkan tahniah kepadanya jika ia mendapat kebaikan dan mengucapkan takziah jika dilanda musibah.
  • Mengiringi jenazahnya apabila meninggal dunia.[2]

Begitu juga hadis:

مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالْجَارِ، حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُهُ

Maksudnya: “Jibril sentiasa berwasiat kepadaku agar berlaku baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu akan mewarisi hartaku.”

Riwayat al-Bukhari (6015)

Imam al-Nawawi menukilkan kata-kata daripada al-Qadhi ‘Iyadh bahawa makna hadith ini adalah sesiapa yang beriltizam dengan syariat Islam maka wajib ke atasnya untuk memuliakan atau berlaku baik kepada jiran dan tetamunya. Semua ini menunjukkan akan kepentingan hak berjiran serta galakan memeliharanya. Ini kerana, Allah SWT telah berpesan atau mewasiatkan agar berlaku baik kepada mereka melalui firman-Nya di dalam al-Quran dan juga hadith Nabi SAW.[3]

Rasulullah SAW pernah mewasiatkan kepada Abu Zar R.A berkenaan dengan jiran seraya bersabda:

يَا أَبَا ذَرٍّ إِذَا طَبَخْتَ مَرَقَةً فَأَكْثِرْ مَاءَهَا وَتَعَاهَدْ جِيرَانَكَ

Maksudnya: Hai Aba Zar, jika kamu masak, maka perbanyakkanlah kuah dan beringatlah untuk jiran-jiran kamu dengan memberinya.[4]

Rasulullah SAW berpesan secara khusus untuk wanita Muslim agar berehsan kepada jiran masing-masing seraya bersabda:

يَا نِسَاءَ الْمُسْلِمَاتِ لاَ تَحْقِرَنَّ جَارَةٌ لِجَارَتِهَا وَلَوْ فِرْسِنَ شَاةٍ

Maksudnya: Hai wanita muslimat! Jangan seorang jiran rasa kecil terhadap jirannya untuk bersedekah walaupun percisan keting kambing yang kecil.”[5]

Untuk menjawab persoalan di atas, Ummul Mukminin Aisyah R.Anha pernah bertanya kepada Rasulullah SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah! Aku mempunyai dua jiran. Yang mana satukah aku perlu berikan hadiah?” Maka Baginda SAW menjawab:

إِلَى أَقْرَبِهِمَا مِنْكِ بَابًا

Maksudnya: “Kepada yang paling dekat pintunya darimu.”[6]

Justeru, memilih jiran yang paling dekat dalam memberi makanan, sedekah atau hadiah lebih diutamakan dan jika mempunyai lebihan, maka berilah kepada jiran-jiran yang lain.

Semoga Allah jadikan kita termasuk dalam kalangan yang memuliakan jiran untuk melayakkan kita benar-benar mentahqiqkan sifat orang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 13/11/2021 bersamaan 8 Rabiul Akhir 1443H

[1] Riwayat al-Bukhari (6475) dan Muslim (47)

[2] Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 152

[3] Lihat al-Minhaj ‘ala Syarh Sahih Muslim, 18/2

[4] Riwayat Muslim (2625)

[5] Riwayat al-Bukhari (2566) dan Muslim (1030)

[6] Riwayat al-Bukhari (2259)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *